//

NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff





PEMBAHASAN KEEMPAT

NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAHUPUN DI AKHIRAT



Sebagaimana diketahui dengan dalil-dalil qat'i yang datang dari Rasulullah s.a.w. bahawa nasab keturunan Muhammad akan berterusan hingga hari kiamat dan seterusnya hingga mereka datang di telaga Rasulullah s.a.w. Adapun orang yang mengatakan bahawa nasab ini terputus, tidak akan bersambung atau tidak diketahui, mereka itu menentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mengatakan kesinambungan nasab ini, bukti-bukti bersambungnya dan kemasyhurannya, kerana Al-Mahadi akan muncul dari nasab yang mulia ini dan di antara syarat-syarat beriman padanya ialah dengan mengenal nasabnya dengan pengetahuan yang jelas, terang dan tiada kesamaran. Di sini kami akan mengemukakan beberapa dalil sambil menerangkan segi pengambilan hukumnya, di antaranya:


FASAL PERTAMA:
1. Dari Zaid Bin Arqam r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:


إِنِّى تَارِكٌ فِيْكُمُ الثَّقَلَيْنِ، مَاإِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدِيْ، أَحَدُهُمَا أَعْظَمُ مِنَ اْلأَخِرِ: كِتَابُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ حَبْلٌ مَمْدُوْدٌ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى اْلأَرْدِ وَعِتْرَتِى أَهْلُ بَيْتِى، وَلَنْ يَتَفَرَّ قَا حَتَّى يَرْدَا عَلَى الْحَوْض، فَانْظُرُوْا كَيْفَ تَخْلِفُوْنِى فِيْهِمَا


"Sesungguhnya aku meninggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat, selagi kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat sepeninggalan aku, yang satu lebih besar dair yang lain; Kitab Allah yang merupakan tali yang terhulur menjunam dari langit ke bumi dan itrahku (keturunan) dari Ahli Baitku, keduanya tidak akan berpisah sehingga datang padaku di Telaga Haudh, maka perhatikanlah bagaimana sikap kamu terhdap keduanya itu", diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi dan Ahmad.

2. Dari Jabir Bin Abdillah r.a. katanya: Aku melihat Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah di atas untanya yang terpotong telinganya dan kudengar sabdanya: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat -- jika kamu mengambilnya maka kamu tidak akan sesat; Kitab Allah dan itrahku dari Ahli Baitku", diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ahmad.

3. Al-Hafiz Ibnu Kathir memuat dalam tafsirnya sebuah hadis yang menurutnya sahih, bahawa Rasulullah s.a.w berkata dalam khutbahnya di Ghadir Khom:


إِنِّيْ مُخْلِفٌ فِيْكُمُ الثَّقَلَيْنِ:كِتَابَ اللهِ، وَعِتْرَتِيْ أَهْلِ بِيْتِيْ، أَلاَ وَأَنَّهُمَا لَنْ يَفْتَرِ قَاحَتَّى يَرِدَا عَلَي الْحَوْضْ

"Sesungguhnya aku meninggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (thaqalain); Kitab Allah dan itrahku dan bahawa keduanya tidak akan berpisah sehingga datang menjumpaiku di Telaga Haudh".

4. Dari Zaid Bin Arqam r.a. katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berdiri sedang menyampaikan khutbahnya di hadapan kami di suatu telaga air bernama Khom yang terletak antara Mekah dan Madinah. Setelah mengucapkan hamdalah dan memuji kepada Allah, memberi peringatan dan nasihat lalu bersabda baginda s.a.w.:


