PEMBAHASAN KEENAM
PERNYATAAN PARA AHLI SEJARAH, NASAB DAN BIOGRAFI TENTANG KETURUNAN AL-MUHAJIR AHMAD BIN ISA
Sadah Bani Alawi di Hadramaut atau di tempat-tempat mereka berhijrah tidak asing lagi, bahkan keluarga ini yang paling masyhur dan dikenal disemua tempat oleh segenap lapisan masyarakat baik yang khawas atau awam pada seluruh zaman. Mereka tidak mengadaptasi nasabnya seperti dugaan sebahagian orang, tetapi nama baik mereka terkenal dan tersebar luas, sehingga banyak pengikut-pengikut mereka di Hadramaut dari kalangan kabilah-kabilah, terutama dari kalangan ulama Masyaikh dari keluarga Abi Fadhl, keluarga Al-Amudi dan selainnya, yang mana tidak seorang pun dari mereka berani mendustakan nasab ini. Adapun terjadinya permusuhan oleh sebahagian penduduk Hadramaut kepada Bani Alawi adalah kerana mereka khuatir terhadap kedudukan mereka dan takut diambil alih oleh Sadah yang mulia yang datang dari luar Hadramaut, yang mana mempunyai kelebihan-kelebihan yang melayakkan mereka bagi menduduki tempat-tempat itu kerana mereka memiliki sifat-sifat seperti ilmu, kemuliaan dan budi pekerti yang luhur. Dengan kelebihan yang ada itu maka lahirlah(26) dari keluarga ini sejumlah besar dari tokoh-tokoh yang namanya terkenal di barat mahupun di timur dan berdatangan kepada mereka orang-orang dari berbagai penjuru bumi(27) untuk menimba ilmu pengetahuan daripada mereka sebagaimana mereka juga tampil di luar Hadramaut terutama di Al-Haramain As-Syarifain(28), yang akan diterangkan kepada anda dalam ruang pembahasan ini tentang orang-orang yang menulis biografi mereka dan menyebutkan ketua-ketua nasabnya selain daripada ulama Hadramaut kerana masyhurnya nasab mereka di kalangan para ahli sejarah, ahli nasab dan ahli biografi di dunia Islam yang telah disusun menurut tarikh wafatnya. Dalam pembahasan ini terdapat 14 bahagian, setelah menyebutkan susur-galur nasab yang diterangkan oleh penyusun ini kami ingin memberi keterangan tentang kedudukan orang alim ini dan sedikit daripada peninggalan-peninggalannya.
1. Abul Faraj As-Asfahan(29),
wafat pada tahun 356 H.
Sasterawan dan ahli sejarah, Abul
Faraj Al-Asfahani menyebutkan dalam kitabnya, Maqatil At-Talibin, sebuah kitab
yang menerangkan tentang susur-galur nasab dari mereka yang terbunuh dari
keturunan Abu Talib, bermula dari Imam Ali Bin Abi Talib k.w. hingga orang-orang
yang terbunuh dalam masa kekuasaan Al-Muqtadir Al-Abbasi yang wafat pada tahun
320 H dan kitab itu dicetak oleh Darul Ma'rifah di Beirut.
Beliau juga menyebutkan pada muka
surat 718 tentang pembunuhan Muhammad Bin Yahaya Bin Muhammad Bin Ali Bin
Jaafar Bin Muhammad Bin Ali Bin Al-Husain Bin Ali Bin Abi Talib r.a. Yahaya
tersebut adalah saudara Isa An-Naqib yang digelar dengan Ar-Rumi, dan di antara
anak-anak Isa adalah Ahmad iaitu datuk kepada Sadah keluarga Ba'Alawi di
Hadramaut. Abul Faraj Al-Asfahani sebagaimana maklum adalah seorang dari
keturunan Bani Umayyah yang hidup satu zaman dengan Imam Ahmad Bin Isa Bin
Muhammad Bin Ali Ja'afar As-Sadiq.
2. Sheikh As-Syaraf
Al-Ubaidili(30), wafat pada tahun 356 H.
Sheikh As-Syaraf Abul Hasan
Al-Ubaidili menyebutkan dalam kitabnya 'Tahdzibul Ansab' ketika ia menerangkan
keturunan Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi dengan katanya, "Di antara anak
Ahmad Bin Isa Al-Akbar adalah Abu Ja'far Muhammad Bin Ali Bin Muhammad Bin
Ahmad Bin Isa Bin Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi". Kemudian ia mengatakan,
"Saya telah melihat beliau di Baghdad yang kemudian beliau kehilangan
penglihatannya dalam usia yang lanjut (yakni Abu Ja'far Muhammad Bin
Ali)".
