PEMBAHASAN KETIGA
BANTAHAN DAN PENJELASAN TERHADAP RENCANA TANTAWI
Pada tarikh 20/12/1406 H bersamaan 5/9/1985 M telah terbit surat khabar As-Syarqul-Awsat dengan nombor edisinya 2483 yang memuatkan sebuah makalah/rencana yang ditulis oleh Sheikh Ali Tantawi dengan mengambil tajuk "Peringatan-peringatan Sheikh At-Tantawi". Di antara kandungan rencana itu adalah seperti berikut:
"Dan orang-orang Hadramaut
berperingkat-peringkat, di antara mereka terdapat Alawiyyun yang menamakan
dirinya sebagai Sadah yang mulia dan ada pula yang tidak mengaku demikian,
padahal nilai seseorang dalam agama Islam diukur dengan ilmu dan takwanya bukan
dengan sebab ayah atau datuk-datuknya. Sedangkan orang yang mulia itu adalah
orang yang bertakwa dan orang yang agung itu adalah orang yang baik dalam
perbuatan dan perilakunya, kemudian kebanyakan nasab-nasab yang dikatakan
bersambung dengan Rasulullah s.a.w. tidak dapat dibuktikan dengan dipertanggungjawabkan
melainkan semata-mata adalah anggapan orang-orang yang mempunyai nasab itu dan
saya tidak menuduh nasab seseorang tetapi saya ingin menerangkan suatu
kenyataan yang konkrit.....".
Beliau tidak hanya
mengemukakannya dalam suratkhabar bahkan mengulangi perkataan yang sama dalam
suatu siaran radio ketika ditanya tentang syarat-syarat kafaah dalam nasab dan
hukum nikah dengan tujuan hendak menyebarluaskan pandangannya yang
kontroversial (menimbulkan fitnah), padahal akan lebih baik jika ia menjawab
kepada penaya itu dengan pendapat para ulama imam-imam yang kenamaan, Sebagai
contoh Abu Hanifah, Ahmad dan Syafi'e r.a. yang menjadikannya sebagai syarat
dalam nikah, sementara Malik tidak mensyaratkannya, itulah pendapat para ulama.
Kemudian Sheikh Ali Tantawi
mengulangi kata-kata yang sama dalam peringatannya pada bahagian keenam muka
surat 133 baris ke-18. Oleh kerana itu kami putuskan untuk mencetak risalah ini
kerana kegigihan beliau dalam menyebarkan makalahnya itu.
Berkata Sheikh,
"Sesungguhnya orang-orang Hadramaut mempunyai peringkat-peringkat(11), di
antara mereka terdapat Alawiyyun yang mengaku sebagai bangsawan yang
mulia". Sukacita kami menerangkan kepada Syeikh Tantawi sekalipun beliau
tahu akan hal ini memandangkan ilmu beliau yang luas dan peradabannya yang
tinggi bahawa peringkat sebagaimana ia maksudkan, bukan pada tempatnya, kerana
pengertian tingkatan ialah suatu perbezaan antara tingkatan masyarakat dari
segi kemasyarakatan, seperti terdapat masyarakat tingkat buruh dan kapitalis/pemodal
dan lain-lain. Adapun yang ada pada orang-orang Hadramaut adalah kesukuan atau
marga, sehingga seorang Alawi dapat tergolong dalam mana-mana tingkatan dari
tiga kelompok di atas, sementara ia tidak dapat digolongkan kepada kabilah(12)
selain dari kabilahnya dan tidak pula pada marga selain marganya.
Sebenarnya Syeikh sendiri
mengetahui bahawa orang-orang Arab sejak permulaan Islam mereka mengambil berat
akan nasab keturunan mereka, sehingga Rasulullah s.a.w. juga menyebutkan nasab
dirinya(13) dan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. dikenal sebagai orang yang
memiliki pengetahuan tentang nasab, hingga digelar sebagai pakar nasab Arab
kemudian terdapat puluhan kitab yang dikarang mengenai ilmu nasab dan ratusan
kitab mengenai nasab dan salasilah keluarga Rasulullah s.a.w., juga telah
disusun yang mana dapat dilihat sebahagian kecil daripadanya dalam pembahasan
ini sebagai misal satu-satunya dan tidak pula merangkumi keseluruhannya.
