PEMBAHASAN KESEMBILAN
HUKUM-HUKUM KHAS BERKENAAN DENGAN AHLUL BAIT (MEMPUNYAI 15 BAHAGIAN)
Syariah Islam mengkhaskan
beberapa hukum semata-mata untuk Ahli Bait Nabi yang mana hukum-hukum itu telah
dihimpun dan disusun dalam beberapa kitab fikah dan para penulisnya
masing-masing membukukannya dalam kitab-kitab mereka lalu menghukum dengannya
para penguasa, pemimpin dan kadi di seluruh zaman dan negeri. Tidak seorang pun
yang membantah hukum-hukum yang semata-mata menjadi keutamaan Ahlul Bait ini.
Oleh itu kami akan bawakan 15 bahagian untuk menerangkan pembahasan ini.
Barangkali ada beberapa hukum yang tidak kami sebut di dalamnya kerana bukan
menjadi tujuan kami menyebutkan keseluruhannya tetapi tujuan kami ialah untuk
membuktikan beberapa kelebihan yang dimiliki oleh Ahli Bait Nabi dalam syariah
Islam serta kedudukannya dalam syarak di mana ia dapat menentukan terhadap
banyak perkara yang masih berada dalam lingkaran Islam atau keluar daripadanya.
Bagian Pertama - Pilihan
Sejak Allah menciptakan
makhluk-makhlukNya, Allah juga telah memilih Jibril dan Mikail dari seluruh
malaikat sebagaimana Allah juga telah memilih Al-Haramain As-Syarifain dan
Baitul Maqdis dari seluruh masjid, demikian juga Allah telah memilih
bulan-bulan suci dan bulan Ramadhan dari segenap bulan, memilih hari Arafah dan
Jumaat dari semua hari, memilih malam Lailatul-Qadar dari seluruh malam dan
memilih para Rasul, Nabi, keluarga Imran dan keluarga Nabi Muhammad s.a.w. dari
sekelian manusia di mana segala kekuasaan berada di tangan-Nya dan segala
perintah berada pada-Nya, mengangkat siapa yang dikehendakki dan mencampakkan
siapa yang dikehendaki, bagi-Nya segala urusan sebelum dan sesudah dan Allah
Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.
Allah Subhanahu Wa Ta'ala
berfirman di dalam Al-Qur'an:
اَللهُ يَصْطَفِيْ مِنَ الْمَلاَ ئِكَةِ رُسُلاً وَّمِنَ النَّاسِ اِنَّ اللهَ سَمِيْعٌ بَصِيْرٌ...الحج: 75
"Allah memilih dari malaikat-malaikat menjadi utusan-utusan, dan (juga) dari manusia. Sesungguhnya Allah itu Maha mendengar dan Maha melihat" (Q.S. Al-Hajj:75)
Firman Allah Ta'ala:
اِنَّ اللهَ اصْطَفَى آدَمَ وَنُوْحًا وَّ آلَ اِبْرَاهِيْمَ وَ آلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِيْنَ...آل عمرن: 33
"Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi bangsa-bangsa". (Q.S. Ali Imran:33)
Dan firman-Nya:
ذُرِّ يَّةً بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ وَاللهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ... آل عمرن: 34
"Yang satu adalah turunan dari yang lain dan Allah Maha mendengar dan Maha mengetahui". (Q.S. Ali Imran:34)
Wathilah meriwayatkan sebuah hadis dari Al-Asqa' katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَّ اللهَ اصْطَفَىكِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيْلَ وَاصْطَفَى قُرَيْشًا مِنْ كِنَانَةَ وَصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِى هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِى مِنْ بَنِى هَاشِمٍ
"Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dari turunan Ismail, memilih Quraish dari Kinanah, memilih Bani Hashim dari Quraish dan memilihku dari turunan Bani Hashim". Riwayat Muslim, Ahmad, Tirmizi dan Sam'ani.
Hukum yang dapat diambil dari
ayat-ayat dan hadis di atas ialah bahawa Allah telah memilih beberapa kaum dari
kaum-kaum yang lain, maka Allah Subhanahu Wa Ta'ala memilih Rasulullah s.a.w.
dari turunan Sayidina Ibrahim, iaitu dengan memilih Bani Hashim dari Quraish,
Quraish dari Kinanah dan Kinanah dari turunan Ismail. Maka beliau dan Bani
Hashim adalah inti dari turunan keluarga Ibrahim dan telah kami terangkan pada
bab-bab sebelumnya bahawa Ahlul Bait itu adalah turunan beliau. Oleh itu mereka
terpilih dari kalangan Bani Hashim seperti Rasulullah s.a.w. juga dari Bani
Hashim.
Bagian Kedua - Mencintai Keluarga Muhammad Termasuk Dari Kesempurnaan Iman
1. Hanya Ahli Bait Nabi s.a.w.
saja yang diwajibkan kepada umat Islam mencintainya kerana Allah dan Rasul-Nya.
Para ulama telah menetapkan hukum ini dalam kitab-kitab dan karangan-karangan
mereka dalam bab itu berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdul
Muttalib Bin Rabi'ah Bin Al-Harith Bin Abdul Muttalib bahawa Al-Abbas Bin Abdul
Muttalib r.a. mendatangi Rasulullah s.a.w. dalam keadaan marah sedang saya
berada di sisi baginda maka Rasulullah bertanya: "Apa gerangan yang
menjadikan kamu marah?". Dijawab, "Ya Rasulullah apa salah kami,
mengapa orang-orang Quraish bila bertemu dengan sesama mereka dengan muka manis
dan bila bertemu dengan kami tidak demikian?". Lalu marahlah Rasulullah
s.a.w. sehingga merah wajahnya kemudian bersabda:
وَالَّذِيْ نَفْسِِيْ بِيَدِهِ، لاَيَدْخُلُ قَلْبَ رَجُلٍ اْلإِيْمَانُ حَتَّى يُحِبَّكُمُ اللهُ وَرَسُوْلُهُ
"Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaan-Nya, iman itu tidak akan masuk ke dalam hati seseorang sehingga ia mencintai kamu kerana Allah dan Rasul-Nya", seterusnya sabda baginda:
يَا
آيُّهَاالنَّاسُ، مَنْ اآذَى عَمِّى
فَقَدْ آذَانِى فَاءِنَّمَا عَمُّ
الرَّجُلِ صِنْوُ أَبِيْهِ
"Wahai sekelian manusia, siapa mengganggu bapa saudaraku maka telah menggangguku kerana bapa saudara seseorang itu setaraf dengan ayahnya". Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Al-Hakim yang mengatakan hadis hasan sahih riwayat Ahmad dan Al-Hakim serta riwayat yang serupa dari Ibnu Majah dari jalur Muhammad Bin Ka'ab Al-Qardhi dari Al-Abbas r.a. Kemudian Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berhujah dengan hadis ini yang sengaja tidak kami sebut supaya tidak terlalu panjang.
