//

PAKAR NASAB ALAWIYIN DI SINGAPURA


Di kalangan keluarga Alawiyin dari keturunan Rasulullah SAW, mereka mempunyai pakar nasab yang tugasnya adalah untuk mencatat, mengumpulkan dan menyimpan nasab keluarga. 


Pada masa lalu, pakar nasab akan mencatat setiap laporan kelahiran dan kematian dari jalur lelaki. Amalan ini masih dilakukan di Tarim (Yaman). 


Satu-satunya kitab nasab di Singapura yang sehingga ke hari ini dijadikan rujukan pakar nasab di Nusantara ialah Naskhah Aljunied.


Kitab nasab tersebut diakui di Tarim kerana pakar nasab di sana juga menggunakan salinan kitab nasab itu sebagai rujukan. 


Kantor yang dijadikan tempat untuk mengumpulkan pendataan nasab baik dari Singapura mahupun Tanah Melayu pada satu ketika dahulu adalah di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. 


Orang yang bertanggung-jawab dalam mengumpulkan data ke dalam Naskhah Aljunied ialah Syed Ali bin Muhammad bin Harun Aljunied. 


Nasab beliau adalah:

Ali bin Muhammad bin Harun bin Ali bin Junaid bin Ali bin Abu Bakar Al-Junaid


Beliau lahir di Palembang dan meninggal dunia di Singapura pada tahun 1858. 


Bapanya, Syed Muhammad bin Harun bin Ali Aljunied berasal dari Tarim dan telah berhijrah ke Aceh dan Palembang sebelum meninggal dunia di Singapura. Beliau memiliki tiga orang anak. Dua orang anaknya itu meninggal dunia semasa kanak-kanak dan hanya Syed Ali sahaja yang meneruskan keturunannya hingga saat ini. 


Selain menulis dan menyalin banyak teks nasab keluarga Alawiyin di zamannya, Syed Ali juga telah mencatit data nasab keluarga Alawiyin hingga akhir hayatnya, namun tidak sempat disiapkan. Setelah 12 tahun pemergiannya, barulah kitab nasab itu diselesaikan penulisannya di zaman anaknya yakni Syed Muhammad bin Ali Aljunied di Singapura pada 18 Mac 1870. 


Kitab Naskhah Aljunied itu ditulis dengan tangan, berwarna dan di dalamnya menyajikan nasab dalam bentuk yang tidak lazim yakni ditulis dalam bentuk lukisan yang penuh dengan seni, pengetahuan alam dan bumi. Kitab nasab itu bentuknya sangat indah dan ia sama sekali tidak pernah dikenali di Yaman. Kitab nasab itu disimpan secara rapi oleh pemegang amanahnya yang setia dari satu generasi ke generasi berikutnya hingga ke hari ini. 


Di dalam kitab Naskah Aljunied itu disebutkan bahawa rujukan utamanya ialah dari kitab nasab yang ditulis oleh Habib Ali Zainal Abidin bin Abdullah Al-Ausath bin Shaikh bin Abdullah bin Shaikh bin Abdullah Al-Aidrus bin Abu Bakar Al-Sakran bin Abdul Rahman Al-Saqqaf bin Muhammad Maula Al-Dawilah bin Ali bin Alwi bin Imam Al-Faqih Muqaddam Muhammad bin Ali Ba'Alawi. 


Pemeliharaan kitab Naskhah Aljunied itu kemudiannya dilanjutkan oleh Syed Ahmad Faisal bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Harun bin Ali Aljunied. 


Manakala setelah Syed Ahmad Faisal meninggal dunia, orang yang bertanggung-jawab dalam merapikan tambahan data ke dalam kitab Naskhah Aljunied ialah Syed Harun bin Hassan Aljunied, pengasas Toko Aljunied (Singapura). 


Setelah Syed Harun meninggal dunia, penulisan dan pemeliharaan kitab Naskhah Aljunied dilanjutkan oleh Habib Abdullah bin Hassan Al-Shatiri di Singapura dan kemudiannya diserahkan kepada Syed Ibrahim bin Muhammad Alkaff di Johor. 


Untuk melengkapi data-data yang semakin hari semakin bertambah, Syed Ibrahim telah meminjam kitab nasab milik Rabithah Alawiyah (Indonesia) yang dibuktikan dengan adanya perjanjian tertulis di antara kedua belah pihak. 


Setelah Syed Ibrahim meninggal dunia pada tahun 1996, kelanjutan penulisan dan pemeliharaan kitab Naskhah Aljunied diteruskan semula oleh Habib Abdullah Al-Shatiri hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1999. 


Oleh kerana Habib Abdillah bin Ahmad Al-Jufri dengan rendah hati menolak diangkat sebagai pengganti Habib Abdullah Al-Shatiri, maka anak Habib Abdullah iaitu Dr Syed Umar yang kini menetap di Subang Jaya (Selangor) pun melanjutkan usaha-usaha yang mulia itu sehingga ke hari ini. 


Namun demikian, cabaran yang dihadapi oleh Dr Syed Umar adalah untuk melatih seseorang untuk mengambil-alih peranan tersebut di masa hadapan. 


Dengan lahirnya para pengganti atau penerus pakar nasab, maka kerapian dan kemurnian nasab Alawiyin tetap terjaga rapi secara sistematik dan amanah dalam memastikan tugas yang mulia itu tetap terjaga.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "PAKAR NASAB ALAWIYIN DI SINGAPURA "

Post a Comment

Silahkan komentar yg positip