//

Mengenali Syaikhah Sulthonah (RABI’AH DARI HADRAMAUT)

Mengenali Syaikhah Sulthonah
 (RABI’AH DARI HADRAMAUT)

Makam Syaikah Sulthonah
Seterusnya kami juga berkesempatan menziarahi makam Syaikah Sulthonah yang letaknya tidak berapa jauh dari makam Imam al-Muhajir. Siapakah Syaikhah Sulthonah ini? Haaa … kalau di kota Bashrah terkenal dengan Rabiatul Adawiyah, maka di Hadramaut terkenal dengan Syaikah Sulthonah, iaitu seorang waliAllah yang sedari kecilnya sudah menjalani kehidupan seorang shufi.
Al-Habib Muhammad bin Ahmad asy-Syatiri dalam kitabnya al-Adwar meyebutkan: “Dia (Syaikhah Sulthonah) mempunyai kelebihan tersendiri kerana sejak kecil sudah mulai meniti tangga dan maqamat didalam ilmu tasawuf”. Beliau mempunyai banyak karamah dan sering bermimpi bertemu dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

.
Sekelumit biografi Syaikhah Sulthonah 
Beliau adalah Sulthonah binti ‘Ali az-Zabidiah iaitu dari keluarga az-Zabidi dan mereka adalah bahagian dari kabilah Bani Haritsah al-Kindiah (ada riwayat mengatakan bahwa mereka dari kabilah Bani Madzhji. Kabilah al-Kindiah ini adalah merupakan kaum badwi yang terkenal dengan senjata, kekuatan dan keberanian. Syaikhah Sulthonah dilahirkan di perkampungan al-Urro, iaitu dataran yang membentang dari sebelah timur kampung Maryamah hingga ujung Hauthoh yang sekarang dikenal dengan Hautoh Sulthonah.

Membesar didialam persekitaran badwi
Syaikhah Sulthonah tumbuh membesar dikeluarga badwi yang sehariannya akrab dengan menggembala binatang ternakan, dengan keperibadian yang kuat serta sifat-sifat lainnya yang terdapat pada diri penduduk badwi. Walaupun demikian Syaikhah Sulthonah tidak seperti kebanyakan anak-anak sebayanya, dia tenang dan lebih senang menyendiri dari keramaian teman-teman sebayanya yang bersifat kekanak-kanakan sehingga ketika usianya merangkak dewasa Syaikah Sulthonah mulai tidak menyukai tradisi kehidupan badwi yang diwarnai dengan kekerasan dan kezaliman, selain itu dia juga mulai menyelusuri jalan fitrahnya yang menuntunnya kepada iman dan membawanya kepada ketenangan jiwa. Suasana malam yang sunyi serta perkampungan yang tenang serta cerita penduduk setempat tentang para sholihin adalah hal yang sangat membantu pencarian Syaikhah Sulthonah.

Menyelusuri jalan tasawwuf
Dalam usia yang muda Syaikhah Sulthonah sudah mulai melangkahkan kaki menyelusuri jalan tasawuf, dan ia menemukan jalan kesana disetiap tempat di lembah Hadhramaut, walaupun dia dan keluarganya serta kabilahnya tinggal di perkampungan badwi al-Urro, namun perkampungannya bertuah kerana sering di kunjungi oleh para Habaib dari Tarim, Seiwun, Gurfah, Syibam dan lainya dalam rangka menyampaikan dakwah mereka. Syaikhah Sulthonah selalu mengikuti dan mendengarkan pelajaran dan nasihat dari para alim ulama yang mengunjungi perkampungannya untuk menyebarkan dakwah islamiah, hingga ketekunannya dalam mengikuti dan mendengarkan pelajaran dari para ulama serta pilihannya untuk menelusuri jalan tasawuf kemudian Syaikhah Sulthonah terkenal dikalangan penduduk setempat.

Hal tersebut semakin menakjubkan kalau dilihat dari lingkungan dan tabiat masyarakat setempat, masyarakat setempat yang merupakan kabilah-kabilah badwi dikenal akan kecintaan dan penghormatan mereka pada para habaib dan ulama yang datang kekampung mereka untuk menyebarkan ilmu dan dakwah islamiyah, namun walaupun mereka menerima baik para ulama yang datang kekampungnya, bukan berarti mereka menerima dan mempunyai keinginan untuk menerima dan mengikuti ajaran tasawuf, begitupula halnya dengan kaum perempuan, mereka hanya mengenal tradisi dan kebiasaan yang diturunkan dari nenek moyangnya, mereka jauh sekali dari dunia keilmuan apalagi sampai mendalami tasawuf.
Guru beliau
Adapun syaikh pertama Syaikhah Sulthonah adalah al-‘Allamah Muhammad bin Abdullah BaAbbad yang tinggal di kampung Gurfah. Dari Syaikh Muhammad bin ‘Abdullah BaAbbad inilah mulai terbukanya anugerah Allah yang berupa ilmu dan amal baik yang melalui kasyaf ataupun yang merupakan laduni dan wahbi (anugerah).
Diriwayatkan Syaikhah Sulthonah termasuk orang yang sering melihat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dalam mimpinya. Begitulah selanjutnya Syaikhah Sulthonah meniti tangga dan menimba tasawuf dari para masyaikh di zaman itu, hal tersebut dilakukannya dengan mendatangi rumah para masyaikh ataupun mendatangi masjid-masjid menimba ilmu dari para masyaikh yang selalu mengisi majlis ilmu dimasjid-masjid yang banyak terdapat di kota Tarim.