2. Al-Hakim meriwayatkan sebuah
hadis yang telah disahihkan dan diikuti oleh Az-Zahabi dengan dua jalur kepada
Hisham Bin Yusuf dengan sanadnya kepada Ibnu Abbas r.a. katanya: Telah bersabda
Rasulullah s.a.w.:
أَحِبُّوْا اللهَ لِمَا يَغْذُوْكُمْ بِهِ مِنْ نِعَمِهِ وَأَحِبُّوْنِى لِحُبِّ اللهِ وَأَحِبُّوْا أَهْلَ بَيْتِى لِحُبِّى
"Cintailah Allah kerana nikmat yang telah dikurniakan kepada kamu, cintailah aku kerana cintamu kepada Allah dan cintailah Ahli Baitku kerana cintamu padaku."
Berkata Al-Hakim: "Hadis ini sahih sanadnya sekalipun tidak diriwayatkan oleh keduanya tetapi disahihkan oleh Tirmizi". Kata Az-Zahabi; ia sahih dan disahihkan pula oleh Al-Hafiz As-Sakhawi, Ibnu Hajar Al-Makki, Al-Azizi dan selainnya.
3. Al-Baihaqi menyebutkan dalam sunannya dan begitu juga yang lain sebuah hadis yang berbunyi:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ وَأَهْلِي أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ اَهْلِهِ وَعِتْرَتِىْ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ عِتْرَتِهِ
"Tidak beriman seorang hamba sehingga menjadikan aku lebih dicintai dari dirinya, menjadikan turunanku lebih dicintai dari turunannya dan zatku lebih dicintai dari zatnya sendiri". (Diriwayatkan oleh At-Tabarani dari Abdul Rahman Bin Abi Laila dari ayahnya).
4. At-Tabarani menyebutkan dalam
Mu'jam Al-Kabirnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Siapa yang
mencintai kami kerana keduniaan maka ia akan dicintai oleh pemilik sama ada ia
baik atau jahat, dan siapa mencintai kami kerana Allah maka dia dengan kami
laksana ini (Baginda s.a.w. menunjukkan dari telunjuk dan jari tengahnya)".
Al-Hasan Bin Ali r.a. berkata:
Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ أَحَبَّ قَوْمًا حَشَّرَهُ اللهُ فِيْ زُمْرَتِهِمْ
"Siapa mencintai suatu kaum kelak Allah himpun dia bersama-sama golongannya". Disebut oleh At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir dari Ibnu Qursafah.
Kemudian sabda baginda s.a.w.:
مَنْ أَحَبَّ الْحَسَنَ وَ الْحُسَيْنَ فَقَدْ أَحَبَّنِيْ، وَمَنْ أَبْغَضَهُمَا فَقَدْ أَبْغَضَنِيْ
"Siapa mencintai Al-Hasan dan Al-Husain maka sungguh ia mencintaiku dan siapa membencinya maka sungguh ia telah membenciku". Riwayat Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.
5. Al-Abbas Bin Abdul Muttalib
berkata: Telah bersabda s.a.w.:
مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَتَحَدَّثُوْنَ، فَإِذَا رَأَوُا الرَّجُلَ مِنْ أَهْلِ بَيْتِيْ قَطَعُوْاحَدِيْثَهُمْ، وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ، لاَيَدْخُلُ قَلْبَ رَجُلٍ اْلإِِِِِيْمَانُ حَتَّى يُحِبَّهُمْ ِللهِ وَلِقَرَابَتِيْ
"Mengapa kaum-kaum yang berbincang itu tiba-tiba menghentikan pembicaraannya bila melihat salah seorang dari Ahli Baitku? Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaan-Nya sesungguhnya iman tidak akan masuk ke dalam hati seseorang sehingga ia mencintainya (Ahli Baitku) kerana Allah dan kerana mereka itu kerabat aku", riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim, Ar-Rawiyani, At-Tabarani dan Ibnu Asakir.(45)
6. Ali Bin Abi Talib k.w.
berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
أَدِّبُوْا أَوْلاَدَكُمْ عَلَى ثَلاَثِ خِصَالٍ:حُبِّ نَبِيِّكُمْ، وَحُبِّ أَهْلِ بَيْتِهِ، وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ فَإِنَّ حَمَلَةَ الْقُرْآنِ فِيْ ظِلِّ اللهِ يَوْمَ لاَظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ مَعَ أَنْبِيَائِهِ وَأَصْفِيَائِهِ
"Didiklah anak-anak kamu diatas tiga perkara: mencintai nabimu, mencintai Ahli Baitnya dan membaca Al-Qur'an kerana pembawa-pembawa Al-Qur'an itu berada dalam lindungan Allah di Hari Kiamat pada hari dimana tiada perlindungan melainkan lindungan-Nya bersama para Nabi dan orang-orang pilihan-Nya". Diriwayatkan oleh Ad-Dailani dalam Musnad Al-Firdaus, Abu Nasr Abdul Karim As-Syirazi dalam Fawa'idnya dan Ibny An-Najjar.
As-Syafi'e berkata dalam Diwannya
muka surat 72 cetakan As-Sya'biah Beirut:
يَاأَهْلَ بَيْتِ رَسُوْلِ اللهِ حُبُّكُمْ * فَرْضٌى مِنَ اللهِ فِى الْقُرْآنِ اَنْزَلَهُ كَفَاكُمْ مِنْ عَظِيْمِ الْقَدْرِاَنَّكُمْ * مَنْ لَمْ يُصَلِّ عَلَيْكُمْ لاَصَلاَةَ لَهُ
Wahai keluarga Rasulullah!, mencintaimu adalah suatu kewajiban yang ditetapkan Allah dalam Al-Qur'an yang telah diturunkan-Nya".
Cukup menjadi suatu kemuliaan
bagimu bahawa siapa yang tidak bershalawat padamu maka tidak sah sholatnya.
Bagian Ketiga - Mendahulukan Mereka Dalam Solat Ke Atas Yang Lainnya
Ahlul Bait mendapat keistimewaan
dalam hukum fikah, yang mana jika terdapat persamaan di antara seseorang dengan
yang lain dari segi ilmu dan bacaan, maka hendaknya diutamakan As-Sayyid
Al-Hasyimi keatas yang lain kerana kelebihan yang ada padanya iaitu kemuliaan
hubungan nasabnya kepada Rasulullah s.a.w. dimana Imam Nawawi menyebutkan dalam
kitab Al-Majmuk tentang sebab-sebab yang membolehkan seseorang maju untuk
menjadi imam dengan 6 perkara: Fikah (berilmu), Bacaan, Warak, Usia(46)Nasab
dan Hijrah.
