Solat Sunat Kusuf (Gerhana Matahari)
.
‘Gerhana Matahari’ disebut ‘Kusuf’ (الكُسُوفِ) di
dalam bahasa Arab yang bermaksud terlindung atau hilangnya cahaya
matahari, sama ada terlindungnya itu hanya sebahagian atau
keseluruhannya.
.
Gerhana bukan
fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku
sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi SAW yang dikenali
sebagai ‘sebaik-baik kurun’.
Gerhana berlaku
bukanlah kerana kemurkaan Allah SWT, tetapi merupakan petanda kepada
kebesaran kekuasaan Allah SWT. Ia juga berupaya menjadi peringatan
kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah SWT pada
hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari
penghayatan iman dan sains.
.
Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:عن ابن مسعود الانصارقال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله. يخوف بهما عباده. وَاِنَّهُمَا لا ينكسفان لموتِ أحد مِنَ النَّاسِ. فإذا رأيتم منها شيئا. فصلوا وادعوا الله يكشف ما بكم.
“Sesungguhnya
matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda
kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan
untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran
kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kamu
melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal
yang menakutkan itu hilang.”
.
Galakan mengerjakan ibadah Solat Sunat
Gerhana ini berdasarkan banyak hadis berkaitan gerhana. Terdapat
beberapa perkara sunnah yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian
gerhana, di antaranya adalah melakukan solat dan berdoa. Rasulullah SAW
bersabda: “Apabila kamu melihat
kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan
berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi.”
.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَر َ آيَتَانِ مِنْ ايَاتِ اللهِ لاَيَخْسِفَان ِ لِمَوت ِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا
“Sesungguhnya
matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan
Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana
kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya,
berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersolatlah.”
.
.
Solat Sunat Gerhana Matahari
.
Melakukan ‘Solat Gerhana Matahari’ atau dikenali juga dengan nama ‘Solat Sunat Kusuf’ adalah ‘sunat muakkad’ bagi
muslimin dan muslimat (lelaki atau perempuan), sama ada orang yang
bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba. Disunatkan mandi sebelum
dirikan solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.
.
Solat Sunat Kusuf boleh dilakukan di
mana-mana samada di rumah, surau atau masjid. Solat Sunat Kusuf boleh
dilakukan secara bersendirian Walau bagaimanapun yang lebih afdhal dan
utama adalah ditunaikan secara berjamaah di masjid yang didirikan Solat
Jumaat.
.
Sebaiknya
dibacakan khutbah setelah selesai solat seperti mana pada solat hari
raya. Isinya diarahkan kepada keterangan tentang gerhana, isu-isu semasa
ataupun hal-hal bermanfaat yang menjurus kepada anjuran taubat,
sedekah, persatuan, amar ma’ruf nahi mungkar.
.
.
Waktu Solat Gerhana Matahari
.
Solat Sunat Kusuf / Gerhana Matahari
waktunya bermula ketika ternyata sedang berlakunya gerhana matahari
sehingga selesai gerhana matahari tersebut. Iaitu dengan berakhir,
tamatnya gerhana itu atau sehingga jatuhnya matahari dan hilangnya
gerhana tersebut. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam
matahari, maka tidak ada solat gerhana.
.
.
.
A. Pelaksanaan Gerhana Matahari (Kusuf)
.
‘Solat Sunat Kusuf / Gerhana Matahari’ tidak perlu ‘Iqamah’ tapi cukup sekadar ucapan (الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
dan dilakukan dengan 2 rakaat sebagaimana solat sunat biasa. Dalam
semua cara Solat Sunat Gerhana Matahari, hendaklah diperlahankan suara
ketika membaca surah.
.
.
1. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :
Daku Solat Sunat Gerhana Matahari dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.
.
2. Disunatkan membaca surah-surah panjang dalam setiap rakaat Solat Sunat Kusuf tetapi bacaan Al Fatihah dan surah tidak boleh dijaharkan (dinyaringkan).
Dari Aisyah r.a. berkata:عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ رَأْسُهُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً ثُمَّ فَعَلَ ِفي الرَّكْعَةِ الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ ثُمَّ سَلَّمَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسِ فَقَالَ ِ في كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ إِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آياَتِ اللهِ َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.