Semua orang tahu bahawa nasab
keturunan keluarga Rasulullah s.a.w. terutama Sadah Alawi yang akan diterangkan
susunan nasabnya dalam pembahasan ini telah terbukti beritanya dengan luas dan
mutawatir(14), tersusun dari ayah hingga hingga ke datuk dari zaman kita hingga
ke zaman Rasulullah s.a.w. sedangkan orang yang mengingkari berita mutawatir
jelas hukumnya dalam Islam.
Sesungguhnya umat Islam adalah
satu-satunya umat yang mempunyai pertalian riwayat(15)dibandingkan dengan
umat-umat lain, misalnya Al-Qur'an disampaikan kepada kami melalui pertalian
riwayat dan begitu juga sejarah dan nasab keturunan serta tempat-tempat
peperangan dan sirah. Jika kita biarkan setiap orang melepaskan kata-katanya,
tentang perkara-perkara yang sudah terbukti kebenarannya, maka kesudahannya
akan timbul tuduhan dusta banyak perkara dari hukum-hukum syarak dan
peristiwa-peristiwa sejarah disebabkan kerana tidak mereka senangi atau tidak
sesuai dengan keinginannya, sedangkan dalam kaedah syarak yang diketahui oleh
Sheikh sebagai seorang ulama dari kalangan orang yang memegang jawatan kadi
selama beberapa tahun bahawa orang ramai dipercayai tentang keturunan mereka
(tidak boleh didustakan tanpa bukti), maka barangsiapa terbukti kebenaran
nasabnya kemudian ada orang lain yang menuduh sebaliknya, maka ia mesti
mengemukakan bukti, jika gagal maka ia boleh dijatuhkan hukuman had sebagai
QAZIF, melemparkan tuduhan tanpa bukti.
Berkata Sheikh Tantawi, "Dan
di antara mereka ada yang tidak mengaku demikian".
Sukacita kami menerangkan kepada
Sheikh bahawa orang-orang Hadramaut yang sebagaimana anda katakan bahawa mereka
tidak mengaku demikian (keturunan Rasulullah) menunjukkan anda tidak mengetahui
tentang susunan masyarakat Hadramaut, yang mana orang Hadramaut mempunyai
salasilah dan nasab bagi kabilah-kabilahnya.(16) Di sana terdapat golongan
Masyaikh dari keluarga Al-Amudi yang terkenal nasabnya, demikian juga Masyaikh
dari keluarga Bafadal, Baabad, Al-Khatib, Al-Kathiri, Tamim, Syaiban, Nahd dan
selainnya dari kabilah-kabilah Hadramaut yang terpelihara nasabnya dan
dihormati seperti kabilah-kabilah lain yang terdapat di jazirah Arab; Saudi
Arabia, Yaman dan Negara-negara Teluk.
Beliau berkata lagi, "Bahawa
nilai seseorang itu di dalam agama Islam terletak pada ilmu dan takwanya".
"Benar katamu wahai
Sheikh!" jawab saya, sesungguhnya agama Islam menilai setiap manusia dengan
zat dan takwa, namun ia tidak menafikan pertaliannya dengan seseorang bahkan
agama Islam menetapkan beberapa hukum yang diterangkan dalam kitab-kitab fikah
berkenaan dengan orang yang mempunyai pertalian nasab dengan Rasulullah s.a.w.
yang kemudian diabadikan oleh para imam kenamaan dalam kitab-kitab mereka sejak
abad permulaan hingga ke abad ini dan mereka tidak pernah menafikan atau
mencercanya bahkan mereka menetapkan dan menyediakan bab-bab atau ruang khas
dalam kitab-kitab mereka. Lagi pun belum ada ulama yang menyatakan ketiadaan
keturunan Rasul pada zaman di mana mereka menulis karangan-karangan mereka,
kerana kalau memang tidak wujud mereka itu nescaya karangan-karangan mereka itu
akan sia-sia belaka, sedangkan melakukan perbuatan sia-sia terhadap agama
adalah terlarang.
Sheikh Tantawi, "Bukan
kerana ayah atau datuknya tetapi orang yang mulia itu adalah orang yang
bertakwa dan orang baik itu adalah orang yang baik perilaku dan
akhlaknya".
