Baqiyyatus Salaf wa Sayyidul Khalaf, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha
al-Haddad.
NASAB :
Habib Ahmad Masyhur bin Thaha bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin Thaha bin
‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Abdullah bin Thaha bin ‘Umar (adik bungsu
kepada al-Imam ‘Abdullah al-Haddad) bin ‘Alwi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah
bin Muhammad al-Haddad bin ‘Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar bin Ahmad bin Muhammad
bin ‘Abdullah bin al-Faqih Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Alwi (Ammu al-Faqih) bin
Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali bin ‘Alwi Khali’ Qasam bin Muhammad bin ‘Alwi
bin Ubaidillah bin Sayyidina al-Muhajir ilaLlah Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin
Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far ash-Shadiq bin Muhammad
al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Hussin al-Sibth bin ‘Ali suami
Fathimah al-Zahra’ binti Muhammad Rasulullah صلى الله
عليه وآله وسلم.
LAHIR:
Dilahirkan
di kota Qaidun yang terletak di Wadi Dau’an, Hadramaut sekitar tahun 1325H yang
bersamaan dengan 1907M, oleh bondanya, Hababah Shofiyyah binti Thohir bin Umar
al-Haddad. Ayahanda beliau, Habib Thoha bin ‘Ali bin ‘Abdullah al-Haddad adalah
seorang waliyUllah yang khumul dan mastur, yang menghabiskan sebahagian besar
usianya di Indonesia. Menjelang penghujung usia, barulah beliau kembali ke
Hadramaut dan wafat disana. Bonda beliau, Hababah Shofiyyah adalah seorang ‘arifahbiLlah
dan huffadz al-Quran.
MENUNTUT ILMU :
Al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mendapat pendidikan awal daripada
bondanya, Hababah Shofiyyah. Suatu ketika, tatkala al-Imam al-Habib Hasan
al-Atthas (wafat 1334H) berkunjung ke ribath Qaydun, Hababah Shofiyyah telah
menyuruh anaknya, al-Habib Ahmad Masyhur yang ketika itu berusia sekitar 7
tahun, untuk melaksanakan sholat dibelakang al-Habib Ahmad bin Hasan bin
Abdullah al-Atthas untuk mendapatkan keberkatan, kemudian al-Habib Ahmad bin
Hasan al-‘Atthas membacakan al-Fatihah baginya.
Seterusnya al-Habib
Ahmad Masyhur mendapat pendidikan di Ribath Qaydun dari daripada dua ulama
besar dari keluarga al-Haddad, pengasas kepada rubath tersebut iaitu Habib
‘Abdullah bin Thohir al-Haddad (wafat 1367H) dan saudaranya Habib ‘Alwi bin
Thohir al-Haddad (wafat 1382). Di bawah dua ulama ini, Habib Ahmad Masyhur bin
Thoha al-Haddad mendalami lagi pengetahuan agamanya dalam bidang fiqh, tauhid,
tasawwuf, tafsir dan hadits. Dalam usia muda, beliau telah hafal al-Quran dan
menguasai berbagai lapangan ilmu agama sehingga diberi kepercayaan untuk
mengajar pula di rubath tersebut. Habib Ahmad yang tidak pernah jemu menuntut
ilmu turut menangguk ilmu di Rubath Tarim dengan para ulama yang mengajar di
sana, diantaranya al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri (wafat
1361H), al-‘Allamah al-Habib ‘Abd al-Baari bin Syeikh al-Aidarus dan ramai lagi.
Tatkala usia Habib
Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad menginjak 20, beliau telah dibawa oleh
gurunya Habib ‘Alwi bin Thohir al-Haddad ke Indonesia. Di sana selain
berdakwah, beliau bertemu dan meneruskan pengajian dengan ramai lagi ulama dari
kalangan Saadah ‘Alawiyyin di sana, antaranya al-Habib Muhammad bin Ahmad
al-Muhdhar (wafat 1344H), al-‘Arifbillah al-Habib ‘Abdullah bin Muhsin
al-Atthas (wafat 1351H), Al-‘Allamah al-Habib ‘Alwi bin Muhammad bin Thohir
al-Haddad (wafat 1373H), al-‘Allamah al-Mu’ammar al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman
al-Habsyi (wafat 1388H) dan ramai lagi. Kemudian al-Habib Ahmad Masyhur bin
Thoha al-Haddad ke Mukalla untuk belajar kepada al-‘Arifbillah al-Habib Ahmad
bin Muhsin al-Haddar. Beliau adalah antara guru yang banyak memberi kesan dari
sudut rohani kepada al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad.
PERIBADI :
Beliau adalah seorang yang
sentiasa menjaga wirid harian dan sholat-sholat sunnah. Tidak pernah
meninggalkan sholat malam walaupun beliau dalam musafir. Pendekata,
kehidupan yang beliau mencontohi kehidupan nendanya, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Setiap gerak geri, tuturkata dan senyuman beliau menyegarkan ingatan para pencintanya akan kehadiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Tiada yang melihat wajah beliau melainkan akan mengingati Allah.
