//

Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah oleh Imam Haddad



Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah : oleh Imam Haddad

Berkata Imam Syaikhul-islam al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad al-Hadhrami as-Syafii di dalam kitabnya Nasihat Agama Dan Pesanan Iman :

Aqidah Ahlus-sunnah Wal Jamaah ialah aqidah ringkas lagi padat dan sangat bermanfaat insyaAllah berdasarkan jalan yang dilalui firqah yang dijamin selamat iaitu Ahlus-sunnah Wal Jamaah dan orang kebanyakan kaum muslimin.

Pujian untuk Allah dan selawat untuk junjungan baginda SAW.. Seterusnya:

Sesungguhnya kita mengetahui, mengaku dan beraqidah, beriman serta meyakini dan bersaksi :

• Bahwa tiada tuhan selain Allah, maha tunggal, tiada sekutu bagiNya, tuhan yang agung, raja maha besar, tiada pemelihara selainNya, tiada yang selayaknya disembah melainkan Ia, sedia ada, tiada berpermulaan, kekal, tiada berpengakhiran. MulaNya tiada berpermulaan. KeabadianNya tiada berpenghujung. Tunggal. Tempat sandaran segala makhluq. Tidak mempunyai anak. Tidak diperanakkan. Tiada setanding denganNya sesiapa pun. Tiada bandingan dan gandingan. Tiada seumpamaNya sesuatu pun. Dia maha mendengar lagi maha melihat.

• Bahwa Allah maha suci daripada berwaktu dan bertempat, dan menyerupai mana-mana ciptaan. Tidak dilingkungi sudut. Tidak dilanda peristiwa dan kejadian. Beristiwa’ di arasyNya dengan kaifiyat yang disebutNya, dengan pengertian yang dikehendakiNya. Istiwa’ yang layak dengan keagungan, ketinggian dan kebesaranNya.

• Bahwa Allah SWT adalah hampir kepada sekelian makhluq, lebih hampir kepada manusia berbanding urat lehernya sendiri, mengawasi dan saksi terhadap segala sesuatu. Zat yang hidup. Maha mentandbir. Tidak dikuasai mengantuk dan tidur. Zat yang mereka cipta langit dan bumi. Bila Dia memutuskan satu perkara, memadai dengan berkata kun: wujudlah kamu, maka wujudlah perkara itu. (Allah pencipta segala suatu dan Dia terserah kepadaNya urusan segala perkara).

• Bahwa Dia maha berkuasa terhadap segala perkara. Maha mengetahui segenap perkara. IlmuNya meliputi segenap perkara. PenghitunganNya merangkumi satu persatu zarah makhluk. (tidak terlepas dari tuhanmu satu atom pun di langit dan di bumi. Dia mengtahui apa yang mendasari bumi dan apa yang terbit darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana. Dia bersama kamu di mana jua kamu berada. Allah maha melihat apa jua pekerjaan kamu. Mengetahui yang rahsia dan yang lebih tersembunyi. Mengetahui segala yang ada di daratan dan lautan. Tidak gugur sehelai daun pun melainkan dalam pengetahuanNya, tidak juga gugur sebiji bijian dalam kegelapan bumi, tidak juga benda basah, mahupun benda kering melainkan kesemuanya dalam catatan yang terang.

• Bahwa Allah yang menentukan kehendak terhadap sekelian maujud. Mentadbir segala kejadian. Tidak berlaku apa jua kebaikan mahupun kejahatan, manfaat mahupun mudharat, melainkan dengan ketentuan dan kehendakNya. Apa yang Allah kehendaki, berlaku. Apa yang Allah tidak kehendaki, tidak berlaku. Sekiranya semua makhluk berpakat untuk menggerakkan suatu zarah di alam ini, atau memberhentikannya, tanpa kehendak Allah, nescaya mereka tidak mampu.

• Bahwa Allah taala maha mendengar, maha melihat. Bercakap dengan kalam yang qadim lagi azali, yang tidak menyerupai kalam para makhluk.

• Bahwa Quran yang agung adalah kalam qadimNya dan merupakan kitabNya yang diturunkan kepada nabi dan rasulNya Muhammad SAW.

• Bahwa Allah SWT pencipta, pemberi rezeki, pentadbir dan penyusun atur segala sesuatu sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada bagiNya dalam kerajaanNya seteru dan penghalang. Memberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya, menolak terhadap sesiapa yang dikehendakiNya. Mengampuni dan menyiksa sesiapa yang dikehendakiNya. Tidak dipersoalkan apa jua yang Allah lakukan. Sebaliknya mereka para hamba yang dipersoalkan.

