PEMBAHASAN KELIMA
AALI BA'ALAWI ATAU BANI ALAWI
Ketika sedang berkecamuk fitnah di Basrah di mana bandar-bandar di Iraq menghadapi bahaya pembunuhan dan terorisme(22), Imam Ahmad Bin Isa meninggalkannya pada tahun 317 H bersama sebilangan besar dari keluarga dan pembantunya yang mencapai jumlahnya lebih kurang 70 orang. Perlu diketahui bahawa Imam Ahmad adalah ketua orang-orang Alawiyyin di Basrah. Beliau adalah putera Imam Isa Bin Muhammad Bin Ali Al-Uraidhi dan beliau seorang alim, lalu Imam Ahmad menuju ke Madinah Al-Munawwarah dan tinggal di sana selama setahun, kemudian menunaikan haji pada tahun 318 H. Setelah selesai menunaikan hajinya beliau terus menuju ke Yaman, di antara tempat yang dilaluinya ialah Aljubail di suatu lembah Dau'an bersama dengan rombongannya dari Basrah, lalu berpindah ke bandar Alhajrain yang masyhur. Di sana beliau memiliki sebidang tanah dan pokok tamar, kemudian beliau berpindah ke bandar Al-Husaisah yang kini telah hilang/tertimbus yang dahulunya terletak di antara dua bandar Siwon dan Tarim, lalu meninggal dunia di sana pada tahun 345 H dan kuburnya yang terkenal terletak di tengah-tengah bukit di mana terlihat oleh pengunjungnya dari semua arah.
Ketika Imam Ahmad Bin Isa tiba
bersama rombongannya di Hadramaut beliau tidak memiliki rumah-rumah, tanah atau
ladang pertanian, tetapi orang-orang dari kalangan Ahli Sunnah dan Syiah datang
mengadap pada beliau, sementara orang-orang Abadhiah dari kalangan Kindah dan
Almaharah menentang kehadiran beliau di Hadramaut. Sebahagian para ahli sejarah
menyebutkan tentang terjadinya pertempuran Bahran di antara orang-orang
Abadhiah di satu pihak dan Ahlus Sunnah dan Syiah di pihak yang lain. Orang Abadhiah
berusaha menyingkirkan Imam Al-Muhajir dari Hadramaut sementara orang-orang
Syiah menghendaki beliau kekal di sana. Akhirnya kemenangan berada di pihak
penyokong-penyokong Imam Al-Muhajir(23) dan tewaslah orang-orang Abadhiah dalam
pertempuran ini. Kemudian tersebarlah keturunan Imam Ahmad di Hadramaut di mana
orang yang pertama dari keturunannya dilahirkan di Hadramaut ialah Imam Alawi
Bin Ubaidillah Bin Ahmad Bin Isa(24), dinamakan dengan nama ini kerana
dinisbahkan kepada Imam Ali dan tidak seorang pun membantu atas pemberian nama
ini, maka kepada Imam Alawi inilah kemudian dinasabkan SADAH di Hadramaut, lalu
mereka disebutkan Aali Ba'Alawi seperti cara orang-orang Hadramaut menasabkan
kepada datuk-datuk mereka. Adapun dalam bahasa yang fasih Ba'Alawi ini
terpisahlah antara keturunan Imam Ahmad Bin Isa yang tersebar di Hadramaut dan
di tempat-tempat berhijrahnya orang-orang Hadramaut dengan nisbah yang am
dipakai bagi keturunan Imam Ali Bin Abi Talib karramallahu wajhah. Orang-orang
yang menyokongnya dipanggil Alawiyyin, sementara orang-orang yang menentangnya
disebut Nawasib, seperti Othmaniyyin, Sufyaniyyin dan Huraiziyyin, mereka itu
dinisbahkan kepada Saiyidina Othman r.a., Abu Sufyan Bin Harb dan Huraiz
An-Nassibi yang masyhur.
Adapun keturunan Imam Alawi Bin
Ubaidillah adalah orang-orang berilmu, berdakwah dan mempunyai istiqamah.
Mereka menjadikan orang-orang yang tinggal di Hadramaut dan di tempat-tempat
berhijrahnya sebagai orang-orang yang bermazhab Syafi'e dan dengan ilmu dan
kebijaksanaan mereka, Hadramaut bertukar dari penganut mazhab Abadhi yang sudah
menyimpang kepada Ahlus-Sunnah bermazhab Syafi'e. Kemudian mereka memperluas
gerakannya ke dunia Islam yang lain, lalu bergeraklah mereka ke beberapa
wilayah Asia Tenggara dan Afrika Timur sambil membawa cahaya Islam demi
memenuhi perintah tuhannya kerana firman Allah Ta'ala:
أُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْ عِظَةِ الْحَسَنَةِ... النحل: 125
"Ajaklah mereka kepada jalan Allah dengan bijaksana dan pengajaran yang baik".