“Haibah” padanya menyebabkan orang yang melihat beliau berasa hormat,
namun kelembutan dan hormatnya pada semua orang, melembutkan hati mereka
yang hadir ke maslis beliau. Mereka akan terlupa segala masalah dan
dapat menikmati pengalaman diterima oleh seseorang yang cukup hampir
dengan Allah dan RasulNya. Beliau menghabiskan usianya dengan beribadah
dan berdakwah mengajak manusia kepada agama Allah. Beliau seorang yang
sedikit berbicara dan banyak berfikir. Tawanya hanyalah berupa senyuman.
Beliau berbicara mengikut tingkat pemahaman seseorang. Beliau berusaha
keras untuk duduk bersama mereka yang dhaif, sakit dan miskin sengsara.
DAKWAH :
Pertama kali al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mengembara ke
Afrika Timur untuk berdakwah ialah pada tahun 1347H. Beliau memasuki walayah
Zanzibar dan disambut dengan penuh penghormatan. Ketika itu di Zanzibar
terdapat seorang ulama bernama al-Habib ‘Umar bin Ahmad bin Sumaith (foto
sebelah). Pada bulan Ramadhan, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad
tinggal di Masjid Jami’ dan mengajar tafsir al-Quran, bermula dengan surah
al-Faatihah. Selama 25 hari beliau membicarakan tentang firman Allah: إياك نعبد وإياك نستعين.
Pada tahun 1350/1
beliau kembali ke Afrika, dalam perjalanannya melaksanakan ibadah haji. Beliau
memasuki pelabuhan utama Kenya, Mombasa. Sewaktu di Mombasa, beliau mendapat
tahu mengenai al-Habib Sholih bin ‘Alwi Jamalullail (beliau di kenal dengan nama
Habib Swalleh Jamallely oleh masyarakat tempatan) yang menetap di Lamu, Kenya.
Beliaulah yang melaksanakan pembacaan Maulid Simtud Durar setiap tahun di Lamu,
Kenya. Majlis maulid yang diselengara di di hadiri oleh masyarakat dari Malawi,
Afrika Selatan, Mozambique, Pulau Komoro, Uganda, Somalia, Tanzania dan
lain-lain (sehingga kini ianya masih diadakan dihadiri oleh ribuan orang).
Mendengar kehadiran
al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad, Al-Habib Sholih Jamalulail
mengutuskan anaknya ke palabuhan untuk menyambut al-Habib Ahmad Masyhur bin
Thoha al-Haddad. Mereka bertemu dan bersama-sama menunaikan sholat dhuhur di
Masjid al-Riyadh, Lamu. Sewaktu pertemuan ini al-Habib Sholeh bin ‘Alwi
Jamalulail sudah berusia lebihkurang 80 tahun.
Habib
Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad menulis surat menceritakan keadaan di Afrika
kepada guru beliau, al-Habib ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad di Indonesia. Beliau
juga menceritakan pertemuan beliau dengan al-Habib Sholeh Jamalullail.
Setelah itu,
al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad kembali ke Kenya untuk meneruskan
usaha dakwah dan menyebar risalah nendanya yang mulia, Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Beliau menetap di Mombasa, Kenya. Dan dari situlah beliau
melancarkan dakwahnya ke seluruh pelosok benua Afrika.
Pada tahun 1375H
(1955), beliau berhijrah pula ke Kampala, Uganda dan menetap di situ sekitar 13
tahun. Beliau mendapat bantuan dan bimbingan dari al-‘Arifbillah al-Habib Umar
bin Ahmad bin Sumaith yang menetap di Zanzibar. Al-Habib Umar bin Ahmad bin
Sumaith sering menjunjungi al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad di Kenya.
Dan pada tahun 1376H, beliau menziarahi al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha
al-Haddad di Kampala.
Habib Ahmad dengan
sungguh-sungguh dan gigih memanfaatkan masa dan tenaga beliau untuk berdakwah
menyeru umat kepada agama yang diredhai Allah walaupun beliau terpaksa meredah
hutan dan merentasi gurun untuk sampai ke perkampungan-perkampungan di Afrika
seperti kawasan daerah Aqzam, sebuah kawasan pendalaman yang terpencil di
Conggo. Dan hasil dari kegigihan dan kesungguhan beliau berdakwah, sepanjang
berada di bumi Afrika, ratusan ribu yang memeluk agama Islam ditangan beliau.