• Bahwa Allah SWT maha bijaksana dalam tindakanNya. Adil dalam penghakimanNya. Tidak tergambar berlakunya ketidakadilan dan penganiyaan oleh Allah SWT. Tiada sesiapa mempunyai hak yang wajib atas Allah SWT. Sekiranya Allah membinasakan seluruh makhlukNya dalam sekelip mata, tidaklah Allah dikira zalim dan menganiaya mereka. Kerana mereka adalah milikNya dan para sahayaNya. Terpulang kepada Allah hendak melakukan apa jua yang Ia kehendaki dalam kerajaanNya. (tidaklah tuhanmu zalim terhadap hamba-hamba).

Allah memberi pahala kepada hamba atas kepatuhan mereka, sebagai ihsan dan kemurahanNya. Dan menghukum mereka atas kemaksiatan, sebagai kebijaksanaan dan keadilanNya.

• Bahwa mentaati Allah adalah wajib terhadap hamba dengan ketentuan dari Allah melalui lidah para rasul AS.

Kita beriman dengan semua kitab yang diturunkan Allah, semua rasul yang diutuskan Allah, semua malaikah Allah dan dengan taqdir baik dan buruk.

Kita bersaksi

• Bahwa penghulu kita Nabi Muhammad SAW adalah hamba Allah serta rasulNya, Allah mengutus baginda kepada jin dan manusia, Arab dan Ajam, bersama petunjuk dan agama kebenaran untuk Allah menangkan agama itu mengatasi segala agama, meskipun tidak disenangi golongan musyrikin.

• Bahwa baginda saw telah menyampaikan perutusan, menunaikan amanah, menasihati umat, merungkaikan kekusutan, dan berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benarnya. Bahawa baginda adalah benar lagi amanah, didokong bukti-bukti yang benar dan mukjizat-mukjizat luar biasa.
• Bahwa Allah telah mewajibkan terhadap para hamba agar mempercayai, mentaati serta mengikuti baginda SAW. Tidak diterima iman seseorang hamba, meskipun ia beriman kepada Allah SWT, selagi tidak beriman kepada Nabi Muhammad SAW serta semua perkara yang dibawa dan diberitahu oleh baginda SAW berkenaan perkara dunia dan akhirat serta barzakh. Termasuklah :

1. Mengimani adanya soalan munkar nakir kepada si Mati, tentang tauhid, agama dan kenabian. Dan mengimani adanya kenikmatan dalam kubur untuk mereka yang taat, azab kubur untuk pelaku maksiat.
2. Mengimani adanya kebangkitan selepas mati, penghimpunan segala jasad dan roh dan dihadapkan kepada Allah.
3. Adanya penghisaban. Dan bahawa para hamba tidak sama keadaan mereka dalam hal penghisaban: ada yang diberi keampunan, ada yang disoal siasat dan ada yang dibenarkan masuk syurga tanpa hisab.
4. Mengimani adanya neraca yang digunakan untuk menimbang pahala dan dosa.
5. Sirat, iaitu titian yang dilintangkan di atas permukaan neraka.
6. Adanya telaga nabi SAW di mana orang-orang mukmin minum daripadanya sebelum masuk ke syurga, airnya dari syurga.
7. Mengimani adanya syafaat para nabi, kemudian para siddiqin, syuhada, ulama, para solihin dan orang-orang mukmin. Dan bahawa syafaat agung adalah keistimewaan penghulu kita Nabi Muhammad SAW.
8. Mengimani bahawa ahli tauhid yang memasuki neraka akan dikeluarkan sehingga tidak akan tinggal kekal di dalam neraka mereka yang ada dalam hatinya meskipun seberat zarah iman.
9. Bahawa orang kafir dan musyrikin kekal dalam neraka selama-lamanya. Tidak diringankan untuk mereka azab dan tidak lagi diberi peluang bertaubat.
10. Bahawa orang mukmin kekal dalam syurga selama-lamanya. Tidak tertimpa kepada mereka keletihan dan tidaklah mereka bakal dikeluarkan dari syurga.
11. Bahawa orang mukmin akan dapat melihat tuhan mereka di syurga dengan mata zahir mereka secara yang layak dengan keagungan dan kesucian kesempurnaanNya.
12. Termasuklah beri’tiqad akan keunggulan yang ada pada para sahabat Nabi SAW serta susunan keutamaan mereka, dan bahawa tidak fasiqnya mereka, terpilihnya mereka dan amanahnya mereka. Tidak harus mencerca dan mengkritik sesiapapun di kalangan mereka. Dan bahawa khalifah yang benar selepas baginda SAW ialah Abu Bakar Siddiq, Umar al-faruq, Usman as-syahid dan Ali al-murtadha. Allah meredhai mereka serta sekelian sahabat nabi SAW, yang mengikuti mereka dengan berbuat kebajikan sehingga hari qiamat. Dan untuk kita juga bersama mereka.

Dengan rahmatMu ya Allah, ya arhamar-rahimin.

abdkadiralhamid@2016

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah oleh Imam Haddad"

Post a Comment

Silahkan komentar yg positip