Adapun Muhammad Bin Ahmad Bin Isa
Bin Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi adalah saudara Ubaidillah, iaitu datuk kepada
Sadah keluarga Abi Alawi.
3. Abul Hasan Al-Umri(31), wafat
pada tahun 443 H.
Abul Hasan Al-Umri menyebutkan
dalam kitabnya 'Al-Majdi Al-Makhtut' ketika menerangkan keturunan Ali
Al-Uraidhi, katanya "Adapun Isa Bin Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi adalah
seorang pemimpin ternama mempunyai gelaran Ar-Rumi dan beliau dilahirkan dari
seorang hamba perempuan (Ummu Walad)".
Adapun Isa mempunyai beberapa
orang anak yang dari mereka menghasilkan keturunan yang banyak, yang mana di
antara keturunannya ialah datu Sadah keluarga Bani Alawi -- Alawi Bin
Ubaidillah Bin Ahmad Bin Isa.
4. Abu Abdillah Bahauddin
Muhammad Bin Yusuf Bin Ya'kub Al-Jundi(32), wafat pada tahun 732 H.
Al-Allamah Alwi Bin Tahir
Al-Haddad menyatakan dalam kitabnya 'Uqudul Almas' juz 2 muka surat 58, bahawa
Al-Jundi memberikan keterangan dalam kitabnya 'As-Suluk Fi Tabaqatil Ulama Wal
Muluk'tentang riwayat hidup 11 orang dari keturunan Bani Alawi. Saya telah
berusaha mencari buku itu untuk menyalin biografi seorang atau lebih dari orang-orang
yang telah tertulis biografinya dalam kitab tersebut, akan tetapi tidak banyak
diperolehi memandangkan ia ditulis dengan tulisan tangan, lalu saya dapatkan
juz pertama yang telah dicetak dan ditahqiq oleh Muhammad Bin Hasan Al-Akwak,
sedangkan yang lain belum dicetak pada masa itu. Saya berjanji jika ia sudah
dicetak akan saya tambahkan salasilah nasab orang-orang yang ditulis
biografinya dalam cetakan yang akan datang, Insya Allah Ta'ala.
5. Ibnu Anbah(33), wafat pada
tahun 828 H.
Sila lihat apa yang telah ditulis
oleh Ibnu Anbah dalam umdah besar dan kecil juga dalam salasilah di mana ia
menyebutkan nasab keluarga Ali Al-Uraidhi seraya katanya, "Adapun susunan
nasab keturunan Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi ialah Ahmad Al-Abh Bin Muhammad Al-Hasan
Ad-Dallal Bin Muhammad Bin Ali Bin Muhammad Bin Ahmad Bin Isa Al-Akbar Bin
Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi Bin Ja'far As-Sadiq.
Ahmad Bin Isa adalah datuk Alwi
Bin Ubaidillah yang kemudian menjadi asal usul Sadah Bani Alawi di Hadramaut,
Jawa dan di tempat-tempat di mana keturunan mereka tersebar luas.
6. Abul Fudhail Al-Kazim(34), wafat pada penghujung abad ke-9 H.
Abul Fudhail Muhammad Al-Kazim
Bin Abil Futuh menyebutkan dalam kitabnya 'An-Nafhatul Ambariyyah Fi Ansabi
Khairil Bariyyah' yang ditulis dalam khazanah Sheikh Abdullah Az-Zanjani di
Qum, Iran, beliau menyatakan tentang keturunan Ja'far As-Sadiq katanya,
"Anak-anak Ali Bin Ja'far As-Sadiq ialah Abdullah, Abdul Jabbar dan
Muhammad yang daripadanya mendapat keturunan". Kemudian beliau berhijrah
ke Ras dengan ditemani oleh Tarjumanuddin Al-Qasim Bin Ibrahim Taba-taba, maka
lahirlah di sana Isa dan di antara orang yang dilahirkan di sana ialah
As-Sayyid Ahmad yang berpindah ke Hadramaut, maka di antara orang yang
dilahirkan di sana ialah As-Sayyid Abil Jadid yang datang ke Aden pada zaman
Almas'ud Bin Taghtakin Bin Ayyub Bin Syadi pada tahun 611 H. Kerana sesuatu hal
maka Almas'ud murka kepada beliau lalu beliau ditangkapnya dan dibuang ke
India. Kemudian setelah Almas'ud mati, beliau kembali ke Hadramaut".
