PEMBAHASAN PERTAMA
Kebenaran Nasab Keturunan Nabi Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
Para ulama menerangkan bahawa Ahlul Bait telah disebut secara khusus dalam Al-Qur'an dalam beberapa ayat, yang mana tiap-tiap ayat yang tersebut mempunyai tujuan-tujuan tertentu, di antaranya; penyucian, penghormatan terhadap mereka, peringatan kepada membencinya atau menghubungkan nasab dengan tidak benar dan menerangkan bahawa anak-anak lelaki dari puteri Rasulullah s.a.w. (sallallahualaihi waalihi wassalam) dinasabkan kepada beliau dan bukan kepada yang lain. Secara ringkas pembahasan ini akan menerangkan tiga ayat berserta tujuan-tujuannya yang memadai bagi memperjelaskan maksud di atas.
AYAT PERTAMA
Firman Allah Ta'ala dalam Surat
Ali Imran:61:
فَمَنْ حَاجَّكَ فِيْهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَّعْنَتَ اللهِ عَلَى الْكَاذِبِيْنَ. (ال ءمران): 61
"Maka siapa yang membantah engkau tentang kebenaran ini, sesudah datang kepadamu pengetahuan, katakanlah (kepadanya): Mari! Biarlah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian itu kita berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah: Kita minta supaya kutukan Allah turun atas orang-orang yang dusta".(Q.S. Ali Imran:61)
Ibnu Kathir menerangkan tentang
tafsir ayat di atas iaitu tatkala datang rombongan orang-orang nasrani dari
Najran yang ingin berhujah dengan Rasulullah s.a.w. tentang apa yang dibawanya,
maka Rasulullah s.a.w. mengajak mereka bermubahalah.
Jabir r.a. berkata: Telah datang
kepada Nabi s.a.w. Aqib dan Tayyib, lalu beliau mengajak mereka mulaanah
(meminta diturunkan laknat ke atas yang salah), lalu keduanya berjanji akan
melakukannya pada esok hari, maka berangkatlah Rasulullah s.a.w. pada pagi hari
dengan membawa Ali, Fatimah, Al-Hasan dan Al-Hussin, kemudian diutusnya seorang
untuk menemui keduanya namun mereka menolak seruannya dan menyatakan padanya
ketidaksanggupan mereka. Lalu bersabda Rasulullah s.a.w.:
وَالَّذِيْ بَعَثَنِيْ بِالْحَقِّ لَوْ قَالاَ: لاَ، َلأَمْطَرَ عَلَيْهِمُ الْوَادِيْ نَارًا
"Demi Allah yang telah
mengutusku dengan kebenaran seandainya mereka berkata "ya" (tidak
menolak) nescaya Allah akan menurunkan ke atas mereka api yang memenuhi lembah
itu".
Jabir berkata, "Kepada mereka diturunkan ayat (Mari!, biarlah kami panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, diri kami dan diri kamu)". Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih dan Al-Hakim dalamMustadrak dan diriwayatkan juga oleh At-Tayalisi dari Sha'bi secara mursal. Ibnu Kathir berkata "Itulah yang paling benar".
Maka nyatalah bahawa ayat dan
hadis ini menjadi dalil bahawa Al-Hasan dan Al-Hussin r.a. adalah keturunan
atau zuriat Nabi s.a.w. dan menempatkan Al-Imam Ali karramallahu wajhah (k.w.)
pada suatu martabat dan kedudukan yang tinggi yang tidak diragukan oleh orang
yang mempunyai akal sehingga Nabi menjadikan beliau sebagai dirinya dalam firman
Allah Ta'ala: ".....diri kami dan diri kamu".