Seggaf: "Benar katamu wahai
Sheikh bahawa orang yang mulia itu adalah orang yang bertakwa dan orang baik
itu adalah orang yang baik perilaku dan akhlaknya". Itu pengertian secara
am, adapun orang yang mulia yang anda maksudkan di sini bukanlah orang mulia
yang termasuk dalam pengertian am di atas, kerana yang dimaksudkan dengan
orang-orang mulia adalah orang yang mempunyai pertalian nasab dengan keluarga
Muhammad yang kecintaannya adalah sebahagian dari agama dan kebenciannya adalah
terkeluar dari agama(17), sedangkan agama tidak pernah melarang seseorang menasabkan
kepada ayah(18) dan datuk bahkan diakuinya. Lihatlah kitab-kitab Tabaqat yang
menyebut nasab bagi tiap-tiap biografi seseorang, demikian juga kitab-kitab
tarikh dan kitab-kitab perawi tidak seorang pun mengatakan tentang pengurangan
nasab seseorang kepada ayah dan datuknya terutama jika ayah dan datuknya
tergolong dari kalangan ahli ilmu yang mempunyai kemuliaan dan kedudukan, lalu
bagaimana kita dapat menuntut dari orang yang nasabnya kepada keluarga
Rasulullah s.a.w. supaya tidak menasabkan dirinya kepada ayah-ayah mereka dan
datuk-datuk mereka, padahal mereka adalah para imam yang bertakwa, berilmu,
mempunyai kemuliaan, memberi petunjuk dan mempunyai kelebihan, demi Allah ini
suatu ketidakadilan.
Sheikh Tantawi, "Kemudian
kebanyakan nasab-nasab ini yang dikatakan berhubung dengan Rasulullah s.a.w.
tidak ada yang membuktikan dan menguatkannya selain dari kata-kata mereka
sendiri".
Seggaf: "Bagaimana anda
mengatakan kata-kata seperti ini wahai Sheikh terhadap umat yang nasabnya telah
dinyatakan secara mutawatir dan beberapa karangan dan salasilah tentang nasab
mereka telah ditulis sejak abad kedua di mana kami telah nyatakan kepada anda
dalam pembahasan ini, jika anda ingin mengetahui tentang orang-orang yang
menulis nasab keluarga Bani Alawi saja, anda akan temukan ratusan orang dari
ahli nasab, ahli tarikh dan biografi yang akan menerangkan kepada anda dan
orang-orang seperti anda, serta dengan tarikh kewafatan mereka. Maka carilah
dan lihatlah dengan pandangan ilmu dan pengetahun tidak dengan pandangan
negatif dan ingkar, kerana sifat negatif dan ingkar itu bukanlah sifat seorang
muslim, apa lagi sebagai seorang yang berilmu dan berdakwah. Sedangkan Allah
telah menunjukkan kepada kita tentang dosa besar syaitan tatkala ia mengingkari
kelebihan penciptaan Adam a.s. dan apa yang kami sebutkan kepada anda dalam
pembahasan ini tentang kebenaran nasab Bani Alawi bukanlah kata-kata mereka
tetapi kata-kata orang lain dari kalangan ulama di bidang hadis dan fikah
seperti Imam As-Sakhawi, Ibnu Hajar Al-Haithami dan lain-lain dari kalangan
imam-imam yang membawa petunjuk. Adapun apa yang terbukti kebenarannya dengan
rajah nasab Bani Alawi maka ia meliputi kebenaran semua salasilah keluarga Nabi
s.a.w. yang disebut dalam kitab-kitab nasab biografi, sirah dan tarikh".
Bukankah kata-kata anda;
"MEREKA MENGATAKAN" iaitu adalah celaan terhadap nasab mereka?
Sesungguhnya kata-kata seperti ini termasuk dalam kata-kata mungkar dan dusta
yang dilarang oleh Allah dalam beberapa ayat dalam Al-Qur'an yang dianggapnya sebagai
perbuatan dosa dan nista yang besar, ketika Allah berfirman:
إِذْتَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُوْلُوْنَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَالَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُوْ نَهُ هَيِّنًا وَّهُوَ عِنْدَاللهِ عَظِيْمٌ...النور: 15
"Ketika kamu menerima berita
itu dengan lidahmu dan mengatakan dengan mulutmu perkara yang kamu tidak
ketahui dan kamu menganggapnya perkara kecil saja, padahal ia di sisi Allah
suatu perkara besar".(Q.S. An-Nur:15).