Adapun dasar yang digunakan dalam
hal ini ialah sabda Nabi s.a.w.:
أَلنَّاسُ تَبَعٌ لِقُرَيْشٍ فِى هَذَا الشَّأْنِ، مُسْلِمُهُمْ تَبَعٌ لِمُسْلِمِهِمْ وَكَافِرُهُمْ تَبَعٌ لِكَافِرِهِمْ
"Manusia itu mengikuti Quraish dalam perkara ini, orang-orang Islam mengikuti mereka yang muslim dan orang-orang kafir mengikuti mereka yang kafir", riwayat Imam Muslim Ahmad dan Baihaqi.
Sabda Nabi s.a.w.:
قَدِّمُوْا قُرَيْشًا وَلاَ تَتَقَدَّمُوْهَا، وَتَعَلَّمُوْا مِنْهَا وَلاَ تُعَلِّمُوْهَا. وَلَوْ لاَ أَنْ تَبْطَرَ قُرَيْشٌ َلأَخْبَرْ تُهَا بِمَالَهَا عِنْدَ اللهِ
"Dahulukan orang-orang Qurarish dan jangan kamu mendahului mereka, belajarlah dari orang-orang Quraish dan jangan kamu mengajari mereka dan jikalaulah aku khuatir mereka menjadi sombong nescaya aku beritahukan kedudukan orang-orang yang baik dari kalangan mereka di sisi Allah Ta'ala".diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir dan Ibnu Adi.
Imam Syafi'e dan Al-Baihaqi
meriwayatkan hadis yang sama dalam Masrafah, demikian jugaAl-Bazzar dari Imam
Ali k.w.
Adapun hadis yang diriwayatkan
Ibu Abi Syaibah dengan sanadnya yang sahih dari Salaman r.a. bahawa pada suatu
hari telah masuk waktu solat, maka disuruhnya maju (menjadi imam), maka
dijawab: "Aku tidak patut maju selagi masih kamu orang-orang Arab yang mana
daripadamulah diutus Nabi s.a.w.". Dalam riwayat lain: "Kamu adalah
Bani Ismail yang menjadi para imam dan kami menteri-menteri". Syeikhul
Islam Ibnu Taimiyah berkata, pengikut-pengikut Syafi'e dan Ahmad berhujah
dengan hadis ini bahawa ia merupakan suatu kemuliaan yang melayakkan seseorang
maju (menjadi imam) dalam solat. Kemudian Ensiklopedia Fikah menyatakan dalam
perkara Aali pada pembahasan 16 yang bunyinya:
"Jika mereka mempunyai
persamaan dengan lainnya dalam sifat-sifat maka dahulukanlah mereka menurut kemuliaan
nasabnya".
Bahagian Keempat - Selawat Dan Salam Keatas Keluarga Nabi Didalam Dan Diluar Solat
Ahlul Bait dan zuriatnya serta
isteri-isteri Nabi s.a.w. mendapat kelebihan dengan selawat keatas mereka
selepas Nabi s.a.w. didalam dan diluar solat. Dalilnya ialah hadis yang
diriwayatkan oleh Ka'ab Bin Ujrah r.a. katanya: "Telah keluar menemui kami
Rasulullah s.a.w. lalu kami bertanya, kami telah faham dan tahu bagaimana kami
mengucapkan salam padamu, namun bagaimana cara kami berselawat padamu? Baginda
menjawab:
قُوْلُوْا اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَاصَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
"Katakan, Allahumma Salli Ala Muhammad Wa Ala Aali Muhammad Kama Sallaita Ala Ibrahim Innaka Hamidun Majid". riwayat Bukhari dan Muslim.
Adapun hadis yang diriwayatkan
oleh Abu Hamid As-Saidi r.a. bahawasanya mereka bertanya: Ya Rasulullah!
Bagaimana cara kami berselawat padamu", dijawab:
قُوْلُوْا اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَاصَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
"Katakan: Allahumma Salli Ala Muhammad Wa Ala Azawajihi Wa Zurriyati Kama Sallaita Ala Aali Ibrahim Wa Baarik Ala Muhammad Wa Ala Aali Azwajihi Wa Zurriyati Kama Batakta Ala Aali Ibrahim Innaka Hamidun Majid", riwayat Bukhari dan Muslim.
Imam Nawawi mengatakan dalam
kitabnya Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, sayugianya dihimpun apa yang terkandung
dalam hadis-hadis yang sahih itu sehingga ia mengatakan,
اَللَّهُمَّ صَلِّ
عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ النَّبِيِّ اْلأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
وَأَزْوَاجِهِ وُذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى
إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ.
وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ
وَرَسُوْلِكَ النَّبِيِّ اْلاُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
وَأَزْوَاجِهِ وُذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى
إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ
فِي الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
Allahumma Salli Ala Muhammad
Abdika Wa Rasulikan Nabi Al-Ummi Wa Ala Aali Muhammad Wa Azwajihi Wa
Zurriyatihi Kama Sallaita Ala Ibrahim Wa Ala Aali Muhammad Wa Azwajihi Wa
Zurriyatihi Kama Barakta Ala Ibrahim Wa Ala Aali Ibrahim Fil Alamina Innaka
Hamidun Majid.
Imam Nawawi juga menyebutkan
tentang definasi Aali bahawa mereka itu adalah Bani Hashim dan Bani Abdul
Muttalib seperti dinyatakan juga oleh Syafi'e dalam Harmalah dan dikutip oleh
Al-Azhari bahawa Aali adlah turunan yang dinasabkan kepada baginda s.a.w.
Mereka itu ialah anak-anak Fatimah r.a. dan turunannya sepanjang masa. Lihat
kitab Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab juz 3.
Bahagian Kelima - Ahlul Bait Haram Menerima Zakat
Diharamkan memberi zakat kepada
Ahlul Bait berdasarkan riwayat Abu Hurairah f.a. katanya: Al-Hasan Bin Ali r.a.
sewaktu masih kecil telah mengambil sebiji tamar dari tamar sedekah lalu
memasukkannya ke dalam mulutnya, maka Nabi s.a.w. mengatakan kepadanya (kakh...
kakh) supaya ia memuntahkannya, kemudian baginda bersabda:
اَمَا عَلِمْتَ
أَنَّا لاَ يَأْكُلُونَ الصَّدَقَةَ
؟
"Tidakkah kamu ketahui
bahawa kami tidak memakan sedekah?", Al-Bukhari, Ahmad dan Ad-Darimi.