Dari teks An-Nafhatul Ambariyyah
diperolehi penjelasan bahawa keturunan Ahmad Bin Isa Bin Ali Al-Uraidhi di
Hadramaut adalah dari keturunan Imam yang terkenal Ali Bin Muhammad Bin Jadid
Bin Abdullah Bin Ahmad Bin Isa Bin Muhammad Bin Ali Bin Ja'far As-Sadiq.
7. An-Najafi(35), wafat pada abad ke-9 H.
Lihatlah pada kitab 'Bahrul
Ansab' yang diberi nama 'Al-Musyajjarul Kasysyaf Li Usulis Sadatil
Asyraf'karangan seorang pakar nasab Imam An-Najafi, di mana beliau menyebutkan
pada muka surat 52 -- setelah ditambah oleh Azzabidi dan Rifa'i -- mengenai
nasab As-Sayyid Abu Bakar Bin Hasan Bin Abi Bakar Bin Salim Bin Abdullah Bin
Abdurrahman Bin Abdullah Bin Abdurrahman As-Seggaf Bin Muhammad Bin Ali Bin
Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad Bin Isa Bin Muhammad Bin
Ali Al-Uraidhi Bin Ja'far As-Sadiq hingga ke akhir nasab.
Kitab Bahrul Ansab adalah kitab
yang paling berharga di antara kitab-kitab nasab yang lain dan bertambah
mutunya bila ia ditahqiq oleh As-Sayyid Muhammad Murtadha Azzabidi Al-Husaini yang
wafat pada tahun 1205 H dan mempunyai beberapa karangan. Antara yang terpenting
ialah Tajul 'Arus Bi Syarhil Qamus, yang mana setiap naskhah yang dicetak dari
Bahrul Ansab mengandungi cop beliau. Kemudian diperkuat oleh As-Sayyid Husain
Bin Muhammad Ar-Rifa'i Al-Hanafi, seorang ulama besar Azhar Syarif. Maka
salasilah itu mengandungi seratus lebih salasilah dan kitab-kitab induk tarikh
yang ditambah pada penghabisannya salasilah keluarga Bani Alawi.
8. As-Sayyid Muhammad Sirajuddin(36), wafat pada tahun 885 H.
As-Sayyid Muhammad Sirajuddin Bin
As-Sayyid Abdullah Al-Qasim Bin As-Sayyid Muhammad Al-Huzam Ar-Rifa'i
menyebutkan dalam kitabnya 'Sihahul Akhbar Fi Nasabis Sadah Al-Fatimiyyah
Al-Akhyar' dicetak oleh percetakan Nukhbatul Akhyar di India tahun 1306 H yang
mana beliau menyebutkan dalam muka surat 53 tentang anak-anak Isa Bin Muhammad
Al-Uraidhi katanya, "Dan di antara anak-anaknya ialah Ahmad Bin Isa Bin
Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi, di Yaman".
Teks ucapan ini sesuai dengan
pendapat para penulis kitab-kitab sirah, nasab dan tarikh yang menyebutkan bab
ini.
