//

AMALAN TAWASSUL DARI KACAMATA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

AMALAN TAWASSUL DARI KACAMATA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Petikan dari pengajian syarah kitab Aqidah Muslimin yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Faidzurrahim Hj Mohd Alwi al Azhari al Beiruti di Masjid Sobirin, Lembah Keramat, Selangor Darul Ehsan.
Bertawasul dengan para anbiyak dan awliyak adalah harus dan dianggap sebagai perbuatan yang baik. Ini merupakan antara perkara yang lumrah di kalangan orang Islam yang mengamalkan agama yang diambil dari perbuatan Nabi dan para rasul yang lain, juga perjalanan hidup para alim ulamak dan golongan para solihin. Tidak ada seorang ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah menolak keharusan amalan bertawasul sehingga muncul Ibnu Taimiah yang mempersoalkan perkara tersebut sehingga mengelirukan orang ramai.
Salah seorang ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hebat dan pakar dalam ilmu hadis iaitu al Marhum al Muhaddis al Musnid sheikh Abdullah al Harari al Habasyi telah menyatakan dalam bukunya Sirot al mustaqim bahawa tiada dalil yang kukuh yang menunjukkan tidak boleh bertawassul dengan para nabi dan wali sama ada pada waktu ketiadaan mereka atau selepas kewafatan mereka dengan mendakwa perbuatan ini merupakan satu ibadat kepada sesuatu selain Allah. Sesungguhnya tidak benar jika dianggap perbuatan menyeru orang yang masih hidup atau yang sudah mati sebagai suatu ibadat kepada selain Allah.
Makna tawassul ialah memohon sesuatu daripada Allah Taala dengan menyebut nama nabi atau wali (sebagai penghormatan kepada keduanya) supaya tercapai hajat atau tertolak mudarat daripada diri seseorang.
DALIL-DALIL KEHARUSAN BERTAWASSUL
1-Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَابْتَغُواْ إِلَيهِ الْوَسِيلَةَ
Maknanya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya
Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan Wasilah ialah sesuatu yang boleh mendekatkan kepada yang lain (perantaraan), dan dimaksudkan dengannya juga setiap perkara yang dijadikan oleh Allah sebagai sebab menghampirkan kepada-Nya, dan sebagai tali perhubungan untuk menunaikan hajat-hajat daripada-Nya, seterusnya hendaklah yang dijadikan wasilah itu mempunyai kedudukan dan kehormatan di sisi orang yang mengharapkan wasilah tersebut.
2- Al-Thabrani di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir dan Al-Mu’jam Al-Saghir telah mengeluarkan suatu hadis daripada Usman bin Hunaif bahawa seorang lelaki telah berulang-alik kepada Usman bin Affan tetapi Usman bin Affan tidak mengendahkan dirinya serta menunaikan hajatnya. Maka lelaki itu telah bertemu dengan Usman bin Hunaif dan mengadu kepadanya akan hal tersebut. Lalu Usman bin Hunaif mengatakan: “Pergilah ke tempat berwuduk dan berwuduklah, kemudian hendaklah kamu sembahyang dua rakaat. Kemudian hendaklah kamu berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada engkau dan aku bertawajjuh (menghadapkan diriku) kepada-Mu dengan (kedudukan) nabi kami, Nabi Muhammad, nabi yang membawa rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh dengan engkau kepada tuhanku pada hajatku ini supaya ditunaikan bagiku. Kemudian pergilah dan aku akan pergi bersama kamu. Maka lelaki itu pun pergi dan melakukan seperti apa yang disuruh oleh Usman bin Hunaif. Kemudian dia pun pergi kepada Usman bin Affan, di sana