Hadis kedua, dari Al-Muttalib Bin
Rabiah Bin Al-Harith Bin Abdul Muttalib bahawa ia dan Al-Fadal Bin Al-Abbas
r.a. telah pergi menemui Rasulullah s.a.w. katanya: Seorang dari kami berkata:
"Ya Rasulullah, kami datang kepadamu supaya kami dilantik menjadi pengurus
zakat ini agar kami mendapat manfaat daripadanya sebagaimana orang lain
mendapatkannya dan kami menyerahkan padamu apa-apa yang diserah orang. Baginda
menjawab: "Sesungguhnya sedekah/zakat itu tidak boleh diterima oleh
Muhammad dan tidak pula oleh keluarganya, kerana ia adalah barang-barang kotor
yang ditinggalkan oleh orang", dalam lafaz lain: Ia diharamkan kepada Muhammad
dan keluarga Muhammad". Hadis ini disebut dalam kitab Al-Muntaqa, riwayat
Muslim dan Ahmad.
Bahagian Keenam - Ahlul Bait Berhak Menerima Seperlima Dari Khumus Faik Dan Ghanimah
Ahlul Bait mendapat keistimewaan
dalam hukum syarak kerana mereka berhak menerima khumus (seperlima) dari khumus
faik (harta rampasan), ghanimah dan rikaz berdasarkan firman Allah Ta'ala:
مَآ اَفَآءَ اللهُ عَلَى رَسُوْلِهِ مِنْ اَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُوْلِ وَلِزِىالْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِيْنِ وَابْنِ السَّبِيْلِ كَيْ لاَ يَكُوْنَ دُوْلَةً بَيْنَ اْلأَغْنِيَآءِ مِنْكُمْ وَمَآ اَتَاكُمُالرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَانَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْا وَاتَّقُوا اللهَ اِنَّ اللهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ...الحشر:7
"Apa yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya sebagai harta rampasan dari penduduk negeri-negeri itu adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang yang dalam perjalanan, supaya itu jangan hanya beredar di linkungan orang-orang yang mampu diantara kamu. Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, hendaklah kamu terima dan apa yang dilarangnya, hendaklah kamu hentikan. Dan patuhlah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat keras hukum-Nya".(Al-Hasyr:7).
Dan firman Allah Ta'ala:
وَاعْلَمُوْا اَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِّنْ شَيْءٍ فَأَ نَّالِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُوْلِ وَلِذِى القُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِيْنِ وَابْنِ السَّبِلِ ...الانفال: 41
"Dan hendaklah kamu ketahui, bahawa apa-apa yang dapat kamu rampas dalam peperangan, sesungguhnya seperlima untuk Allah, untuk Rasul, kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan". (Al-Anfal:41).
Adapun dalil dari sunnah ialah
riwayat Al-Imam Ali k.w., katanya: Aku, Al-Abbas, Fatimah dan Zaid Bin Harithah
telah berkumpul di sisi Nabi s.a.w. lalu aku mengatakan: Ya Rasulullah! Jika
engkau tiada halangan melantikku sebagai pengurus hak kami dari khumus yang
telah ditetapkan dalam kitab Allah Ta'ala ini supaya dapat aku membahagikannya
semasa hidupmu agar tidak ada orang yang menentangku selepasmu nanti maka
hendaknya engkau laksanakan. Maka baginda bersetuju melaksanakannya dan aku
membahagikannya semasa hidup Rasulullah s.a.w. Kemudian Abu Bakar pun
melantikku sehingga tiba tahun terakhir pemerintahan Omar yang mana beliau
telah banyak menerima harta, riwayat Ahmad dan Abu Daud. Abu Daud menambah
setelah kata beliau, "Beliau telah banyak menerima harta (dengan lafaz)
lalu beliau membatalkan hak kami dan kemudian menghartanya padaku maka aku
katakan bahawa kami tidak memerlukannya namun orang-orang Islam berhajat
kepadanya dan aku bermaksud mengembalikan kepada mereka. Akhirnya tidak seorang
pun meminta kami berbuat demikian selepas ketentuan Omar maka aku bertemu
dengan Al-Abbas". Setelah aku keluar dari tempat Omar seraya berkata,
"Ya Ali! Hak kami telah dirampas sama sekali dan tidak akan pernah
dikembalikan kepada kami". Begitu kata Al-Abbas seorang yang bijak.
Adapun Yazid Bin Hurmuz
meriwayatkan bahawa Najdah telah menulis surat kepada Ibnu Abbas menanyakan
tentang siapa yang berhak mendapatkan khumus itu? Ibnu Abbas membalas suratnya
dengan mengatakan, "Engkau bertanya tentang siapa berhak menerima khumus,
ketahuilah bahawa ia adalah hak kami yang telah diingkari oleh kaum kami",
riwayat Muslim dan Ahmad.
Imam Ahmad mengatakan dalam
musnadnya bahwa dua orang khalifah Omar dan Othman r.a. ada memberi kerabat
Rasulullah s.a.w. demikian juga pendapat Imam Syafi'e dan Imam-Imam yang lain
(lihat kitab Al-Mughni karangan Ibnu Qudamah dan Nailul Awtar).
Bahagian Ketujuh - Syarat Kafaah Dalam Nikah
Wanita Arab khasnya wanita-wanita
Ahlul Bait mendapat keistimewaan dengan memperhatikan syarat nasab dalam
nikahnya, yang mana seorang wanita dari Bani Hashim tidak akan menikahi kecuali
lelaki, dari Bani Hashim. Begitulah pendapat Jumhur, diantaranya: Abu Hanifah,
Ahmad dan Syafi'e r.a. dan dalil mereka dalam hal itu ialah hadis dari Amirul
Mukminin Omar Bin Al-Khattab r.a. katanya: "Aku akan melarang
wanita-wanita dari keturunan yang mulia menikah melainkan dengan lelaki-lelaki
yang setaraf dengannya". Diriwayatkan oleh Ad-Daraqutni. Imam Ahmad
berkata selain bangsa Quraish dari kalangan Arab tidak ada yang menyamainya dan
selain Bani Hashim tidak ada yang menyamainya, inilah pendapat golongan Syafi'e
berdasarkan riwayat Wathilah Bin Al-Asqa' bahawa ia berkata:
إِنَّ اللهَ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيْلَ وَصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِى هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِى مِنْ بَنِى هَاشِمٍ
"Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dari keturunan Ismail, memilih Bani Hashim dari keturunan Quraish dan memilihku dari keturunan Bani Hashim", diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Tirmizi dan Sam'ani.