“Sesungguhnya
Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari,
lalu Baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang
(seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian Baginda mengangkat
kepala dan mengucapkan “Sami’ Allahhu Liman Hamidah”, dan Baginda berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam
berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama,
kemudian Baginda rukuk dengan rukuk yang panjang, sedang rukuk ini
berkurang dari rukuk pertama, kemudian Baginda sujud dengan
sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian
Baginda bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang
akhir (kedua), Selanjutnya Baginda mengakhiri solatnya dengan salam,
sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada
manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah
dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya
tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana
kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana)maka
bersyukurlah kepada solat gerhana.” (Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)
.
3. Dilaksanakan dengan dua raka’at. Di
dalamnya dilaksanakan sama ada dengan dua (2) kali rukuk, tiga (3) kali
rukuk atau empat (4) kali rukuk bagi setiap raka’at.
.
4. Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT;
.
5. Antara doa yang biasa dibaca terutama semasa khutbah atau selepas solat sunat gerhana ialah :
.
.
B. Ringkasan Cara Solat Sunat Kusuf
.
Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) tidak perlu ‘Iqamah’ tapi cukup sekadar ucapan (الصِّلاَةُ جَامِعَةً ) Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) ini boleh dilakukan dengan 4 cara atau empat kaedah dan dalam solat ini bacaan Al-Fatihah dan surahnya dibaca dengan suara perlahan dan tidak dinyaringkan.
Secara ringkasnya Solat Gerhana / Solat Sunat Kusuf adalah seperti berikut :
.
1. Cara Pertama
.
Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) boleh dilakukan dengan cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana Solat Sunat Zuhur atau mana-mana solat sunat. Didirikan sebanyak 2 rakaat dengan 2 kali Qiam, 2 kali Fatihah, 2 kali rukuk dan 2 kali sujud.
.
.
.
2. Cara Ke-Dua
.
Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) dengan cara ‘ ال أدنى ‘, iaitu ditunaikan dengan 2 rakaat dengan 2 kali Qiam, 2 kali Fatihah, 2 kali rukuk dan 2 kali sujud pada setiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap Qiam itu.
.
Bagi kita di Malaysia ini, cara yang
kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa
iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah
(mana-mana surah yang mampu) kemudian rukuk dan berdiri tegak semula
(qiam kedua).
Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah
dan juga surah. Kemudian rukuk semula (dipanggil rukuk kedua). Apabila
bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja
dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama.
Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.
.
.
.
3. Cara Ke-Tiga
.
Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) dengan cara membaca tasbih dan surah panjang.
.
a. Rakaat Pertama
.
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca Doa Iftitah.
3. Membaca Ta`awwuz.
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca mana-mana surah, yang lebih afdhal ialah surah al-Baqarah.
6. Rukuk dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.
7. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau mana-mana surah.
8. Rukuk dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.
9. Iktidal.
10. Sujud dan membaca tasbih.
11. Duduk antara 2 sujud.
12. Sujud kembali.
13. Berdiri ke rakaat kedua.
.
.
b. Rakaat kedua
.
1. Membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
3. Rukuk dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat.
4. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan surah al-Maidah atau mana-mana surah.
5. Rukuk dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
6. Iktidal.
7. Sujud dan membaca tasbih.
8. Duduk antara 2 sujud.
9. Sujud kembali.
10. Membaca Tasyahud Akhir.
11. Memberi salam.
.
.
Disebutkan oleh Ibnu Rusyd di dalam Bidayatul Mujtahid:وكان إسحاق بن راهويه يقول: لا يتعدى بذلك أربع ركعات في كل ركعة لأنه لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أكثر من ذلك. وقال أبو بكر بن المنذر وكان بعض أصحابنا يقول: الاختيار في صلاة الكسوف عين وإن شاء ثلاثة وإن شاء أربعة
Ishak B. Rahawaih berkata: “Tidak
boleh melebihi empat kali ruku’ dalam satu raka’at. Kerana tiada
riwayat yang menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ruku’ lebih
dari empat kali.”
.
.
.