Di samping itu
beliau turut mengorbankan harta bendanya untuk agama dengan membangunkan banyak
masjid dan madrasah dalam rangka dakwahnya di sana. Untuk memudahkan usaha
dakwahnya, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mempelajari bahasa
Swahili iaitu bahasa yang digunakan oleh penduduk Timur Afrika. Di dalam
bergaulan hariannya, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mengunakan
bahasa Swahili untuk berkomunikasi. Namun di majlis-majlis umum beliau
mengunakan bahasa ‘Arab untuk menyampaikan ceramah. Ini adalah kerana bahasa
‘Arab adalah bahasa al-Quran dan bahasa yang digunakan oleh nenda beliau,
Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Hal ini beliau lakukan untuk menegaskan
betapa penting dan mulianya bahasa ‘Arab. Pada tahun 1389H, al-Habib Ahmad
Masyhur bin Thoha al-Haddad kembali dari Uganda ke Kenya, dan kemudiannya
menetap di sana. Beliau setiap tahun mengerjakan ibadah haji.
Ulama ahlulbait ini telah menaburkan jasa yang sangat besar di Afrika
Timur. Menurut Syeikh Yahya Rhudus, beliau telah mengislamkan lebih dari
300,000 orang selama berdakwah di bumi Afrika Timur. Dan ada yang mengatakan
bahwa beliau telah mengislamkan lebih dari 500, 000 orang. Tidak syak lagi ini
adalah salah satu karomah yang Allah anugerahkan kepada beliau.
KARANGAN :
Biarpun
sibuk dengan berdakwah dan mengajar, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad
juga ada menulis. Diantara kitab-kitab karangan beliau tulis adalah:
- Miftahul Jannah (merupakan kitab beliau yang paling masyhur. Telah diterjemahkan oleh murid beliau, Syeikh Musthafa Hasan al-Badawi ke dalam bahasa Ingeris dan ianya tersebar luas di Eropah. Juga ada diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia);
- Majmu` Fatawa;
- Syarh Nadzam Sa`id bin Nabhan;
- Ad-Durratun Nafi`ah;
- As-Sabhatuts Tsamina
- Al-Maslak al-Faa`ih fi Ahkam ash-Shoid wa adz-Dzabaa`ih
- Risalah fi Tadwin as-Sunnah an-Nabawiyyah
Di samping itu,
beliau turut meninggalkan beberapa rangkaian ucapan sholawat yang indah dan
penuh asrar dan keberkatan. Antara sholawat gubahan al-Habib Ahmad Masyhur bin
Thoha al-Haddad adalah satu sholawat yang menyebut penciptaan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. daripada nur kepunyaan Allah, yang berbunyi:-
Artinya :
Wahai Allah, Tuhan
sumber cahaya alam semesta
Limpahkan sholawat
atas Junjungan yang Engkau cipta
Dari nur milikMu
ciptaan indah tiada tara
Dan ampunilah aku
serta sinarilah hatiku yang alpa
Dengan makrifatMu
terang bercahaya
Juga dengan
makrifatnya akan diriMu yang Maha Mulia
Atas keluarga serta
sahabat baginda limpahkanlah sama Limpahan sholawat dan salam sejahtera
Juga diceritakan
oleh al-Quthub al-Habib Hasan bin 'Abdullah al-Haddad rahimahUllah bahawa
sepanjang tempoh 40 hari sebelum wafatnya Imam al-Haddad rahimahUllah, beliau
banyak berzikir dengan dua kalimah tasbih :
" سبحان الله وبحمده , سبحان الله العظيم"
Pasti pilihan Habib Ahmad Masyhur untuk memperbanyakkan hari-hari akhirnya
di muka bumi yang fana ini dengan ucapan tersebut punya rahsia yang tertentu.
Sesungguhnya, dua lafaz tasbih tersebut merupakan suatu lafaz zikir yang jami`
menghimpunkan ganjaran dan balasan yang tidak terkira-kira.
WAFAT :
Pada
penghujung hayatnya, Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad sering
berulangalik daripada Afrika ke Makkah dan Madinah. Tatkala usia beliau semakin
lanjut, beliau memilih untuk menetap di Jeddah bersama ahli keluarga beliau.
Pada hari Rabu, 14 Rajab 1416H bersamaan 6 Disember 1995M, di Jeddah dalam usia
menghampiri 90 tahun, beliau kembali kerahmatullah. Jenazah beliau disholatkan
di Jeddad diimamkan oleh Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani
(al-Marhum) dengan kehadiran alHabib ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf.Jenazah beliau yang
mulia kemudiannya telah dibawa ke Makkah dan disholatkan sekali lagi di hadapan
Ka’bah al-Musyarrafah sebelum dimakamkan di Hauthah Saadah al-‘Alawiyyin di
Jannatul Ma’la.
Moga Allah sentiasa
mencucuri rahmat dan keredhaanNya ke atas Habib Ahmad Masyhur bin Thoha
al-Haddad serta para leluhurnya. Allahumma aamiin .. al-Fatihah.
2014@abdkadiralhamid
0 Response to "Manaqib Habib Ahmad Masyhur bin Toha Al Haddad "
Post a Comment
Silahkan komentar yg positip