أَمَّا بَعْدُ أَلاَ أًيُّهَا النَّاسُ فَاءِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوْشِكُ أَنْ يَأْتِى رَسُوْلُ رَبِّىْ فَأُجِيْبُ وَأًنَا تَارِكٌ فِيْكُمْ ثَقَلَيْنِ : أَوَّلُهَا كِتَابُ اللهِ فِيْهِ الْهُدَي وَالنُّوْرُ فَخُذُوْا بِكِتَابِ اللهِ وَاسْتَمْسِكُوْا فَحَثَّ عَلَىكِتَابِ اللهِ وَرَغِبَ فِيْهِ. ثُمَّ قَالَ : وَأَهْلُ بَيْتِىْ أُذَكِّرُ كُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِىْ اُذَكِّرُ كُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِى أُذَكِّرُ كُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِى. فَقَ لَ لَهُ حُصَيْنٌ : وَمَنْ أَهْلُ بَيْتِهِ يَا زَيْدُ؟ أَلَيْسَ نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ؟ قَالَ : نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ. وَلَكِنْ أَهْلُ بَيْتِهِ مَنْ حُرِّمَ الصَّدَقَةُ بَعْدَهُ. قَالَ : وَمَنْ هُمْ؟ قَالَ : هُمْ آلُ عَلِيْ وَآلُ عَقِيْلٍ وَآلُ جَعْفَرٍ وَآلُ عَبَّاسِ. قَالَ : كُلُّ هَؤُلاَءِ حُرِّمَ الصَّدَقَةُ؟ قَالَ : نَعَمَ


"Amma ba'du, wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah seorang basyar (manusia) dan tidak lama lagi aku akan menyahut seruan tuhanku, maka aku tinggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (Thaqalain); pertama Kitab Allah Ta'ala yang di dalamnya mengandungi petunjuk dan cahaya, maka ambillah kitab Allah itu dan berpeganglah padanya", lalu baginda menganjurkan supaya memberi perhatian kepadanya dan menggemarkan orang kepadanya kemudian sabdanya:"Dan Ahli Baitku, aku peringatkan kamu terhadap Ahli Baitku". Lalu Husain bertanya: Siapakah Ahli Bait baginda wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri beliau adalah Ahli Baitnya? Zaid menjawab: Sesungguhnya isteri-isteri baginda bukanlah daripada Ahli Baitnya akan tetapi Ahli Bait baginda adalah orang-orang yang diharamkan pada mereka menerima sedekah selepas kewafatan baginda. Ia bertanya lagi: Siapakah mereka itu? Jawabnya: Mereka itu adalah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Jaafar dan keluarga Al-Abbas r.a. Katanya: Apakah semua mereka itu diharamkan padanya sedekah? Jawabnya:Ya, diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Tirmizi dan Nasa'i.



HUKUM YANG DAPAT DIAMBIL DARI HADIS-HADIS DI ATAS:
 
1. Al-Qur'an-ul-Karim akan kekal dan akan kekal pula hukumnya serta bukti kebenarannya di atas permukaan bumi sehingga hari kiamat kemudian datang kepada Rasulullah di telaga haudhnya seperti disebutkan dalam tiga hadis pertama di atas.


2. Ahlul Bait adalah 'partner' Al-Qur'an yang sentiasa berdamping dengannya, tiada mungkin terpisah sehingga keduanya bertemu dengan Rasulullah di telaga haudhnya seperti diterang oleh hadis-hadis di atas.


3. Dari hadis ini dapat diketahui bahawa keturunan Ahlul Bait sentiasa dikenal dan dipercayai sebagaimana Al-Qur'an-ul-Karim dipercayai, kerana keduanya merupakan kesatuan yang tidak dapat dipisahkan, seperti disifatkan oleh hadis-hadis sahih di atas.


4. Rasulullah s.a.w. menyebutkan dalam tiga hadis pertama di atas bahawa beliau meninggalkan di atas permukaan bumi ini dua perkara yang sentiasa bergandingan, siapa berpegang kepada keduanya tidak akan sesat iaitu; Kitab Allah dan itrahnya.


 

FASAL KEDUA:

1. Abu Daud mengatakan dalam Sunannya: Telah memberitahu saya Ahmad Bin Ibrahim, dari Abdullah Bin Jaafar Ar-Rugi, dari Abul Malij Al-Hasan Bin Omar dari Ziyad Bin Bayan dari Ali Bin Nufail dari Said Bin Al-Musayyib dari Ummu Salamah katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Al-Mahdi adalah dari keturunanku dan dari cucu Fatimah", dikeluarkan oleh Ibnu Majah dari Said Bin Al-Musayyib katanya: Kami pernah berada di rumah Ummu Salamah r.a. dan kami menyebut-nyebut Al-Mahdi, maka katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Al-Mahdi dari keturunan Fatimah", hadis ini disahihkan oleh As-Sayuti dalam kitab Al-Jami' As-Saghir.