AYAT KEDUA
Firman Allah Ta'ala dalam surat
Al-Syura:23:
قُلْ لاَ أَسْئَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلاَّ الْمَوَدَّةَ فِى الْقُرْبَى...(الشورى):23
"Katakanlah (Muhammad) untuk
itu Aku tiada meminta upah (bayaran) kepada kamu, (yang Kuminta) hanya kasih
sayang terhadap keluarga terdekat".(Q.S. As-Syura:23)
Pengertian kalimat AL-QURBA
(keluarga dekat/kerabat) dalam ayat ini telah ditafsirkan dalam beberapa hadis
seperti berikut;
1. Muslim
meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berkhutbah di Ghadir Khom:
إِنِّيْ تَارِكٌ فِيْكُمُ الثَّقَلَيْنِ: كِتَابَاللهِ وَعِتْرَتِيْ، أَلاَ وَإِنَّهُمَا لَنْ يَفْتَرِ قَاحَتَّى يَرِدَا عَلَي الْحَوْضْ
"Sesungguhnya aku
meninggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (As-Thaqalain), Kitab
Allah dan Itrahku (keturunanku), dan bahawa keduanya tidak akan berpisah
sehingga kelak datang kepadaku di Telaga Haudh."
2. Muslim Ahmad dan Nasa'i telah meriwayatkan dari Zaid Bin Arqam r.a. bahawa katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang berdiri menyampaikan khutbahnya di hadapan kami di suatu paya bernama Khom yang terletak di antara Mekah dan Madinah, setelah memuji Allah dan memberi peringatan dan nasihat, kemudian baginda bersabda:
أَلاَ أًيُّهَا النَّاسُ فَاءِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوْشِكُ أَنْ يَأْتِى رَسُوْلُ رَبِّىْ فَأُجِيْبُ وَأًنَا تَارِكٌ فِيْكُمْ ثَقَلَيْنِ : أَوَّلُهَا كِتَابُ اللهِ فِيْهِ الْهُدَي وَالنُّوْرُ فَخُذُوْا بِكِتَابِ اللهِ وَاسْتَمْسِكُوْا فَحَثَّ عَلَىكِتَابِ اللهِ وَرَغِبَ فِيْهِ. ثُمَّ قَالَ : وَأَهْلُ بَيْتِىْ أُذَكِّرُ كُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِىْ اُذَكِّرُ كُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِى أُذَكِّرُ كُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِى. فَقَ لَ لَهُ حُصَيْنٌ : وَمَنْ أَهْلُ بَيْتِهِ يَا زَيْدُ؟ أَلَيْسَ نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ؟ قَالَ : نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ. وَلَكِنْ أَهْلُ بَيْتِهِ مَنْ حُرِّمَ الصَّدَقَةُ بَعْدَهُ. قَالَ : وَمَنْ هُمْ؟ قَالَ : هُمْ آلُ عَلِيْ وَآلُ عَقِيْلٍ وَآلُ جَعْفَرٍ وَآلُ عَبَّاسِ
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah basyar (manusia) dan aku tidak lama lagi akan menyahut seruan tuhanku, maka aku tinggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (As-Thaqalain); pertama kitab Allah Ta'ala yang di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya, maka ambillah kitab Allah itu dan berpeganglah padanya". Lalu beliau menganjurkan supaya memberi perhatian kepada kitab Allah dan menggemarinya kemudian sabdanya: "Dan Ahli Baitku, aku peringatkan kamu terhadap Ahli Baitku, aku peringatkan kamu terhadap Ahli Baitku".
Lalu Husain bertanya, "Siapakah gerangan Ahli Bait baginda wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri baginda adalah Ahli Baitnya?" Jawab beliau, "Isteri-isterinya bukan dari Ahli Baitnya, tetapi Ahli Baitnya ialah mereka yang haram menerima sedekah (zakat) selepasnya. Siapa mereka, tanya mereka?" Jawabnya: "Mereka itu adalah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Jaafar dan keluarga Al-Abbas r.a."
Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata
tentang tafsiran ayat ini:
"Dan kami tidak mengingkari adanya wasiat terhadap Ahlul Bait dan suruhan berbuat baik kepada mereka, menghormati dan memuliakannya, kerana mereka itu berasal dari zuriat yang suci dari keluarga yang paling suci dan datuk yang paling mulia di atas permukaan bumi dari segala ketinggian, kehormatan dan keturunan".
"Dan kami tidak mengingkari adanya wasiat terhadap Ahlul Bait dan suruhan berbuat baik kepada mereka, menghormati dan memuliakannya, kerana mereka itu berasal dari zuriat yang suci dari keluarga yang paling suci dan datuk yang paling mulia di atas permukaan bumi dari segala ketinggian, kehormatan dan keturunan".