Bukankah kalimat yang anda
ucapkan wahai Sheikh merupakan penghinaan yang menyiksa mereka? Semua orang
tahu bahawa perbuatan mencerca nasab seseorang muslim itu adalah suatu
penyiksaan yang teramat besar. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada kita:
"Barangsiapa mengganggu seorang muslim maka ia telah menggangguku dan
barangsiapa menggangguku ia telah mengganggu Allah (H.R. Muslim)
Lalu apa
pendapat anda tentang orang yang mengganggu zuriat keluarga Rasulullah s.a.w.
yang mana beberapa hadis menyebutkan tentang haramnya mengganggu mereka.
Wahai Sheikh, tiap-tiap perkataan
seseorang akan dipertanggungjawabkan apa lagi dari seorang alim yang mana Allah
memerintah kita supaya menjaga lidah kita dari percakapan yang tiada berguna
apa lagi kata-kata keji, firman Allah mengenai tanggungjawab kata-kata:
مَايَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيْبٌ عَتِيْدٌ... ق: 18
"Tiada suatu perkataan yang diucapkan (manusia), melainkan di dekatnya ada pengawas yang siap sedia (mencatatnya)".
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar r.a.:
إِنَّ اللهَ لاَ يُعِذِّبُ بِدَمْعِ الْعَيْنِ وَلاَ بِحُزْنِ الْقَلْبِ وَلَكِنْ يُعَذِّبُ بِهَذَا...وَأَشَارِ إِلَى لِسَانِهِ أَوْيَرْحَمُ
"Sesungguhnya Allah tidak
menyiksa hambanya kerana linangan air matanya dan tidak pula kerana duka di
hati tetapi Allah menyiksa kerana ini..... beliau menunjuk kepada
lidahnya". (Muttafaqun alaih).
Kemudian Muaz Bin Jabal
meriwayatkan sebuah hadis yang panjang dari Rasulullah s.a.w.
sabdanya:
"Mahukah kamu aku beritahukan tentang penyebab semua
kebinasaan?" Aku jawab: Tentu ya Rasulullah! Lalu beliau memegang lidahnya
sambil berkata: "Jagalah olehmu ini". Aku bertanya: Ya Rasulullah,
apakah percakapan kita akan diperhitungkan? Jawab beliau: "Celaka kamu
kerana ibumu, bukankah manusia yang tersungkur dengan mukanya ke dalam api neraka
hanya kerana hasil dari percakapannya?" Dikeluarkan oleh Tirmizi dan
dikatakan bahawa hadis ini hasan sahih.
Kata-kata yang keluar dari mulut
orang alim biasanya akan diterima dan ditelan oleh orang-orang jahil tanpa
dikaji lagi sehingga dosanya akan ditanggung oleh si alim itu.
Sheikh: "Saya tidak menuduh
nasab seseorang akan tetapi saya menerangkan suatu kenyataan yang
konkrit".
Seggaf: "Bagaimana anda
katakan demikian wahai Sheikh, bahawa anda tidak menuduh nasab seseorang
padahal anda katakan dalam rencana anda yang sama "Sesungguhnya mereka
mengaku bahawa mereka itu sebagai SADAH". "Bukankah itu merupakan
suatu cercaan dan celaan terhadap nasab mereka? Padahal Rasulullah s.a.w.
bersabda seperti diriwayattkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya:
إِثْنَتَانِ فِى النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ؛ الطَّعْنُ فِى النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ
"Dua perkara yang jika dilakukan oleh umatku menjadi kafir; menghina nasab dan meratapi orang mati", H.R. Muslim.
Maka menurut hadis ini kata-kata
anda itu adalah suatu perlanggaran yang anda lakukan terhadap hak umat,
termasuk di dalamnya para ulama, orang-orang saleh dan para da'i yang telah
menerangi umat-umat dan bangsa-bangsa. Adapun yang anda tulis dalam beberapa
lembaran surat khabar As-Sharqul Awsat hanya sebahagian dari mereka, seandainya
anda mengetahui keluarga ini, kebaikan dan kedudukannya, kemudian anda akan
temukan betapa ia sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang dikeluarkan oleh
Tabarani dalam kitab Al-Kabir dan selainnya di mana beliau mengatakan, sabda
Rasulullah s.a.w.:
قَدِّمُوْا قُرَيْشًا وَلاَ تَتَقَدَّمُوْهَا، وَتَعَلَّمُوْا مِنْهَا وَلاَ تُعَلِّمُوْهَا. وَلَوْ لاَ أَنْ تَبْطَرَ قُرَيْشٌ َلأَخْبَرْ تُهَا بِمَالَهَا عِنْدَ اللهِ
"Utamakanlah orang-orang
Quraish dan jangan kamu mendahului mereka, belajarlah kamu dari orang-orang
Quraish dan jangan mengajari mereka, kalau tidak kerana aku khuatir kelak orang
Quraish menjadi sombong, pasti telah kuberitahukan kedudukan mereka dan
orang-orang yang baik di kalangan mereka di sisi Allah Ta'ala".