Kecintaannya kepada ahlul bait
Hadramaut adalah kawasan yang ramai dihuni oleh ahlul bait. Dan diantara peranan utama mereka adalah meyebarkan dakwah. Mereka akan mengunjungi perkampungan untuk menyampaikan risalah Islam dan mendidik masyarakat dengan adab Islam. Oleh itu kedudukan mereka disisi masyarakat sangat tinggi. Mereka dihormati, disanjung dan dicintai.

Hal ini juga berlaku kepada Syaikhah Sulthonah, dimana beliau sangat dekat, dan sangat menghormati dan menyintai para ulama dari kalangan ahlul bait. Oleh kerana itu Syaikhah Sulthonah sangat menyedari akan kewajiban yang ia pikul terhadap para keturunan Rasulullah عليه وآله وسلم صلى الله tersebut, oleh kerana itu beliau berkata:
Demi keagungan Dzat Allah yang disembah, kalau misalkan dagingku ini boleh bermanfaat bagimu, maka akan aku korbankan”. Beliau juga berkata: “Sesungguhnya aku melihat bahwa keluarga Ba’Alawi mempunyai kedudukan diatas manusia lainnya” [maksud beliau - para wali dan masyaikh dari Ba’Alawi mempunyai kedudukan yang lebih daripada yang lainnya].

Syaikhah Sultahonah dikurniakan usia yang panjang, maka kerana itu beliau mempunyai hubungan yang dekat dengan al-Imam al-Habib Abdurrahman as-Saqqaf (wafat 819H) bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad رضي الله عنهم  dan anak cucunya iaitu al-Habib Abu Bakar as-Sakran bin al-Habib Abdurrahman as-Saqqaf (wafat 821H) dan al-Habib Abdullah al-Aidarus bin al-Habib Abu Bakar as-Sakran (wafat 865H)

Penghormatannya pada ahlul bait
Tentang penghormatannya kepada keturunan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dapat dilihat jelas dari apa yang dikatakan oleh Syaikhah Sulthonah:
“Apabila Sayyid Abdurrahman as-Saqqaf [bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alwi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad] akan mengunjungi kita, maka sebelumnya kampung kita menjadi subur seakan-akan habis tersiram hujan deras, kemudian setelah itu aku mendengar suara berkata: Datang kepadamu sultan puteranya sultan”.

Begitu juga beliau akan mendapat alamat dua, tiga hari sebelum kehadiran al-Habib Abu Bakar as-Sakran bin al-Habib Abdurrahman as-Saqqaf ke kampung beliau. Syaikhah Sulthonah memberitahu kepada penduduk setempat:
“Sambutlah kedatangan sultan puteranya sultan, kerana aku telah mendengar bisikan khabar gembira, memberitahu kedatangan beliau, aku juga melihat mahkota kewalian dikepala beliau …..”.

Syair
Syaikhah Sultohnah sering mengungkapkan perasaan dan gejolak jiwanya melalui syair sufi. Kebanyakan syair beliau merupakan syair mahabbah dan kerinduan beliau kepada Allah Ta’ala. Selain itu terdapat juga syairnya yang berupa pujian terhadap ahlul bait dan juga para guru-gurunya. Kebanyakan syair Syaikhah Sulthonah sehingga kini masih didendangkan dalam “Hadrah Syaikh as-Saqqaf” yang diasaskan oleh al-Habib Abdurrahman as-Saqqaf di Masjid as-Saqqaf, Kota Tarim.


Wafat: Syaikhah Sulthonah wafat pada tahun 843H, dan beliau dimakamkan dikampungnya yang dikenali sebagai Hauthoh Sulthonah. al-Faatihah untuk beliau.

Subscribe to receive free email updates:

1 Response to "Mengenali Syaikhah Sulthonah (RABI’AH DARI HADRAMAUT)"

  1. AnonymousMay 02, 2024

    Ya Allah..bbetapa irinya dgn ibadah beliau..Alhamdulillah bisa berziaroh ke makam beliau kemarin.bln april 2024 bersama anak dan suami.moga bisa dapat siir beliau.dan bisa kembali lagi ke tarim...Aamiiin..

    ReplyDelete

Silahkan komentar yg positip