Lihatlah kitab Al-Mughni karangan
Ibnu Qudamah, Al-Majmuk Syarhul Muhazzab, Nailul Awtar dan kitab Al-Ahwal
As-Shakhsiyyah fit Tasyri' Al-Islami karangan Ahmad Al-Ghandur.
Bagian Kedelapan - Doa Nabi s.a.w. Dengan Keberkatan Pada Turunan Yang Suci Ini
Ahlul Bait mendapatkan
keistimewaan dengan memperoleh doa khas dari Rasulullah s.a.w. supaya Allah
memberkati turunan mereka. Sedangkan barakah secara umum mempunyai pengertian;
banyak, baik dan lain-lain. Dalilnya ialah riwayat Nasa'i, dalam bab amalan
sehari semalam bahawa sekumpulan dari orang-orang Ansar mengatakan kepada Ali
r.a., alangkah baiknya kalau kamu memiliki Fatimah. Lalu beliau r.a. mendatangi
Rasulullah s.a.w. untuk meminangnya. Setelah mengucapkan salam beliau ditanya
oleh Rasulullah s.a.w.: "Apa hajatmu wahai putera Abi Talib?"Jawab
beliau, "Aku hendak melamar Fatimah puteri Rasulullah s.a.w." Rasul
menjawab: "Marhaban Wa Ahlan" dan tidak berkata apa-apa lagi. Maka
Ali keluar menemui sekumpulan orang-orang Ansar yang sedang menunggunya. Mereka
bertanya, "Berita apa yang kau bawa?" Ali menjawab, "Aku tidak
tahu kerana baginda hanya mengatakan kepadaku, Marhaban Wa Ahlan". Lalu
mereka membalas, "Seandainya Rasulullah s.a.w. hanya mengatakan satu
perkataan, itu pun sudah memadai bagimu, sesungguhnya baginda telah
menjadikanmu sebagai keluarga dan memperkenankan permintaanmu". Setelah
semuanya berlalu dan baginda mengahwinkan Ali, kemudian baginda berkata, "Ya
Ali! Untuk majlis perkahwinan diperlukan walimah" Saad r.a. berkata,
"Aku mempunyai seekor domba dan kaum Ansar mengumpulkan segantang
jagung". Setelah tiba malam perkahwinan, Rasulullah s.a.w.
berkata,"Jangan kamu bercakap sesuatu sehingga engkau menemuiku". Lalu
baginda meminta air dan berwuduk dengannya, lalu menyiramkan air itu ke atas
Ali dan Fatimah r.a. dan berdo'a:
اَللَّـهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارِكْ عَلَيْهِمَا، وَبَارِكْ فِىْ شِبْلِهِمَا
"Ya Allah berkatilah pada keduanya, berkatilah keatas keduanya dan berkatilah keturunan keduanya".Diriwayatkan oleh Nasa'i dan lain-lain dengan membuang sebahagiannya.
Bagian Kesembilan - Ahlul Bait Penyelamat Penghuni Bumi
Ahlul Bait mendapatkan
keistimewaan yang tidak dimiliki oleh selain mereka dengan satu hukum syarak,
iaitu keberadaan mereka di dunia ini adalah merupakan penyelamat bagi penghuni
bumi, laksana bintang-bintang yang menjadi penyelamat bagi penghuni langit.
Adapun titik persamaan diantara keduanya ialah mengambil petunjuk dari
orang-orang yang saleh dari kalangan mereka, yang demikian itu diterangkan
dalam beberapa hadis berikut:-
Salamah bin Al-Akwa' berkata:
Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
اَلنُّجُوْمُ أَمَانٌ ِلأَهْلِ السَّمَاءِ وَأَهْلُ بَيْتِيْ أَمَانٌ ِلأَهْلِ ا ْلأَرْضِ
"Bintang-bintang itu adalah penyelamat bagi penghuni langit sedangkan Ahli Baitku menjadi penyelamat bagi penghuni bumi".
Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dalam
Musnadnya, Ibnu Syaibah, Musadad, Al-Hakim, At-Tabarani dalam Al-Kabirnya dan
Ibnu Asakir.
Sabda Nabi s.a.w.,
اَلنُّجُوْمُ أَمَانٌ ِلأَهْلِ ا ْلأَرْضِ مِنَ الْغَرَقْ، وَأَهْلُ بَيْتِيْ أَمَانٌ ِلأُمَّتِيْ مِنَ ا ْلإِخْتِلاَفِ، فَإِذَا خَالَفَتْهَا قَبِيْلَةٌ مِنَ الْعَرَبِ إِخْتَلَفُوْا فَصَارُوْا حِزْبَ إِبْلِيْسٍ
"Bintang-bintang itu menjadi penyelamat kepada penghuni bumi dari tenggelam/karam sedangkan Ahli Baitku menjadi penyelamat kepada umatku dari perselisihan (dalam agama) apabila satu kabilah dari orang Arab menentangnya (hukum-hukum Allah A.W.J.) mereka berselisih dan menjadi golongan syaitan". Diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Ibnu Abbas dan disahihkan oleh Tirmizi.
Sabda Nabi s.a.w. dari Abu Zar
r.a. katanya:
أَلاَإِنَّ مَثْلَ أَهْلِ بَيْتِىْ فِيْكُمْ مِثْلُ سَفِيْنَةَ نُوْحٍ مِنْ قَوْمِهِ مَنْ رَكِبَهَا نَجَا وَمَنْ تَخَلَّفَ عَنْهَا غَرِقَ
"Ketahuilah bahawa perumpamaan Ahli Baitku di tengah-tengah kamu seperti bahtera Nuh di tengah-tengah kaumnya, siapa yang menaikinya ia selamat dan siapa yang enggan pasti tenggelam". Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Hakim, Ibnu Jarir dan At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir.
Bagian Kesepuluh - Orang Yang Mau Mendapat Tempat Di Sisi Rasulullah s.a.w. Di Hari Kiamat
Rasulullah s.a.w. memberi
keistimewaan kepada Ahli Baitnya diatas segala keistimewaan yang diberikan
kepada seluruh kaum muslimin, yang mana beliau s.a.w. akan memberi balasan
kepada orang yang berbuat baik kepada tiap-tiap orang Islam pada hari kiamat
dan kepada Ahli Baitnya akan dibalas dengan balasan yang besar yang akan
diterangkan dalam beberapa hadis berikut:
1. At-Tabarani meriwayatkan
sebuah hadis:
مَنِ اصْطَنَعَ ِلأَحَدٍ مِنْ وَلَدِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ يَدًا فَلَمْ يُكَافِئْهُ بِهَا فِىالدُّنْيَا فَعَلَيَّ مُكَافَأَ تُهُ غَدًا تَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَالَقِيَنِيْ
"Barangsiapa berbuat baik kepada seorang dari anak keturunan Abdul Muttalib sedang ia belum membalasnya di dunia, maka aku akan membalasnya kelak apabila ia bertemu denganKu".