2. Abu Daud juga meriwayatkan dalam Sunannya dari jalur Asim Bin Ibnun-Nujud dari Zar Bin Abdullah Bin Mas'ud r.a. dari Rasulullah s.a.w. sabdanya: "Sekiranya tidak tinggal melainkan sehari umur dunia, nescaya Allah akan memanjangkan hari itu sehingga dibangkitkan padanya seorang dariku atau dari keluargaku yang namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku, ia akan memenuhi bumi dengan kesaksamaan dan keadilan setelah dipenuhi dengan kezaliman dan penganiayaan", hadis ini disahihkan oleh Ibnu Taimiyah dalam kitab Minhajus Sunnah an-Nabawiyah.

3. Berkata Abu Daud dalam Sunannya: Telah memberitahu aku Suhail Bin Tamam Bin Badi' dari Imaran Al-Qattan dari Abi Nadrah dari Abi Said Al-Khudri katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:"Al-Mahdi dari keturunanku, lebar dahinya dan mancung hidungnya, ia memenuhi bumi dengan kesaksamaan dan keadilan setelah dipenuhi dengan kezaliman dan penganiayaan dan akan berkuasa selama 7 tahun". Hadis disahihkan oleh Ibnu Qayyim dalam kitab Al-Manar dan As-Sayuti dalam kitabAl-Jami' As-Saghir.

Dari hadis-hadis mengenai Al-Mahdi di atas dapat diambil beberapa pengajaran:

1. Al-Mahdi dari keturunan Rasulullah s.a.w. dan keluarga Nabi s.a.w. adalah keturunan(19) wanita ahli syurga, Sayidah Fatimah Az-Zahra' iaitu dari keturunan Sayidina Al-Hasan atau Sayidina Al-Husain r.a.

2. Al-Mahdi akan datang pada akhir zaman dan bahawa beliau dari keturunan Ahlul Bait. Oleh kerana beliau dari keturunan Ahlul Bait maka nasabnya mesti dikenal dan disepakati oleh semua pihak, sehingga tidak terdapat keraguan pada nasabnya, kerana kami diperintah untuk mengimaninya dan mengikutinya sekalipun dengan merangkak di atas salji, seperti disebutkan dalam hadis-hadis sahih.

3. Al-Mahdi disebutkan dalam banyak hadis yang telah mencapai tingkat mutawatir(20) maka barangsiapa mengingkarinya atau mencaci nasabnya dan nasab keturunan Fatimah Az-Zahra' yang telah terbukti dengan dalil-dalil naqli dengan sanad-sanadnya yang sahih lagi mutawatir, maka ia telah mengingkari suatu dalil syar'i yang terbukti kebenarannya, sedangkan orang yang mengingkari hadis mutawatir jelas hukumnya di sisi para ulama syarak dan untuk lebih memperjelas kami sebutkan beberapa dalil dalam pembahasan-pembahasan risalah ini.


FASAL KETIGA:
Firman Allah Ta'ala dalam Al-Qur'an:


جَنَّاتُ عَدْنٍ يَّدْخُلُوْ نَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَآ ئِهِمْ وَاَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمِ...الرعد: 23


"Syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya dan juga orang yang baik-baik dari bapak-bapak mereka dan isteri-isteri (suami-suami) mereka dan turunan mereka"(21).

Maka dapat diambil pengajaran dari ayat suci ini, bahawa Allah s.w.t. menetapkan suatu hukum kepada keturunan-keturunan yang mana mereka akan menyertai datuk-datuk mereka, lalu bagaimana dapat dipastikan keturunan-keturunan itu tanpa ketetapan nasab, sedangkan zuriat (keturunan) sebagaimana kita ketahui adalah dari hasil keturunan seorang lelaki atau orang yang dinasabkan kepadanya hingga hari kiamat.