9. Imam As-Sakhawi(37), wafat pada tahun 902 H.
As-Sakhawi menyebutkan dalam
beberapa karangannya mengenai biografi Sadah Al-Alawi, di antaranya dalam kitab
Bughyatul Rawi Biman Akhadza Anis Sakhawi dan kitab Ad-Dhaw'ul Lamik. Sebagai
misal, kami kemukakan di sini salasilah seorang dari keluarga Bani Alawi yang
telah ditulis biografinya dalam kitab Ad-Dhaw'ul Lamik juz 5 muka surat 59 yang
mana beliau mengatakan pada biografi No. 220: Abdullah Bin Muhammad Bin Ali Bin
Muhammad Bin Ahmad Bin Muhammad Bin Ali Bin Muhammad Bin Ali Bin Alwi Bin
Muhammad Bin Alwi Bin Muhammad Bin Ali Bin Ja'far As-Sadiq Bin Muhammad
Al-Baqir Bin Zainal Abidin Ali Bin Al-Husain Bin Ali Bin Abi Talib, Al-Husaini
Al-Hadrami wafat di Mekah dan dikubur di sana. Beliau digelar dengan As-Syarif
Ba'Alawi, mempunyai banyak sifat-sifat kemuliaan seperti ilmu, kebaikan dan
istiqamah hingga mendapat kepercayaan dari penduduk Mekah dan perjalanan beliau
dari Hadramaut ke Al-Haramain selalu disebut-sebut oleh mereka, manakala tarikh
wafat beliau iaitu pada tahun 886 di Mekah. Maka jelaslah dari kata-kata Imam
As-Sakhawi dalam kitabnya yang menyebutkan susunan nasab Bani Alawi dengan
teratur bahawa nasab ini tidak dapat dipertikaikan lagi, bahkan ia termasuk
dari nasab-nasab yang diterima sebagai pokok pangkal keturunan Nabi Muhammad
s.a.w. Adapun mengenai kedudukan ilmu dan penelitian As-Sakhawi yang enggan
mengambil kecuali riwayat yang telah terbukti kebenarannya, tidak asing lagi
bagi mereka yang berpengetahuan sekalipun sedikit.
10. Abdullah Al-Jurjani(38), wafat pada tahun 974 H.
As-Sayed Jamaluddin Abdullah
Al-Jurjani Bin Abil Barakat, ketua Jurjan menyatakan dalamMusyajjarah
Al-Kasysyaf ketika menyebutkan tentang Abul Qasim Al-Abh katanya: Abul Qasim
Al-Abh dikenal dengan sebutan Naffat (penjual minyak) kerana beliau berniaga
minyak. Beliau mempunyai anak di Baghdad, iaitu Ibnu Abil Hasan Ad-Dallal
putera Muhammad Bin Alil Bin Muhammad Bin Ahmad Bin Isa Bin Muhammad Bin Ali
Al-Uraidhi.
Adapun Muhammad Bin Ahmad adalah
saudara Ubaidillah Bin Ahmad iaitu datuk Sadah keluarga Ba'Alawi yang tinggal
di Hadaramaut seperti yang anda lihat pada salasilah nasab dalam pembahasan
ini.
11. Ibnu Hajar Al-Haithami(39), wafat pada tahun 974 H.
Al-Muhaddith Al-Hafiz Al-Faqih
Ibnu Hajar Al-Haithami menyatakan dalam Mu'jam beliau, katanya, "Dan saya
mempunyai tariqat yang tinggi kedudukannya, kerana masyaikh (guru-gurunya) dari
awal hingga akhir berasal dari keturunan Ahlil Bait masing-masing meriwayatkan
dari ayahnya". Lalu berkata lagi bahawa ia berasal dari Al-Qutub Abu Bakar
Bin Ahmad As-Seggaf Bin Muhammad Bin Alwi Bin Muhammad Bin Ali Bin Muhammad Bin
Ali Bin Alwi Bin Muhammad Bin Alwi Bin Ubaidillah Bin Ahmad Bin Isa Bin
Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi hingga berakhir pada Rasulullah s.a.w.
12. Ibnu Syaqdam(40), wafat pada
akhir abad ke-11.
Seorang pakar nasab, Dhaamin Bin
Syaqdam menyebutkan dalam kitabnya Tuhfatul Azhar dan Zalalul Anhar tentang
keturunan Jamaluddin Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi katanya, "Jamaluddin
Muhammad meninggalkan 2 orang anak; Hasan dan Syamsuddin Isa Ar-Rumi, dan dari
keduanya mendapat 2 orang cucu.
Cucu kedua, iaitu putera
Syamsuddin Isa Ar-Rumi Bin Jamaluddin Muhammad, anak digelar Ar-Rumi. Adapun
Syamsuddin Isa meninggalkan 5 orang anak; Ishak Al-Ahnaf, Abu Turab Ali,
Nizamuddin Ahmad Al-Abh, Abu Ahmad Muhammad dan Abul Husain Muhyiddin
Al-Muhaddith.
Kemudian beliau menyebutkan
beberapa rantaian nasab yang mana mata rantai ketiga disebutkan anak cucu
Nizamuddin Ahmad, katanya; "Anak cucu Nizamuddin Ahmad Al-Abh Bin
Syamsuddin Isa Ar-Rumi yang dikenal keturunannya dengan Bani Abh, beliau
meninggalkan 3 orang anak, Abdullah, Muhammad dan Abul Hasan Ali Zainal
Abidin".