2. Ibnu Asakir meriwayatkan dari Al-Imam Ali k.w., katanya telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ صَنَعَ إِلَىأَهْلِ بَيْتِيْ يَدًا كَافَأْ تُهُ عَلَيْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
"Siapa berbuat jasa kepada Ahli Baitku, aku akan membalasnya kelak pada hari kiamat".
3. Ad-Dailami meriwayatkan dari Al-Imam Ali k.w., katanya:
أَرْبَعَةٌ أَنَا شَفِيْعٌ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: اَلْمُكْرِمُ لِذُرِّيَّتِيْ، وَالْقَاضِيْ لَهُمْ حَوَائِجَهُمْ، وَالسَّاعِيْ لَهُمْ فِيْ أُمُوْرِهِمْ عِنْدَمَا اضْطَرُّوْا إِلَيْهِ، وَالْمُحِبُّ لَهُمْ بِقَلْبِهِ وَلِسَانِهِ
"Empat golongan yang akan mendapatkan syafa'atku pada hari kiamat; orang yang memuliakan zuriatku, orang yang menunaikan hajat mereka, orang yang mengusahakan urusan-urusan mereka disaat mereka mendapat kesulitan dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya".
Bahagian Kesebelas - Ketentuan Ahlul Bait Masuk Syurga
Ahlul Bait yang meninggal dunia
dalam keadaan iman tidak diazab dan tidak dimasukkan ke dalam neraka tetapi
dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah Ta'ala kerana firman-Nya:
وَالَّذِيْنَ آمَنُوْا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيْمَانٍ أَلْحَقْنَابِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِّنْ عَمَلِهِمْ مِّنْشَيْءٍ...الطور: 21
"Dan orang-orang beriman dan
turunan mereka turut pula beriman, nanti mereka akan Kami pertemukan dengan
turunannya itu, dan tiada Kami kurangi amal mereka barang sedikit pun".
(At-Tur:21).
Ahlul Bait yang merupakan zuriat
nabi, iaitu Al-Imam Ali, Fatimah Az-Zahra', Al-Hasan dan Al-Husin, mereka itu
tergolong dari ahli syurga berdasarkan dalil-dalil qat'ie (kuat), adapun
orang-orang yang diberitahu akan masuk syurga dari sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w. maka zuriat mereka akan menyertai mereka di dalam syurga sebagaimana
ditegaskan oleh para ulama berdasarkan kata-kata Ibnu Abbas r.a. yang sahih
dalam menafsirkan firman Allah: "Kami pertemukan mereka dengan
turunannya", bahawa sesungguhnya Allah mengangkat zuriat seorang mukmin
untuk disejajarkan dengan darjatnya pada hari kiamat, sekalipun amalnya di
bawah orang itu.
Beliau juga menafsirkan firman
Allah:
وَكَانَ أَنُوْ هُمَا صَالِحًا
"Dan adalah ayah mereka berdua seorang yang saleh" yaitu demi memelihara kebaikan orang tua mereka dan kebaikan yang ada pada mereka berdua.
Said Bin Jubair berkata:
"Seorang masuk syurga dan bertanya, dimana ayahku? dimana ibuku, dimana
anakku dan dimana isteriku?" Lalu dijawab kepadanya: "Sesungguhnya
mereka tidak beramal seperti kamu", tetapi dijawab, dahulu aku mula
beramal untukku dan untuk mereka, maka kemudian dikatakan kepada mereka,
masuklah kamu semua ke dalam syurga (lihat tafsir Ibnu Kathir). Kemudian beliau
membaca firman Allah Ta'ala:
جَنَّاتُ عَدْنٍ يَّدْخُلُوْ نَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَآ ئِهِمْ وَاَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمِ...الرعد: 23
"Syurga Adn, mereka masuk ke dalamnya, dan juga orang-orang yang baik dari bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri (suami-suami) mereka serta turunan mereka"). (Surat Ar-Ra'ad:23)
Ibnu Mas'ud berkata: Telah
bersabda Rasulullah s.a.w.,
إِنَّ فَاطِمَةَ قَدْ أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَحَرَّمَهَا اللهُ وَذُرِّيَّتِهَا عَلَىالنَّارِ
Sesungguhnya Fatimah telah memelihara kehormatannya, lalu Allah haramkan neraka baginya dan anak-anaknya". Disebut oleh Al-Bazzar, Abu Ya'la dan At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir.
Dan dari Imran Bin Husain
katanya: telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
سَأَلْتُ رَبِّيْ أَنْ لاَ يُدْخِلَ النَّارَ أَحَدًا مِنْ أَهْلِ بَيْتِيْ فَأَعْطَانِيْهَا
"Aku mohon dari Allah Ta'ala agar tidak seorang pun dari Ahli Baitku dimasukkan ke dalam neraka, lalu Allah memperkenankannya".
Diriwayatkan oleh Abul Qasim Bin
Bisyran dalam kitab-kitab amalinya.
Bahagian Keduabelas - Boleh Melaknat Dan Mengkafirkan Orang Yang Menodai Kesucian Ahlul Bait
Para ulama telah menyatakan
tentang bolehnya seseorang melaknat sesiapa yang menodai sesuatu dari kesucian
Ahlul Bait berdasarkan beberapa hadis yang akan kami sebutkan dalam bab ini.
Walaupun hanya dua hadis namun kami rasa memadai untuk itu dan ini juga menunjukkan
pengkhususan Ahlul Bait dengan hukum ini dalam syariah Islamiah.
Hadis pertama: dari Ibnu Abbas
r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.
بُغْضُ هَاشِمِى وَ اْلأَنْصَارِ كُفْرٌ وَبُغْضُ عَرَبِيٍّ نِفَاقٌ
"Membenci Bani Hashim dan Ansar adalah kufur dan membenci orang Arab adalah nifaq". Dinyatakan oleh At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir.