Kemudian anda mengatakan bahawa
anda hanya menerangkan suatu kenyataan yang konkrit, bukti apakah yang anda
terangkan wahai Sheikh? Dan apa dasarnya? Sedang Allah Subhanahu Wa Ta'ala
telah mengajar dan memberi petunjuk kepada kita dengan firman-Nya:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِىاللهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَّلاَ هُدًى وَلاَ كِتَابٍ مُّنِيْرٍ... الحج:8
"Dan di antara manusia ada yang membantah Allah tiada dengan pengetahuan, tiada pula pimpinan dan kitab yang memberikan penerangan".(Q.S. Al-Haj:8)
Dan firman-Nya:
تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ قُلْ هَاتُوْا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِيْنَ... البقرة: 111
"Itu hanya angan-angan kosong belaka, katakan dan kemukakan alasanmu, jika kamu memang benar!".
(Q.S. Al-Baqarah:111)
Dan anda tahu benar wahai Sheikh!
Apa yang dimaksud dengan hakikat yang konkrit itu, bukanlah ia suatu perkara
yang telah terbukti dengan dalil qat'i? Lalu bagaimana boleh anda katakan
hakikat yang konkrit sedangkan anda tidak mengemukakan alasan bagi menguatkan
kata-kata dan hakikat yang anda katakan itu? Kemudian dari mana datangnya
hakikat yang konkrit itu? Takutlah kamu kepada Allah dengan menjaga kata-katamu
wahai Sheikh Tantawi!
Saya ingin menerangkan kepada
anda wahai Sheikh Ali dan kepada orang-orang yang mempersoalkan tentang keluarga
ini yang bersambung nasab kepada keluarga Rasulullah s.a.w. bahawa sepanjang
zaman terdapat di kalangan mereka para ulama, imam-imam, orang-orang saleh dan
para da'i yang enggan dirinya keluar dari agama ini (dengan mendakwa nasab yang
tidak benar), cukup menjadi kebanggaan mereka apa yang ada pada mereka dari
ilmu dan kedudukan di mana Rasulullah s.a.w. mengancam orang-orang yang
menasabkan dirinya kepada selain ayahnya dengan sabda baginda s.a.w. seperti
yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ali r.a. secara marfuk:
وَمَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيْهِ أَوِانْتَمَى إِلَى غَيْرِ مِوَالِيْهِ فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَ ئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ. لاَ يَقْبَلُ اللهُ مِنْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَرْفًا وَلاَ عَدْلاً
"Barangsiapa mengaku nasab kepada selain ayahnya dan membangsakan dirinya kepada selain maulanya, maka baginya laknat dari Allah, malaikat dan sekalian manusia. Allah tidak menerima darinya sebarang pertukaran dan tidak pula gantian". (Muttafaqun alaih).
Dan sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Saad r.a. secara marfuk:
مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيْهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيْهِ فَالْجِنَّةُ عِلَيْهِ حَرَامٌ
"Barangsiapa mengaku keturunan selain ayahnya sedang ia mengetahui maka diharamkan padanya syurga".
(Muttafaqun alaih).