Lihatlah kitab 'Islam di Timur Jauh', (tarikh masuknya penyebaran dan
keadaannya) karangan Dr. Kaisar Adib Mokhol yang telah diterjemahkan ke dalam
bahasa Arab oleh Dr. Nabil Subhi dan kitab'Pengantar Kepada Sejarah Islam di
Timur Jauh', karangan Al-Allamah Alwi Bin Tahir Al-Haddad Ba'Alawi, kitab
'Sejarah Islam di Filipina' oleh Dr. Naqib Salibi, kitab 'Masuknya Islam Ke
Afrika Timur'oleh Ustaz Hamid Ahmad Masyhur Al-Haddad dan 'Dunia Islam Masa
Kini' oleh Amir Shakib Arslan.
KETUA NASAB LAIN YANG MASYHUR DARI BANI ALAWI
KETUA NASAB LAIN YANG MASYHUR DARI BANI ALAWI
Di antara nasab yang masyhur di
Hadramaut, Yaman, Al-Haramain As-Syarifain dan tempat-tempat berhijrahnya
orang-orang Hadramaut, Mesir, Syria serta Moroko, iaitu yang berasal dari
Al-Allamah Ad-Da'iyah Al-Muhaqqiq kepada orang salaf dahulu yang mempunyai
nama, baik di timur, barat dan tanahair ialah Ahmad Bin Hassan Bin Abdullah
Al-Attas. Beliau dilahirkan pada tahun 1257 H di Huraidhah, Hadramaut. Beliau
memperoleh ilmu pengetahuan dari ulama terkemuka di sana sehingga beliau
menguasai ilmu-ilmu bahasa dan syariah Islamiah. Setelah menghafal Al-Qur'an
dan bacaan-bacaannya beliau pergi ke Al-Haramain As-Syarifain untuk menuntut
ilmu di Mekah Al-Mukarramah, maka tersebarlah nama baiknya di sana dan beliau
dikenal oleh ulama yang datang ke Mekah Al-Mukarramah kerana hubungan beliau
yang erat dengan guru besar dan mufti Mekah, As-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, yang
mana telah disediakan untuk beliau suatu tempat duduk yang tinggi di
tengah-tengah suasana keilmuan dan beliau diizinkan mengajar di Al-Haram dimana
beliau dikerumuni oleh para ulama Mekah, Madinah, Mesir, Syria dan Moroko kerana
luasnya ilmu beliau, cerdas otaknya, baik pemikirannya dan meresap kata-katanya
sehingga banyak di antara ulama Al-haramain As-syarifain, Mesir, Syria dan
Moroko memuji beliau. Tambahan lagi beliau berasal dari Hadramaut, lalu mereka
menterjemahkan kitab-kitab beliau(25). Kemudian beliau kembali ke Hadramaut di
mana beliau mendapat suatu manfaat yang besar kerana dapat menyebarkan ilmu dan
dakwah serta melakukan kebaikan. Beliau juga banyak mempunyai jasa dan semua
orang mengenal nisbah beliau kepada keturunan Rasulullah (Itrah Muhammadiyah)
tiada seorang pun yang mengingkarinya dan dengan itu beliau dikenal dalam
beberapa perjalanannya terutama di Mesir ketika datang menziarahinya pada tahun
1308 H. Kemudian setelah menempuh kehidupan yang penuh dengan erti kebaikan
beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1334 H setelah mencapai usia 77
tahun.
22) Fitnah Az-Zinj Wa Fitnah
Al-Qaramitah.
23) Lihat kitab Imam Muhajir
karangan Ustaz Muhammad Zia' Syahab dan Abdullah bin Nuh cetakan Dar Al-Syuruq.
24) Kepada beliau dinasabkan
As-Sadah Al Ba Alawi di Hadramaut.
25) Lihat kitab-kitab berikut: Tanwir Al-Iglas,
karangan As-Syeikh Muhammad Ba-Fadhl; Uqud Al-Almas, karangan Al-Allamah Alwi
bin Tahir Al-Haddad; Siyar Wa Tarajim Ba'dhu Ulama'ina Fil Qamir Rabi' Asyar,
karangan Al-Ustaz Omar Abdul Jabbar; Kalam Al-Habib Ahmad bin Hasan Al-Attas,
Fi Man Talaqqa Anhu Min Ulama' Al-Jihat; Mu'jam Al-Mualiffin, karangan Omar
Ridha Kahhalah; Al-A'lam, karangan Az-Zarkali.
Sumber :
SEBUAH KAJIAN
MENGENAI NASAB SADAH BANI ALAWI
Oleh : Al-Habib Seggaf Ali
Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
Klik Juga :
4. PERNYATAAN PARA AHLI SEJARAH, NASAB DAN BIOGRAFI TENTANG KETURUNAN AL-MUHAJIR AHMAD BIN ISA - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
5. AALI BA'ALAWI ATAU BANI ALAWI Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
6. BANTAHAN DAN PENJELASAN TENTANG NASAB BA ALAWI - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
7. PENGERTIAN AALI (KELUARGA) Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
8. Kebenaran Nasab Keturunan Nabi Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
9. NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
10. SEKILAS MENGENAI ILMU NASAB DAN KEDUDUKANNYA DALAM SYARIAH ISLAMIYAH - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
0 Response to "AALI BA'ALAWI ATAU BANI ALAWI Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff"
Post a Comment
Silahkan komentar yg positip