Hadis kedua diriwayatkan oleh Ali Bin Abi Talib r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
سِتَّةُ لَعَنْتُهُمْ وَلَعَنَهُمُ اللهُ وَكُلُّ نَبِيٍّ : الزَّائِدُ فِيْ الدِّيْنِ وَالْمُكَذِّبٌ بِقَدْرِاللهِ وَالْمُتَسَلِّطُ بِالْجَبَرُوْتِ يُذِلُّ مَنْ أَعَزَّاللهُ وَيُعِزُّ مَنْ أَذَلَّ اللهُ وَالتَّنَازُلُ لِسُنَّتِيْ وَالْمُسْتَحِلُّ لِحُرُمِ اللهِ وَالْمُسْتَحِلُّ مِنْ عِتْرَتِيْ مَا حَرَمَ اللهُ
"Aku melaknat enam golongan yang juga mereka dilaknat oleh Allah dan setiap nabi yang diutus, iaitu orang yang menambah dalam kitab Allah dan orang yang mendustakan takdir Allah dan setiap orang yang mendustakan takdir Allah, orang yang berkuasa dengan kejam, menghina orang yang dimuliakan oleh Allah A.W.J. dan memuliakan orang yang dihina oleh Allah A.W.J., orang yang meninggalkan sunah ku, orang yang menghalalkan apa-apa yang diharamkan dan sesuatu terhadap keluargaku oleh Allah A.W.J." Diriwayatkan oleh Al-Hakim Ad-Darauqutni, Ad-Dailami dan Al-Khatib dalam kitab Al-Jamek.
Adapun kufur dalam hal ini
bukanlah bererti kufur yang menjadikan seseorang keluar dari agama seperti
mereka yang tidak menghukum dengan ketentuan Allah, tetapi ia dibawah kadar
kufur itu, begitulah Ibnu Abbas r.a. memberi penjelasan. Wallahu A'lam.
Bagian Ketigabelas - Larangan Membenci Ahlul Bait Nabi s.a.w.
Para ulama telah menyebutkan satu hukum yang dikhaskan kepada Ahlul Bait, iaitu, haram membencinya dan siapa yang membencinya akan dimasukkan ke dalam neraka berdasarkan sabda Nabi s.a.w. dalam beberapa hadis berikut:
1. Abdullah Bin Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
يَا بَنِيْ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، إِنِّيْ سَأَلْتُ اللهَ لَكُمْ ثَلاَ ثًا: سَأَلْتُهُ أَنْ يُثَبِّتَ قَائِمَكُمْ، وَأَنْ يُعَلِّمَ جَاهِلَكُمْ، وَيَهْدِيَ ضَالَّكُمْ. فَلَوْ أَنَّ رَجُلاً صَعِدَ بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْمَقَامِ فَصَلَّى وَصَامَ ثُمَّ مَاتَ وَهُوَ مُبْغِضٌ ِلأَهْلِ مُحَمَّدٍ دَخَلَ النَّارَ
"Wahai Bani Abdul Muttalib, aku telah memohon daripada Allah untukmu tiga perkara; hendaknya Allah menetapkan penegakmu, memberi petunjuk kepada yang sesat dan memberi ilmu kepada yang jahil diantara kamu. Dan aku juga memohon daripadaNya supaya menjadikanmu pemurah, berani, membantu dan penyayang. Seandainya seseorang berdiri di barisan antara rukn dan maqam (menunaikan haji), mengerjakan solat dan berpuasa kemudian menghadap Allah dalam keadaan membenci terhadap Ahlul Bait Muhammad maka pasti ia masuk neraka". Diriwayatkan oleh Al-Hakim dan berkata hadis ini sahih menurut syarat Muslim tetapi tidak diriwayatkannya dan ditetapkan oleh Az-Zahabi.
2. Dari Abu Said Al-Khudri r.a.
dari Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ أَبْغَضَ أَهْلَ الْبَيْتِ فَهُوَ مُنَافِقٌ
"Siapa yang membenci kami maka ia munafik". Diriwayatkan oleh Ad-Dailami.
3. Dari Abu Said Al-Khudri r.a. katanya; telah bersabda Rasulullah s.a.w.
وَالَّذِيْ نَفْسِىْ بِيَدِهِ لاَيَبْغَضُنَا أَهْلَ الْبَيْتِ أَحَدٌ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ النَّارَ
"Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya sesungguhnya seseorang tidak membenci kami, Ahlul Bait melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam neraka",
Diriwayatkan oleh Al-Hakim.
Farazdaq berkata,
حُبُّهُمْ دِيْنٌ وَبُغْضُهُمْ كُفْرٌ وَقُرْبُهُمُ مَلْجَا وَمُعْتَصَمُ
'Mencintai mereka adalah sebahagian besar dari ajaran agama, membencinya adalah kufur dan mendekatinya adalah tempat bernaung dan berlindung'.
4. Dari Abu Ibnu Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَحْيَى حَيَاتِيْ وَيَمُوْتَ مَمَاتِيْ وَيَسْكُنَ جَنَّةَ عَدْنٍ غَرَسَهَا رَبِّيْ، فَلْيُوَلِّ عَلِيًّا مِنْ بَعْدِيْ، وَلْيُوَلِّ وَلِيَّهُ، وَلْيَقْتَدِبِأَهْلِ بَيْتِيْ مِنْ بَعْدِيْ، فَإِنَّهُمْ عِتْرَتِيْ، خُلِقُوْا مِنْ طِيْنَتِيْ، وَرُزِقُوْا فَهْمِيْ، وَعِلْمِيْ، فَوَيْلٌ لِلْمُكَذِّبِيْنَ بِفَضْلِهِمْ مِنْ أُمَّتِيْ الْقَاطِعِيْنَ مِنْهُمْ صِلَتِيْ لاَأَنْزَلَهُمُ اللهُ شَفَاعَتِيْ
"Siapa ingin hidup seperti hidupku, mati seperti matiku dan menempati syurga Adn yang disediakan oleh tuhanku, maka hendaknya ia menjadikan Ali sebagai pemimpinnya selepasku, menjadikan walinya sebagai pemimpinnya dan mengikuti jejak Ahlil Baitku selepas aku, kerana mereka itu itrahku (anak cucuku), mereka diciptakan dari kejadianKu dan diberi pengertian dan ilmuku, maka Neraka Wail bagi umatku yang mengingkari keutamaan meraka, yang memutuskan hubunganku dengannya dan kelak Allah tidak memberi mereka Syafaatku". Diriwayatkan oleh At-Tabarani dan Ar-Rafi'e.(47)
Bagian Keempatbelas - Larangan Mengganggu Keluarga Rasulullah s.a.w.