dia disambut oleh pengawal yang membawanya masuk kepada Usman bin Affan. Usman bin Affan telah meminta lelaki itu duduk di atas hamparan yang disediakan olehnya dan bertanya kepada lelaki itu: Apakah hajat kamu?. Lelaki itupun menyatakan hajatnya kepada Usman bin Affan dan beliau pun menunaikan hajat lelaki tersebut. Usman bin Affan menyatakan: Saya tidak mengingati hajat kamu melainkan pada ketika ini. Kemudian lelaki itu keluar dari rumah Usman bin Affan dan dia telah bertemu dengan Usman bin Hunaif. Lelaki itu mengatakan: Semoga Allah membalas kebaikan kepada kamu. Beliau (Usman bin Affan) tidak memandang kepada hajatku dan juga tidak mempedulikan diriku sehinggalah engkau memberitahunya mengenaiku. Usman bin Hunaif berkata: Demi Allah, aku langsung tidak memberitahunya tetapi aku telah menyaksikan bahawa telah datang kepada Rasulullah seorang lelaki buta yang mengadu kepada baginda akan kehilangan penglihatannya. Maka baginda berkata: Jika engkau dapat bersabar, maka bersabarlah, dan jika engkau hendak, aku akan mendoakannya untuk engkau. Dia berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kehilangan penglihatanku amat menyukarkan aku kerana tiada bagi diriku orang yang memanduku. Lalu baginda berkata kepada lelaki buta itu: Pergilah ke tempat berwuduk dan berwuduklah. Kemudian hendaklah kamu bersolat dua rakaat, Selepas itu hendaklah kamu menyatakan…(seperti apa yang telah disebutkan di atas). Maka lelaki itu melakukan seperti apa yang diperintahkan. Demi Allah, sebelum kami berpisah dan belum pun lama majlis kami bermula, lelaki buta itu telah masuk semula kepada kami dan dia sudah boleh melihat seolah-olahnya dia tidak pernah ditimpa penyakit tersebut”.
Al-Thabrani di dalam Muk’amnya berkata: Hadis ini hadis sahih.
Pada hadis ini terdapat dalil bahawa lelaki buta itu telah bertawassul dengan nabi di tempat lain (bukan di hadapan nabi) kerana Usman bin Hunaif di dalam hadis tersebut menyatakan: “Lelaki itu telah masuk semula kepada kami”. Pada hadis ini juga terdapat dalil bahawa bertawassul dengan nabi adalah harus sama ada sewaktu hayat baginda atau sesudah baginda wafat. Maka nyatalah kebatilan seperti kenyataan dari Ibnu Taimiyah yang berbunyi: “Tidak boleh bertawassul melainkan dengan orang yang masih hidup dan berada di hadapan kita”.
Ketahuilah bahawa setiap syarat yang tidak terdapat di dalam kitab Allah (Al-Qur’an) maka ia adalah batil sekalipun ia seratus syarat. Wallahhu a’lam.
Dalam hadis ini berdoa dengan bertawassul lebih dekat dikabulkan oleh Allah. Sekiranya perkara ini tidak diharuskan sudah tentu dilarang oleh nabi, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya iaitu baginda menganjur dan mengajar doa yang perlu dibaca oleh si buta tersebut.
PERBEZAAN ANTARA IBADAT DENGAN TAWASSUL
Para ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah telah mengatakan bahawa perbuatan sujud tidak dikira ibadat dan tidak dianggap kufur kecuali bergantung kepada niatnya. Sujud para malaikat kepada Adam adalah ibadah kepada Allah, bukan kepada Adam kerana para malaikat mematuhi perintah Allah dan mengagungkan-Nya. Sujud kerana memberi penghormatan adalah diamalkan pada syariat-syariat yang lalu sebelum daripada Islam. Ini dibuktikan melalui sujudnya Nabi Yaakob dan anak-anaknya kepada Nabi Yusuf sebagaimana disebut dalam surah Yusuf ayat 100:
َرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّواْ لَهُ سُجَّداً