Lalu disebutkan 3 jalur, pada
jalur pertama disebutkan anak cucu Abdullah Bin Ahmad Bin Isa, dengan katanya;
"Abdullah meninggalkan Alwi dan Basri".
Dan 2 ranting; ranting pertama
menyebutkan anak Alwi, katanya; "Alwi meninggalkan Muhammad".
Adapun Muhammad adalah datuk
Al-Faqih Al-Muqaddam Muhammad Bin Ali, yang mempunyai gelaran Al-Ustaz Al-A'zam
dan Al-Faqih Al-Muqaddam, kerana beliau melebihi seluruh ulama Hadramaut pada
zamannya, kemudian beliau wafat di Tarim pada tahun 653 H. Maka kepada beliau
dinasabkan kebanyakan Sadah Bani Alawi.
13. Al-Muhibbi(41), wafat pada
tahun 1111 H.
Al-Muhibbi telah menulis biografi
puluhan Sadah Bani Alawi dalam kitabnya Khulasatul Athar yang dicetak oleh Dar
Sadir di Beirut. Dalam konteks ini cukup saya membawakan salasilah nasab
seorang saja dari mereka yang tertulis biografinya dalam kitab tersebut yang
dapat dijadikan coontoh bagi peribadi-peribadi yang lain, iaitu biografi
As-Sayed Abu Bakar Bin Said Bin Abu Bakar Bin Abdul Rahman (Al-Jufri) Bin
Al-Faqih Al-Muqaddam Abdullah Bin Alwi Bin Abu Bakar Bin Muhammad Bin Ali Bin
Muhammad Bin Ahmad Bin Al-Ustaz Al-A'zam hingga ke akhir nasab.
Adapun kitab Khulasatul Athar
hanya menyebut tokoh-tokoh abad ke-11 sahaja, kerana itu kami bawakan teks
kitab itu untuk membuktikan kebenaran dan kemasyhuran nasab ini di seluruh
penjuru bumi dan pada seluruh penulis dan penyusun dari kalangan orang-orang
Hadramaut, Syria dan Mesir.
As-Sayed Abu Bakar Al-Jufri,
dilahirkan di Qasam, Hadramaut, lalu berpindah ke Tarim untuk menuntut ilmu,
kemudian ke Aynat, Sheher, Aden, Waht, Al-Haramain As-Syarifain dan akhirnya ke
India. Beliau telah mengambil ilmu dari ulama-ulama terkenal negeri-negeri
tersebut sehingga Al-Muhibbi memberikan sifat-sifat yang banyak kepada beliau.
Kerana itu setiap orang yang menulis biografinya yang dikenal dengan nisbah
kepada keturunan Rasulullah s.a.w. oleh para ulama (yang dijumpainya di
beberapa buah negara dan para pendatang ke Al-Haramain As-Syarifain) tidak ada
seorang pun yang mengingkari nasab beliau. Beliau meninggal di Tarim pada tahun
1088 H.
14. Abu Muhammad Syamsuddin Bin
Muhammad Al-Atqa.(42)
Seorang pakar nasab dan naqib,
penjaga keturunan Ahli Bait, As-Sayed Abu Muhammad Syamsuddin Bin Muhammad
Al-Atqa menyebutkan dalam kitabnya Nihayatul Ikhtisar (tulisan tangan),
mengenai anak-anak Isa Al-Akbar, katanya; "Di antara anak Ahmad Bin Isa
Al-Akbar ialah Abu Ja'far Muhammad Bin Ali Bin Muhammad Bin Ahmad Bin Isa
Al-Akbar yang tinggal di Baghdad, yang kemudian hilang penglihatannya di masa
tuanya dan tinggal bersama saudara-saudaranya di gunung".
26) Lihat Kasyfuzzunun Wal A'lam,
karangan Az-Zarkali dan Mu'jam Al-Muallifin, karangan Kahhalah, dan Al-Jami'
karangan Ba-Matraf di mana ia menyebutkan puluhan dari Bani Alawi yang terkenal
dengan ilmu dan karangannya.