AYAT KETIGA
Firman Allah Ta'ala dalam surat Al-Ahzab:33:
إِنَّمَا يُرِيْدُ اللهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيْرًا...الاحزاب: 33
"Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan kekotoran dari kamu, Ahlul Bait dan hendak mensucikan kamu dengan sesuci-sucinya".(Q.S. Al-Ahzab:33)
Abul Hasan Ali Bin Ahmad Al-Wahidi An-Nisaburi telah menyebutkan dalam kitabnya Asbabun-Nuzulmengenai ayat di atas, bahawa ia diturunkan untuk lima orang: Rasulullah s.a.w., Ali Bin Abi Talib, Fatimah Az-Zahra', Al-Hasan dan Al-Husain r.a. (m.s. 66).
Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam
menafsirkan ayat di atas menyebutkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Tirmizi dan Bazzar dari Abi Hatim dari Awwam Bin Haushab r.a. dari sepupunya,
katanya, "Aku telah masuk bersama ayahku ke rumah Aisyah r.a. maka aku
menanyakan padanya tentang Ali r.a." Aisyah menjawab, "Engkau
menanyakan padaku tentang orang yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w.
sehingga ia dikahwinkan dengan puterinya yang paling dicintainya, aku pernah
melihat Rasulullah s.a.w. mendoakan Ali, Fatimah, Hasan dan Husin r.a. lalu
menutup di atas mereka dengan suatu pakaian seraya sabdanya: Ya Allah mereka
ini adalah Ahli Baitku maka hindarkanlah mereka dari dosa dan sucikanlah mereka
sesuci-sucinya", kemudian aku mendekati mereka sambil menanyakan: "Ya
Rasulullah adakah aku termasuk dari ahlibaitmu?" Baginda s.a.w. menjawab:
"Pergilah kamu, sesungguhnya kamu berada pada jalan yang baik".
Riwayat yang sama dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dari Wathilah Bin Al-Asga' dan
berkata bahawa hadis ini sahih asnadnya.
Hadis Ummu Salamah, bahawa
Rasulullah s.a.w. berkata pada Fatimah: "Bawalah padaku suamimu dan dua
orang anakmu", maka datanglah Fatimah bersama mereka lalu Rasulullah
s.a.w. menutupkan di atas mereka dengan kisa' (pakaian) milikku yang kuperoleh
dari Khaibar kemudian baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa: "Ya
Allah sesungguhnya mereka ini adalah keluarga Muhammad maka kurniakan selawat
dan keberkatanmu kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah mengurniakan
kepada keluarga Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji Lagi Maha Agung".
lalu kuangkat kisa' itu supaya aku dapat masuk bersama mereka namun ditariknya
oleh Rasulullah s.a.w. dari tanganku dan berkata: "Sesungguhnya kamu
berada di atas jalan kebaikan".Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dan Ibnu Asakir.
Al-Hakim dan Ibnu Syaibah juga
meriwayatkan dari Ummu Salamah dengan lafaz yang hampir sama dengan riwayat di
atas.
Berkata An-Nawawi dalam kitab
Majmuk menukil dari Al-Azhari dan yang lain bahawa mereka itu adalah itrahnya
yang dinasabkan kepada beliau s.a.w. Mereka itu ialah anak-anak Fatimah r.a.
dan keturunannya sepanjang zaman.
Sumber :
SEBUAH KAJIAN
MENGENAI NASAB SADAH BANI ALAWI
Oleh Al-Habib Seggaf Ali
Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
Klik Juga :
4. PERNYATAAN PARA AHLI SEJARAH, NASAB DAN BIOGRAFI TENTANG KETURUNAN AL-MUHAJIR AHMAD BIN ISA - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
5. AALI BA'ALAWI ATAU BANI ALAWI Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
6. BANTAHAN DAN PENJELASAN TENTANG NASAB BA ALAWI - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
7. PENGERTIAN AALI (KELUARGA) Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
8. Kebenaran Nasab Keturunan Nabi Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
9. NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
10. SEKILAS MENGENAI ILMU NASAB DAN KEDUDUKANNYA DALAM SYARIAH ISLAMIYAH - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
0 Response to "Kebenaran Nasab Keturunan Nabi Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff"
Post a Comment
Silahkan komentar yg positip