Satu hukum syarak yang juga khas mengenai Ahli Baitnya Rasulullah s.a.w. ialah larangan mengganggu mereka kerana mereka itu zuriat Rasulullah s.a.w. Siapa yang mengganggu mereka kerana keturunannya maka ia telah mengganggu Rasulullah s.a.w., dalilnya ialah seperti berikut:
1. Firman Allah SWT:
57-58 إِنَّ الَّذِيْنَ يُؤْذُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ لَعَنَهُمُ اللهُ فِى الدُّنْيَا وَالاَخِرَةِ وَأَعَدَّلَهُمْ عَذَابًا مُّهِيْنً * وَالَّذِيْنَ يُؤْذُوْنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِمَا اكْتَسَبُوْ افَقَدِ احْتَمَلُوْا بُهْتَانًاوَّاِثْمًامُّبِيْنً الاحزاب:
"Sesungguhnya orang-orang yang mencaci Allah dan RasulNya maka Allah akan mengutuk mereka di dunia dan di akhirat dan akan menyediakan untuk mereka seksaan yang penuh dengan kehinaan. Dan orang-orang yang mencela kaum lelaki dan perempuan yang beriman, dengan ketiadaan kesalahan yang diperbuat mereka, sesungguhnya orang-orang itu telah memikul kebohongan dan dosa yang terang". (Q.S. Al-Ahzab:57:58)
2. Sabda Rasulullah s.a.w. yang
diriwayatkan oleh Almiswar Bin Makhramah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
فَاطِمَةُ بِضْعَةٌ مِنِّى، فَمَنْ أَغْضَبَهَا فَقَدْ أَغْضَبَنِىْ
"Fatimah adalah sebagian dariku, siapa yang memurkakannya ia telah memurkakan aku".Diriwayatkan oleh Bukhari.
3. Dari Ibnu Zubair r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
إِنَّمَافَاطِمَةُ بِضْعَةٌ مِنِّيْ، يُؤْذِيْنِيْ مَايُؤْذِيْهَا وَيُغْضِبُنِيْ مَايُغْضِبُهَا
"Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian daripadaku, menyiksa aku apa-apa yang menyiksanya dan menyusahkan aku apa-apa yang menyusahkannya". Diriwayatkan Ahmad, Tirmizi dan Al-Hakim.
Saya berpendapat bahawa zuriat
Fatimah adalah sebahagian daripadanya, siapa yang mengganggunya ia telah
mengganggu Farimah dan siapa mengganggu Fatimah ia telah mengganggu Rasulullah
s.a.w.
4. Sabda beliau s.a.w.:
"Siapa yang mengganggu keluargaku walaupun sehujung rambut sekalipun, maka
ia telah menggangguku dan siapa menggangguku maka ia telah mengganggu
Allah".Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dari Al-Imam Ali r.a.
5. Sabda beliau s.a.w. dalam hadis puteri Abu Lahab ketika dikatakan kepadanya sesaat ia berhijrah bahawa hijrahmu tidak memberi manfaat apa-apa kepadamu kerana kamu adalah puteri kayu api neraka, maka marahlah Rasulullah s.a.w. setelah mendengarnya lalu berkhutbah di atas mimbarnya:
مَابَالُ أَقْوَامٍ يُؤْذُوْنِى فِى نَسَبِى وَذَوِى رَحِمِى! أَلاَ مَنْ أَذَى نَسَبِى وَذَوِى رَحِمِى فَقَدْ أَذَانِى وَمَنْ أَذَانِى فَقَدْ أَذَى ا للهَ تَعَالَى
"Mengapa masih ada sebilangan kaum yang mengganggu nasab dan keluargaku? Ketahuilah siapa mengganggu nasab dan keluargaku maka ia telah menggangguku dan siapa menggangguku maka ia telah mengganggu Allah". (Diriwayatkan oleh Ibnu Abil Asim, Tabarani dan Baihaqi dengan lafaz yang hampir sama).
Bagian Kelimabelas - Hukum Orang Yang Mencerca Ahlul Bait
Satu ketentuan khas kepada Ahlul
Bait bahawa siapa yang mencerca atau memakinya sama hukum seperti mencerca
seluruh manusia. Dalil yang dipergunakan oleh para ulama untuk menetapkan hal
itu ialah ijmak 'fuqaha' mazhab-mazhab yang menyatakan bahawa siapa mencerca
seorang dari keluarga Rasulullah s.a.w. maka hukumnya sama seperti mencerca
seluruh manusia, iaitu dipukul dengan pukulan yang keras dan diberi peringatan,
namun ia tidak menjadi kafir dengan perbuatan itu, seperti dinyatakan oleh
Al-Hakim dalam kitabnya ms. 228 cetakan Maimaniyah dan Syarah As-Saghir juz 4
ms. 444 cetakan Daarul Ma'arif dan Al-Insaf serta As-Syifa' karangan Qadhi
Iyadh juz 4 ms. 571 cetakan Al-Azhariyah, demikian juga Jauharul Ikil dengan
syarah Mukhtasar Syeikh Khalil juz 2 ms. 282.
Sesungguhnya para ulama
menetapkan hukum-hukum ini dan sejenisnya kepada Ahlul Bait dalam kitab-kitab
mereka sesuai dengan tingkatan dan zaman mereka dan tidak seorang pun sepanjang
sejarah mengatakan bahawa Ahlul Bait terputus atau tidak dikenal bahkan
sebahagian besar dari kalangan ahli fatwa dan pengulas memberi mithal dengan
menyebut mereka yang hidup pada zamannya dari itrah yang suci dalam
kitab-kitabnya. Seandainya nasab ini terputus atau tidak dikenal orang-orangnya
maka pasti para ulama telah menyatakan hal itu, kerana mereka adalah pemegang
amanat dan penanggungjawab syariat Allah dan RasulNya.
45) Dari kitab risalah Fadhlu Ahlil Bait Wa Huququhum karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, ms. 130.
46) Maksudnya yang terdahulu masuk Islam.
47) Dari kitab risalah Fadhlu Ahlil Bait Wa Huququhum karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, ms. 130.
Sumber :
SEBUAH KAJIAN
MENGENAI NASAB SADAH BANI ALAWI
Oleh : Al-Habib Seggaf Ali
Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
Klik Juga :
4. PERNYATAAN PARA AHLI SEJARAH, NASAB DAN BIOGRAFI TENTANG KETURUNAN AL-MUHAJIR AHMAD BIN ISA - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
5. AALI BA'ALAWI ATAU BANI ALAWI Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
6. BANTAHAN DAN PENJELASAN TENTANG NASAB BA ALAWI - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
7. PENGERTIAN AALI (KELUARGA) Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
8. Kebenaran Nasab Keturunan Nabi Oleh Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
9. NASAB YANG TIDAK TERPUTUS DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
10. SEKILAS MENGENAI ILMU NASAB DAN KEDUDUKANNYA DALAM SYARIAH ISLAMIYAH - Al-Habib Seggaf Ali Al-Kaff
abdkadiralhamid@2014
kunjungan pagi, sebelum berangkat ngantor.. nice post, gan. menarik minat untuk dibaca, bagus banget.
ReplyDelete