27) Lihat Abdul Rahman bin
Abdullah bin As'ad Al-Yafi'e Ibnul Muhaddith dan Muarrikkh yang menyifatkan
mereka dengan kata-katanya: "Aku telah melintasi lembah Hadramaut untuk
mengucap salam maka aku temui padanya segala kegembiraan, senyuman dan
kesenangan". "Dan aku dapati padanya orang-orang besar dan mulia yang
tidak mudah dijumpai di Timur mahupun di Barat". Dua bait syair ini telah
digubah oleh Abdul Rahman kerana menyifatkan tokoh-tokoh Hadramaut pada abad
kelapan ketika ia dihantar oleh ayahnya dari Mekah Al-Mukarramah ke Hadramaut
untuk meninjau keadaan dan orang-orang yang tinggal di Hadramaut pada masa itu,
iaitu mereka dari kalangan Bani Alawi dan dari orang yang paling masyhur dari
kalangan Bani Alawi dan dari orang yang paling masyhur Imam Abdul Rahman
Asseggaf.
28) Lihat kitab Daulah
Al-Muwahhidin Al-Islamiyah, karangan Husein Al-Amin dari ms. 103 hingga 143.
29) Abul Faraj Al-Asfahani, Ali
bin Al-Husein bin Muhammad yang bersambung nasabnya kepada Abul Aas Umayyah bin
Abdi Syams bin Abdi Manaf, dilahirkan pada tahun 284 H di Asfahan dan
dibesarkan di Baghdad lalu mendapat ilmu dari orang-orang alim di sana. Beliau
seorang sasterawan, sejarawan, ahli nasab, ahli syair dan penulis mempunyai
karangan lebih dari 30 kitab, yang paling masyhur di antaranya: Al-Aghani
Al-Kabir, Maqatil Al-Talibin dan Ayyam Al-Arab.
30) Syeikh As-Syaraf Abul Hassan
Al-Ubaidili, Abul Hasan Muhammad bin Abi Jaafar Muhammad bin Ali bin Al-Hasan
bin Ali bin Ibrahim bin Ali As-Saleh bin Ubaidillah Al-A'raj bin Al-Husein
Al-Asfar bin Imam Zainal Abidin, wafat pada tahun 435 H. Beliau hidup sezaman
dengan Imam Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad bin Isa memiliki beberapa karangan
diantaranya: Tahzib Al-Ansab Wal Iqtisad Libani Fatimah Al-Abrar. Beliau juga
menjadi rujukan ilmu nasab pada zamannya dan di antara orang yang meriwayatkan
daripadanya ialah pakar-pakar nasab, Abul Hasan Al-Omari dan dua orang Sayyid
Al-Radhi dan Al-Murtadha.
31) Abul Hasan Ali bin Muhammad
bin Ali Al-Umri, pengarang kitab Al-Majdi Al-Makhtut, wafat pada tahun 443 H.
Beliau adalah seorang ulama ahli nasab hidup sezaman dengan dua orang Sayyid
yang mulia Al-Radhi dan Al-Murtadha, serta Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad bin
Isa datuk kepada Sadah Al Ba Alawi. Kepada beliau dirujuk ilmu nasab dizamannya
seperti dinyatakan oleh Ibnu Uyainah.
32) Al-Jundi, Abu Abdullah
Bahauddin Muhammad bin Yusuf Ya'kub Al-Jundi As-Saksaki Al-Kindi. Al-Jundi
adalah nisbah kepada sebuah bandar Al-Jund bukan kepada suku yang masyhur dalam
kitab-kitab nasab, dilahirkan di bandar Zubaid di Yaman namun beliau tidak
diketahui tarikh lahirnya. Beliau adalah seorang Allamah dan kadi, mendapat
didikan dari ayahnya dan dari orang-orang terkenal pada zamannya dari kalangan
ulama Yaman dan beliau juga mempunya ramai murid. Pekerjaannya ialah sebagai
guru, penyelia dan kadi. Beliau meninggal dunia di bandar Al-Jund tahun 732 H.
Semoga dirahmati Allah. Adapun kitab beliau As-Suluk tersusun dalam beberapa
peringkat, terdiri dari 3 jilid dan dihimpun berdasarkan pada 4 negeri;
Tihamah, Al-Jund, Sanaa' dan kemudian Hadramaut, yang mana beliau memulainya
dengan sirah Rasulullah s.a.w., para kadi, sasterawan, kemudian raja-raja dan
menteri-menteri. Ia merupakan kitab tarikh Yamani yang paling penting.
33) Ibnu Anbah, ialah Ahmad bin
Ali yang dikenal dengan Ibnu Anbah. Beliau seorang ahli nasab, di antara
karangan-karangan beliau: Bahrul Ansab Wa Umdah At-Tulib Fi Nasab Ali Abi
Talib, dan Al-Umdah Al-Kubra Fil Ansab (tulisan tangan).