Terjemahannya: Dan di dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf
Sesungguhnya telah pasti (tsabit) bahawa Muaz bin Jabal apabila beliau kembali dari Syam telah bersujud kepada Rasulullah, lalu Rasulullah menyatakan: “Apakah yang kamu lakukan ini?. Lalu Muaz menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melihat ahli Syam sujud kepada para pendeta mereka dan engkau sebenarnya lebih utama untuk aku berbuat demikian. Rasulullah berkata: Jangan kamu lakukan sedemikian, jika aku diperintahkan supaya setiap manusia boleh sujud kepada manusia yang lain, nescaya akan aku perintahkan perempuan supaya sujud kepada suaminya”. (Hadis riwayat Ibnu Hibban & Ibnu Majah dan juga selain mereka). Rasulullah tidak pula menyatakan kepada Muaz: “Sesungguhnya engkau telah kafir atau engkau telah melakukan syirik” sedangkan perbuatan sujud yang dilakukan kepada nabi merupakan salah satu tanda ketaatan yang tinggi kepada sesuatu.
Begitu juga tidak benar sama sekali jika seseorang itu memandang syirik terhadap perbuatan memuliakan sesuatu atau meminta pertolongan kepada selain Allah atau perbuatan mengambil berkat daripada kubur para wali. Tidak boleh juga terus dihukumkan syirik terhadap perbuatan meminta sesuatu yang luar biasa, atau menyebut lafaz yang berbentuk pertolongan kepada sesuatu selain Allah, selagi si pelakunya beriktikad bahawa yang memberi manfaat dan mudarat yang sebenar hanyalah Allah Taala. Hal ini demikian kerana melakukan perkara-perkara yang disebutkan itu tadi tidak bererti seseorang itu telah menyembah sesuatu selain daripada Allah, kerana makna ibadat di sisi ulama bahasa Arab ialah taat beserta tunduk kepada sesuatu dengan secara mutlak tanpa berbelah bahagi.
Kenyataan dari buku si Rasul Dahri yang mengharamkan tawasul
GOLONGAN SESAT, PELAMPAU DAN PENGGANAS WAHABI MENOLAK TAWASSUL:
1-Ibnu Baz berkata dalam bukunya Aqidah Sahihah Wama Yudhodhihuha m/s:22, cetakan Darul Watan Riyadh, mengatakan bahawa Istighasah dengan para anibyak adalah syirik. Dia juga berkata bahawa hadis-hadis yang menceritakan kelebihan menziarahi kubur nabi adalah palsu dalam bukunya Tahqiq Wal Idhoh Likasir Min Masail Alhaj Wal Umrah, m/s: 89
2-Abu Bakar al Jazaeiri dalam kitabnya Aqidah Al Mukmin m/s: 144 berkata bahawa bertawasul dengan kemulian mereka adalah syirik dan boleh mengeluarkan mereka dari Islam dan berkekalan dalam neraka”
3-Soleh bin Fauzan dalam bukunya Attauhid,m/s: 70, cetakan Riyadh mengatakan bahawa tidak boleh betawasul dengan kemulian nabi.
Kesimpulannya, menurut fahaman Ahli Sunnah Wal jamaah adalah harus dan sah bertawasul dengan Nabi Muhammad, baik ketika baginda masih hidup mahu pun sesudah baginda wafat. Begitu juga boleh bertwassul dengan nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain, dengan para wali dan orang-orang yang solih sebagaimana dianjurkan oleh hadis-hadis sahih.
Ahli Sunnah Wal JAmaah juga beriktiqad bahawa tiada seorang pun yang dapa memberi bekas dan kesan, mengadakan , menjadikan, meniadakan, memberi manfaat dan member mudharat kecuali hanya Allah Taala sahaja Yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya
Petikan dari:
USTAZ AHMAD FAIDZURRAHIM HJ MUHAMMAD ALAWI AL AZHARI AL BEIRUTI

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "AMALAN TAWASSUL DARI KACAMATA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH"

Post a Comment

Silahkan komentar yg positip