4. Cara Ke-Empat
Cara keempat Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari), ia didirikan sebanyak 2 rakaat dengan 4 kali Qiam, 4 kali al-Fatihah, 4 kali rukuk dan 4 kali sujud.
.
- Boleh juga dilakukan Solat Gerhana 2 rakaat dengan membaca 4 kali al-Fatihah, 4 kali rukuk dan 4 kali sujud.
- Disunatkan membaca dengan suara perlahan surah-surah panjang dalam setiap rakaat solat gerhana matahari.
- Pada setiap rakaat rukuknya dilakukan dua kali, iaitu selepas membaca al-Fatihah dan surah, lalu rukuk.
- Bangun i’tidal, lalu membaca Al Fatihah dan surah lagi lalu rukuk yang ke dua.
- Kemudian i’tidal lagi dengan tu’maninah barulah melakukan sujud yang pertama, duduk antara dua sujud, lalu sujud yang ke dua, kemudian bangun untuk rakaat yang ke dua.
- Pada rakaat yang ke dua ini, rukuk dilakukan dua kali seperti pada rakaat yang pertama. Kemudian tahiyat dan diakhiri dengan salam.
- Makmum yang hanya dapat mengikut imam ketika berdiri ke dua atau rukuk ke dua dalam rakaat pertama dianggap tidak dapat rakaat pertama.
.
Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata;عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ سَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.
“Ketika
terjadi gerhana di zaman Nabi Muhammad SAW maka diserukan: “Ash-shalaatu
jaami’ah (tegakkanlah solat berjamaah).” Kemudian (di dalam solat) Nabi
Muhammad SAW rukuk dua kali dalam satu rakaat. Pada rakaat kedua Nabi
Muhammad SAW rukuk dua kali pula. Kemudian duduk dan selesai. Matahari
sudah terang kembali. Siti Aisyah berkata: “Belum pernah saya sujud
lama, seperti lamanya sujud solat gerhana itu.” (Hr Bukhari dan Muslim).
.
Abu Bakar B. Al-Mundzir berkata: “Ada
beberapa sahabat kami menyatakan bahawa memilih tatacara solat gerhana
memiliki landasan hukum. Mereka yang mahu solat gerhana dibolehkan
memilih mana-mana tatacara yang dikehendakinya, sama ada dua kali ruku’
dalam setiap raka’at, tiga kali rukuk dalam setiap raka’at, atau empat
kali rukuk dalam setiap raka’at.” (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/121)
.
.
Nota
- Makmum yang tertinggal rukuk yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
.
.
.
C. Khutbah Solat Gerhana :
.
- Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun telah selesai gerhana.
- Khutbahnya adalah seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir.
- Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
- Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.
.
Aisyah r.a. berkata :ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.
“Seterusnya
Baginda mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah
berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana
matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran)
di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana
kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang.
Maka apabila kamu melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada
solat gerhana.” (Riwayat Bukhari r.a.)
.
.
Pertembungan Solat
.
Jika gerhana berlaku serentak dengan
solat fardhu yang lain, maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan.
Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling utama:
.
- Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah.
- Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu.
- Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat witir didahulukan solat gerhana.
.
.
Umat Islam perlu mengambil kesempatan ini
untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan
mengadakan dan menunaikan ‘Solat Sunat Kusuf’
ini secara berjemaah berserta khutbah gerhana sempena gerhana matahari
tersebut. Ibadat sunat ini seharusnya ditunaikan dengan sebaik mungkin,
apatah lagi fenomena gerhana ini jarang berlaku.
.
.
Matla’ Badrain.- Abu Ishaq Bin Ali Bin Yusuf al-Fairuzabadi, Al-Muhazzab, Juz 1, terj : Ali Achmad, Muhammad Yasin, Abdullah & Huda, Perniagaan Jahabersa. Perniagaan Jahabersa.
- Ust Hj. Fadzil Hj. Ahmad. Hidup Ibadat , Pusat Pemasaran Motivasi, K.L
- Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia Hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.
- Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad binAbdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
Artikel Seterusnya Klik Tajuk-Tajuk Di Bawah…
0 Response to "Solat Sunat Kusuf (Gerhana Matahari)"
Post a Comment
Silahkan komentar yg positip