Setelah mengemukakan beberapa dalil
yang tidak dapat dimungkiri melainkan oleh orang yang angkuh dan menentang
Allah dan Rasul-Nya yang tiada mempunyai tujuan lain kecuali mencerca itrah
(keturunan) Rasulullah s.a.w. yang mana beliau bersabda dalam hadis tentang
hijrahnya puteri Abu Lahab, ketika orang mengatakan kepadanya:
"Sesungguhnya hijrahmu tidak akan menguntungkanmu kerana kamu adalah
puteri kayu api neraka". Apabila diberitahukan hal itu kepada Rasulullah
s.a.w. maka sangat marah beliau kemudian naik ke atas mimbar dan berkata:
مَابَالُ أَقْوَامٍ يُؤْذُوْنِى فِى نَسَبِى وَذَوِى رَحِمِى! أَلاَ مَنْ أَذَى نَسَبِى وَذَوِى رَحِمِى فَقَدْ أَذَانِى وَمَنْ أَذَانِى فَقَدْ أَذَى اللهَ تَعَالَى
"Mengapa masih ada
kelompok-kelompok yang menyakiti hatiku dengan mencerca nasabku dan keluargaku?
Ketahuilah barangsiapa mencerca keturunan dan keluargaku maka ia telah mencerca
aku dan siapa mencercaku maka ia telah mencerca Allah". (Dikeluarkan oleh
Abil Asim, Tabarani dan Baihaqi dengan lafaz yang hampir sama).
Kami tidak dapat berbuat apa-apa
kepada Sheikh ini dan orang-orang yang mengikuti jejaknya mencerca nasab-nasab
keluarga Rasulullah s.a.w. selain mendoakan kepada Allah semoga Allah memberi
hidayah dan siapa yang diberi hidayah oleh Allah tiada siapa yang boleh
menyesatkannya dan siapa yang sesat maka tiada siapa yang dapat memberi
petunjuk kepadanya.
11) Tabaqah (peringkat) dari segi
bahasa ialah: generasi demi generasi, atau kaum yang mempunyai persamaan dalam
suatu zaman atau masa, keadaan, kedudukan, martabat dan darjat seperti peringkat
ahli hadis, peringkat ahli fikah dan penyair, lihat Mu'jam Al-Wasit dan Lisan
Al-Arab serta Muhit Al-Muhit.
12) Kabilah ialah suatu kumpulan
dari manusia yang menghubungkan nasab kepada ayah atau datuknya, lihat Lisan
Al-Arab, Mu'jam Al-Wasit dan Muhit Al-Muhit.
13) Lihat pembahasan ilmu Nasab
dan kedudukannya dalam Syariah Islam dalam risalah ini.
14) Sesuatu yang diriwayatkan
oleh satu kumpulan dari satu kumpulan yang mana tidak mungkin mereka bersepakat
dalam kebohongan.
15) Ialah apa yang dikutip oleh
orang yang adil dan kuat ingatan dari orang yang sama sepertinya.
16) Lihat kitab As-Syawahid
Al-Jaliyyah karangan As-Sayyid Abdullah bin Hasan Bilfaqih (sudah tercetak),
dan lihat pula kitab Qabail Al-Hijaz dalam bab ini dan selainnya dari
kitab-kitab tertentu.
17) Lihat hadis-hadis berkenaan
dalam pembahasan ini dan juga hadis-hadis berkenaan dalam risalah keutamaan
Ahlul Bait dan hak-haknya tulisan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, yang diberi
ta'liq (komentar) oleh Abu Turab Az-Zahiri
18) Firman Allah Ta'ala
"Millata Abikum Ibrahim" surah Al-Haj:78 dan dalam hadis Nabi s.a.w.
bersabda: "Aku adalah cucu Al-Awatik" diterangkan dalam kamus
Al-Muhit dalam bab Kaf bahawa Awatik adalah salah seorang dari nenek Nabi
s.a.w. (yang kesembilan).
Sumber :
SEBUAH KAJIAN
MENGENAI NASAB SADAH BANI ALAWI
Oleh : Al-Habib Seggaf Ali
Al-Kaff
Klik Juga :
4. PERNYATAAN PARA AHLI SEJARAH, NASAB DAN BIOGRAFI TENTANG KETURUNAN AL-MUHAJIR AHMAD BIN ISA - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
5. AALI BA'ALAWI ATAU BANI ALAWI Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
6. BANTAHAN DAN PENJELASAN TENTANG NASAB BA ALAWI - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
7. PENGERTIAN AALI (KELUARGA) Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
8. Kebenaran Nasab Keturunan Nabi Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
9. NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
10. SEKILAS MENGENAI ILMU NASAB DAN KEDUDUKANNYA DALAM SYARIAH ISLAMIYAH - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
0 Response to "BANTAHAN DAN PENJELASAN TENTANG NASAB BA ALAWI - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff"
Post a Comment
Silahkan komentar yg positip