34) Abul Fudhail, ialah Muhammad
Al-Kazim bin Abul Futuh Al-Ausat bin Abil Yaman. Beliau adalah pengarang kitab
An-Nafhah Al-Anbariyah dimana beliau menyebutkan nasabnya secara sempurna pada
pendahuluan kitabnya (sila lihat). Beliau dilahirkan di Dili (dikenali dengan
Delhi sekarang) di suatu perkampungan di India setelah tiba datuknya Tajul
Millah pada tahun 690 H. Apabila sudah remaja, beliau belayar ke beberapa
negeri sehingga sampai di Yaman lalu beliau menulis banyak nasab dalam kitab
An-Nafhah Al-Anbariyah kemudian berpindah ke Ghutah Damascus di Syria tahun 879
H. Tarikh wafat beliau tidak diketahui secara pasti, tetapi diperkirakan tarikh
wafatnya pada akhir abad kesembilan Hijrah.
35) An-Najafi ialah As-Syeikh
Imam Al-Jad Al-Bahr Al-Himam As-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin Amiduddin
Ali-Husaini An-Najafi, seorang pakar nasab yang hidup pada abad kesembilan
sekalipun tidak diketahui secara pasti tarikh wafatnya. Namun beliau adalah
seorang tokoh pada abad kesembilan. Kitabnya Bahrul Ansab dicetak di Cairo
tahun 1356 H.
36) As-Sayyid Muhammad Sirajuddin
bin As-Sayyid Abdullah Al-Qasim bin As-Sayyid Ahmad Al-Hizam Ar-Rifa'i seorang
alim, ahli hadis dan nasab seperti diterangkan dalam biografinya bahawa beliau
dilahirkan pada tahun 793 H di Wasit, Iraq. Beliau mendapat gelar Syeikhul
Islam pada zamannya kerana ilmu, amal, penghayatan, kebolehan, kepimpinan dan
khidmatnya kepada ulalma sehingga banyak orang-orang saleh meriwayatkan
daripada beliau. Beliau mempunyai beberapa karangan di antaranya: Al-Bayan Fi
Tafsir Al-Qur'an, Silahul Mukmin dalam hadis dan An-Nuskhatul Kubra Fi Ma Khada
Bihi Ahlu Ilmil Harf. Di akhir hayatnya beliau tinggal di Baghdad dan wafat di
sana tahun 885 H. Semoga diredhai Allah dan meredhakannya. Selebihnya sila
lihat biografi Al-Fatimiyah Al-Akhyar.
37) Imam As-Sakhawi, beliau
adalah Imam Al-Hafiz, ahli hadis, fikah dan sejarah. Muhammad bin Abdul Rahman
bin Muhammad bin As-Sakhawi, dilahirkan pada tahun 831 H di Cairo dan wafat di
Madinah Al-Munawwarah tahun 902 H. Beliau mempunyai banyak karangan dalam
berbagai ilmu dan yang paling banyak dalam hadis dan tarikh di antaranya:
Al-Manhal Al-Azb Ar-Rawi Fi Tarjamah An-Nawawi, Al-Jawahir Wa Ad-Durar Fi
Tarjamah Syeikhul Islam Ibnu Hajar, At-Tarikh Al-Muhit, Talkhis Tarikh Al-Yaman
Al-Fawaid Al-Jaliyyah Fil Asma' An-Nabawiyah, Ad-Daw'u Al-Lamik Li Ahlil Qarni
At-Tasik dan Al-Maasid Al-Hasanah Fi Bayani Kathirin Minal Ahadith
Al-Musytaharah Alal Alsinah.
38) Al-Jurjani ialah As-Sayyid
Jamaluddin Abdullah Al-Jurjani Ibnu Abil Barakat, Naqib Jurjan putera seorang
penasihat dan pakar nasab di Jurjan, Zahiruddin. Beliau hidup sezaman dengan
As-Sayyid Al-Umaidi dan mengarang Musyajjar Al-Kassyaf tahun 974 H. Beliau
meriwayatkan dari Al-Umdah karangan Ibnu Anbah, Sabku Az-Zahab Fi Sabki
An-Nasab karangan Al-Hilli, Al-Asil karangan Abil Mustafa dan Al-Musyajjar
karangan Abdul Majid dan lain-lain. Di antara karangan-karangannya; Syarah Ala
Tahzib Al-Usul yang telah diselesaikan pada pertengahan Rabiul Akhir tahun 929
H.
