Dosa Jual Beli & Tinggalkan Berurus Niaga Ketika Azan Jumaat
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Hari Jumaat merupakan penghulu segala
hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat
yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat.
Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad SAW diharuskan untuk melakukan
segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah
Ta’Ala.
Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum
Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa AS melarang sama sekali
kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari
Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa
tersebut melaksanakan ibadah.
Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad
SAW, Allah SWT memberi kebebasan dan ruang yang cukup luas kepada
hambanya untuk mencari rezeki dengan apa cara sekalipun termasuklah
berniaga dan berjual beli. Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan
waktu khusus yang dilarang oleh Allah SWT menjalankan sebarang bentuk
perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini.
Allah SWT berfirman:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan
Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati
Allah SWT dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ;
yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui
(hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka
bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing)
dan carilah dari limpah kurnia Allah SWT, serta ingatlah akan Allah SWT banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).” (Surah Al-Jum’ah Ayat 9)
Ayat tadi jelas menunjukkan larangan
Allah SWT terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika
mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada
mereka yang ditaklifkan kefardhuan Solat Jumaat sama ada peniaga lelaki
dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat
seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini
membawa maksud haram urusan jual beli dijalankan ketika azan Jumaat
telah dilaungkan.
Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut: “Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua.” (Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
Jika disoroti sejarah, berniaga dan
berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda
Rasulullah SAW tetapi bezanya aktiviti jual beli itu ditangguhkan
setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib
sedang berkhutbah di mimbar.
Hal ini tidak berlaku sama sekali di
masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga
melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada
waktu tersebut khatib sedang berkhutbah.
Perlu diingat walaupun hukum jual beli
tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara
inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.
Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: “Sewaktu
Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang
satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka
sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12
orang sahaja. Lalu Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud: “Malangnya
apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas
menggapainya. Mereka meninggalkan engkau (wahai Muhammad) bersendirian
tegak berkhutbah.”
Istimewanya Solat Jumaat berbanding
dengan solat lain ialah kerana terdapatnya khutbah. Justeru tidak
sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan
menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat. Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah
menyamai 2 rakaat Solat Zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan
mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua
rakaat solat Zuhur.
Realiti yang berlaku, ramai di
kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa
yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa
berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat
berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas
mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah SWT.
Allah SWT memberi ganjaran yang besar
kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid pada hari
Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila
tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid terdapat malaikat yang
mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib
telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka
dan datang untuk mendengar khutbah.”
.
Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama
ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan
mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani
kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat
seseorang. Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :
Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang.
Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.
Ketiga: Para jemaah
lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping mengambil
peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah.
Dosa Jual Beli Hari Jumaat
.
Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari
Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa
terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan
juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam
ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli
makanan yang berulamkan dosa.
Sebelum ini, saya pernah mengulas
berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9′ dan juga wawancara
bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang
sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan
ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.
Persoalan jual beli yang terus
berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada
hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang
menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar
masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin
menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.
PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas
lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara
wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada
hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam
perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu
keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh
Islam.
Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.
Perbincangan hukum hanya berkisar
kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau
kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.
Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى
ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ
تَعْلَمُونَ
Artinya :Hai orang-orang yang beriman,
apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka
bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli.
Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?
Walaupun telah ijma’[1] di
kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas,
mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas
azan pertama atau kedua.
Perlu difahami bahawa azan Jumaat di
zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali
sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk
memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan
umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga
(berfungsi sebagai iqamah).
Namun, hasil daripada kewujudan lebih
dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu
berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli
selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa
pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik
ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya
ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]
Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-
المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal
ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang
asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar
at-Tohawi, hlm 24)
Namun demikian, ulama mazhab Hanafi
kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka
berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian
besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan
pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari
pada hari tersebut.[3] Ini
bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh
keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.
Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :
اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني
Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?
Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah
haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad
jual beli mereka terbatal?
Jika kesalahan ini dilakukan, dosa
yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu
pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, beerti
pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian
juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku,
beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan
berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh
syubhat dan bermasalah.
Dalam hal ini, para ulama tidak
sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama
terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah
sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah
ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.
Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan penelitian,
pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat
jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan
yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa
pembatalan aqad.
Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia
dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat
digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga
Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini.
Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang
kali.
KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini,
dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula
untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.
Saya amat berharap agar para khatib dapat
mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga
diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua.
Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di
masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.
Artikel
Berkaitan:
0 Response to "Dosa Jual Beli & Tinggalkan Berurus Niaga Ketika Azan Jumaat"
Post a Comment
Silahkan komentar yg positip