FASAL KEEMPAT:


1. Dari Abi Said Al-Khudri r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w berkhutbah di atas mimbar:

مَ بَالُ أَقْوَامٍ يَقُوْلُوْنَ: إِنَّ رَحْمَ رَسُوْلِ اللهِ لاَ تَنْفَعُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. بَلَى. إِنَّ رَحْمِيْ مَوْصُوْلَةٌ فِى الدُّنْيَا وَاْلأَخِرَةِ


"Mengapa masih ada sebilangan kaum yang mengatakan bahawa tali kekeluargaan Rasulullah s.a.w tidak menguntungkan kaumnya pada hari kiamat. Sungguh demi Allah bahawasanya tali kekeluargaan akan tetap tersambung di dunia mahupun di akhirat. Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku akan mendahului kamu sampai di Telaga Haudh"

diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim dalam sahihnya, dan Al-Baihaqi dan Tabarani dalam kitab Al-Kabir.

2. Al-Bazzar meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Telah meninggal dunia seorang puteri Safiah binti Abdul Muttalib r.a. kemudian beliau bercerita yang kesudahannya beliau katakan: Kemudian Rasulullah s.a.w. berdiri, setelah mengucapkan hamdalah dan memuji kepada Allah lalu bersabda:"Mengapa masih ada sebilangan kaum yang menuduh bahawa hubungan kerabatku tidak akan memberi manfaat, ketahuilah bahawa semua kemuliaan dan keturunan akan terputus pada hari kiamat kecuali kemuliaan dan keturunanku dan sesungguhnya tali kekeluargaanku akan tetap bersambung di dunia mahupun di akhirat", hadis ini disahihkan oleh Al-Hafiz As-Sakhawi dan Ibnu Hajar dan disebutkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya dari tiga jalur.



PENGAJARAN

1. Dari dua hadis di atas nyatalah bahawa kemuliaan dan keturunan Rasulullah s.a.w. tidak akan terputus sama ada di dunia mahupun di akhirat.

2. Nabi s.a.w. membantah anggapan orang yang mengatakan bahawa tali kekeluargaannya tidak memberi manfaat, bahkan menguatkan manfaat tersebut dengan sumpah yang mana sabdanya: "Demi Allah sesungguhnya tali kekeluargaanku tetap bersambung di dunia dan di akhirat".


Maka jelas bahawa dari keterangan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. di atas bahawa itrah beliau adalah keterununan Saiyidina Al-Hasan dan Saiyidina Al-Husain r.a. dan bahawasanya keturunan ini akan kekal sebagaimana kekalnya Al-Qur'an sehingga kedua datang pada hari kiamat di Telaga Haudhnya. Sesungguhnya Al-Mahdi berasal dari keturunan suci ini yang sentiasa terbukti dengan jelas tanpa ada keraguan di dalamnya, laksana Al-Qur'an yang terang, jelas dan terbukti kebenarannya. Kemudian bahawasanya nasab Rasulullah s.a.w. tidak akan terputus di dunia mahupun di akhirat, siapa yang mengingkarinya maka ia telah mengingkari kewajipan beragama, menentang Allah dan mendustakan hadis-hadis sahih mutawatir yang datang dari Rasulullah s.a.w.



19) Al-Hafiz Ibnu Kathir menyebutkan dalam kitab Al-Malahim dan Al-Fitan ketika menyebutkan hadis bendera-bendera hitam dari Tirmizi kemudian ia katakan: Bendera-bendera ini bukanlah yang dibawa Abu Muslim Al-Khurasani kemudian dengan itu ia meruntuhkan kerajaan Bani Umaiyah pada tahun 132 H, tetapi ia bendera-bendera hitam yang akan dibawa serta oleh Al-Mahdi iaitu Muhammad bin Abdullah Al-Alawi Al-Fatimi Al-Hasani r.a.


20) Lihat kitab Ar-Rad Ala Man Kazzabal Ahadith As-Sahihah Al-Waridah Fil Mahdi dimana dikutip pendapat tentang mutawatirnya hadis-hadis Al-Mahdi, karangan As-Syeikh Abdul Muhsin bin Hamdul Ibad.

21) Surah Ar-Ra'd:23 dan dikutip oleh As-Syeikh Al-Mubarak dari Imam Syaukani.


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff "

Post a Comment

Silahkan komentar yg positip