39) Imam Al-Muhaddith (ahli
hadis) Al-Faqih (ahli fikah) mempunyai banyak karangan, iaitu Ahmad bin
Muhammad bin Ali bin Hajjar Al-Haithami, dilahirkan pada tahun 909 H dan wafat
di Mekah Al-Mukarramah tahun 974 H. Di antara karangan-karangannya; Syarah
Al-Minhaj Lin Nawawi, Al-Fatawa Al-Hadithah, Al-Fatawa Al-Fiqhiyah, As-Sawaiq
Al-Muhriqah dan lain-lain lagi dari karangannya yang bermanfaat. Lihat kitab
An-Nur As-Safir An Akhbar Al-Qarnil Asyir karangan As-Syed Abdul Qadir bin
Syeikh Al-Idrus dan Mu'jam Al-Muallifin karangan Kahhalah.
40) As-Sayyid Dhaamin bin Syaqdam, seorang pakar nasab yang dilahirkan dan dibesarkan di Madinah Al-Munawwarah kemudian belayar ke Iraq tahun 1051 H. Beliau berpindah-pindah di antara negeri-negeri Islam, pergi ke Khurasan tahun 1053 H, ke Asfahan tahun 1068 H, ke Damascus tahun 1079 H, kemudian beberapa kali melawat ke Asfahan dan yang terakhir kali pada tahun 1085 H. Beliau mengarang kitabnya bernama; Tuhfah Al-Azhar tahun 1082 H. Beliau belajar ilmu nasab dari kedua datuknya; Ali dan Al-Hasan, pakar-pakar nasab, pakar-pakar nasab terkenal seperti disebutkan dalam kitabnya. Terdapat satu naskhah dari kitab Tuhfah Al-Azhar di Teheran di perpustakaan As-Syeikh Ziauddin dan satu naskhah lagi ada pada kami, yang disalin dari perpustakaan Al-Auqaf di Baghdad. Pengarang mempunyai 2 orang anak; As-Sayyid Nizamuddin Abu Nasr, seorang pakar nasab dan As-Sayyid Jamaluddin Abul Qasim juga seorang pakar nasab. As-Sayyid Jamaluddin mempunyai beberapa karangan mengenai nasab: Tazlil Tuhfah Al-Azhar (karya ayahnya), Risalah Fi Nasab Al-Muluk As-Safawiyyah, Risalah Fi Nasab Syurafa' Mekah Al-Mukarramah, Risalah Fi Nasab Syurafa' Bani Al-Husain Bil Madinah, Risalah Fi Nasab Muluk Tabristan As-Sadah Al-Mar'asyiyyin dan Zurriyah As-Sayyid Qiwamuddin Al-Mar'asyi.
41) Al-Muhibbi ialah Muhammad
Amin bin Fadlullah Al-Muhibbi Ad-Dimasyqi, seorang ahli sejarah, penyair dan
sasterawan. Dilahirkan di Damascus tahun 1061 H dan wafat di sana pada tahun
1111 H. Di antara karangan-karangannya; Az-Zail Al-Raihanah As-Syihab
Al-Khafaji yang diberi nama Nafhah Ar-Raihanah Wa Rasyhah Tila' Al-Hanah dalam
bidang biografi dan Khulasah Al-Athar Fi Tarajim Ahli Al-Qarni Al-Hadi Asyar
Al-Hijri.
42) Belum diperoleh biografinya.
Sumber :
SEBUAH KAJIAN
MENGENAI NASAB SADAH BANI ALAWI
Oleh : Al-Habib Seggaf Ali
Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
Klik Juga :
4. PERNYATAAN PARA AHLI SEJARAH, NASAB DAN BIOGRAFI TENTANG KETURUNAN AL-MUHAJIR AHMAD BIN ISA - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
5. AALI BA'ALAWI ATAU BANI ALAWI Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
6. BANTAHAN DAN PENJELASAN TENTANG NASAB BA ALAWI - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
7. PENGERTIAN AALI (KELUARGA) Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
8. Kebenaran Nasab Keturunan Nabi Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
9. NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
10. SEKILAS MENGENAI ILMU NASAB DAN KEDUDUKANNYA DALAM SYARIAH ISLAMIYAH - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
I am searching a book named bahr ul ansab written between 1600 to 1680 AD
ReplyDelete