Istilah "Ahlul-Bait" berasal dari firman Allah s.w.t. sebagaimana termaktub di dalam Al-Qur'anul-Karim
Surah Al-Ahzab: 33 yang berbunyi:
"Sesungguhnya Allah hendak menghapuskan noda dan kotoran dari kalian, ahlul-bait, dan mensucikan kalian sesuci-sucinya"
Dalam artikata biasa "ahlul-bait" bermakna "keluarga" atau "anggota rumahtangga". Akan tetapi dalam kaitannya dengan makna ayat tersebut, para tafsir berbeza pendapat. Muhammad Jawad Maghniyyah dalam kitabnya yang berjudul 'Al-Husain Wal-Qur'an' halaman 18-19 menerangkan, bahawa menurut riwayat 'Ikrimah dan Az-Zayyad ayat tersebut ditujukan khusus kepada para isteri Rasulullah s.a.w., kerana penafsiran ayat tersebut dikaitkan dengan ayat sebelumnya, iaitu yang berkenaan dengan para isteri beliau s.a.w.
Akan tetapi sebahagian besar para ahli tafsir berpegang pada riwayat Abu Sa'id Al-Khudhariy yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan: "Ayat itu turun untuk lima orang, iaitu aku sendiri, ''Ali, Fatimah, al-Hasan dan al-Husein". Berdasarkan penegasan beliau itu maka yang dimaksudkan dengan istilah "ahlul-bait" bukan lain adalah lima anggota keluarga Rasulullah s.a.w.
At-Tirmudziy mengetengahkan sebuah Hadits yang dibenarkan oleh Jarir, Ibnul-Mundzir, Al-Hakim, Ibnu Mardawih dan Al-Baihaqiy, iaitu sebuah Hadits yang berasal dari isteri Rasulullah s.a.w., Ummu Salamah. Ummu Salamah r.a mengatakan: "Di rumahku turun ayat 'innamaa yuridullahu…' (yakni ayat 33 Surah al-Ahzab tersebut di atas) dan ketika itu di rumahku terdapat Fatimah, Al-Hasan dan Al-Husein. Rasulullah s.a.w. kemudian menutupi mereka dengan kain yang dipakainya sambil berkata: Mereka inilah ahli-baitku. Allah telah menghapuskan noda dan kotoran dari mereka dan telah mensucikan mereka". Hadits ini terkenal dengan 'Haditsul-Kisa'.
Kedudukan khusus para anggota Ahlu-bait itu diperkukuh oleh kesaksian Ibnu 'Abbas r.a yang mengatakan:
"Aku menyaksikan sendiri selama sembilan bulan Rasulullah s.a.w. secara terus-menerus menghampiri tempat kediaman 'Ali bin Abi Thalib setiap beliau hendak bersembahyang di masjid. Beliau selalu mengatakan:
"Assalaamu alaikum warahmatullahi wabaarakaatuh. Sungguhlah Allah hendak menghapuskan noda dari para ahlul-bait dan benar-benar hendak mensucikan kalian. Marilah bersembahyang, semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kalian".Tidak diragukan lagi ucapan Rasulullah s.a.w. itu ditujukan kepada 'Ali bin Abi Thalib, Siti Fatimah Az-Zahra dan kepada dua orang cucu beliau s.a.w., iaitu al-Hasan dan al-Husein – radhiyallahu 'anhuma.
Kesaksian Ibnu 'Abbas r.a itu diperkuat oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Mardawih berdasarkan kasaksian Abdul-Hamra yang mengatakan sebagai berikut: "Selama delapan bulan di Madinah aku menyaksikan, tiap kali Rasulullah s.a.w. keluar hendak menunaikan shalat di masjid, beliau berpegang pada pintunya beliau s.a.w. berucap:
"Marilah bersembahyang, sungguhlah bahawa Allah hendak menghapuskan kotoran dari kalian, hai ahlul-bait, dan Dia benar-benar hendak mensucikan kalian".
Sebuah Hadits yang berasal dari Abu Hurairah r.a diriwayatkan oleh Al-Hakim, Abu Ya'la, Abu Nu'aim dan Ad-Dailamiy; bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Yang terbaik di antara kalian ialah yang terbaik perlakuannya terhadap ahlulbaitku setelah aku kembali ke haribaan Allah"
Demikian juga At-Thabraniy dalam kitabnya yang berjudul 'Al-kabir' dan Ibnu Hajar dalam kitabnya 'Ash-Shawa'iqul-Muhriqah';kedua-duanya meriwayatkan sebuah Hadits berasal dari Abu Sa'id Al-Khudhariy r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda sebagai berikut:
"Sesungguhnya bahawa bagi Allah ada tiga hurumat, yakni tiga perkara yang tidak boleh dilanggar. Barangsiapa menjaga baik-baik tiga perkara tersebut, nescaya Allah akan menjaga urusan agamanya (akhiratnya) dan urusan dunianya. Barangsiapa yang tidak menjaga baik-baik tiga perkara tersebut maka tidak ada suatu pun baginya yang mendapat perlindungan Allah. Tiga hurumat itu ialah: Hurumatul Islam (yakni kewajipan terhadap Islam), hurumatku (yakni kewajipan terhadap Rasulullah s.a.w.) dan hurumat rahimku (yakni kewajipan terhadap ahlulbait atau keluarga Beliau s.a.w.)".
Imam Muslim di dalam 'Shahih'-nya Bab 'Fadha'il Ahlul-Bait, mengatakan, bahawa ayat 33 Surah Al-Ahzab ditujukan kepada Muhammad Rasulullah s.a.w., 'Ali bin Abi Thalib, Siti Fatimah dan dua orang puteranya, iaitu al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu 'anhum.
Demikian pula yang dikatakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Penegasan seperti itu dapat kita temukan juga dalam berbagai kitab, antara lain:
'Mustadrakus-Shahihain', 'Sunah At-Tirmudziy', 'Tafsir At-Thabraniy', 'Khasha'ish an-Nasa'iy', 'Tarikh Baghdad', 'Al-Isti'ab', Ar-Riyadh an-Nadhrah', 'Musnad Abi Dawud', 'Asad Al-Ghabah' dan lain-lain.
Penulis Tafsir 'Al-Manar', Syeikh Muhammad Abduh, dalam menafsirkan ayat 84 Surah Al-An'am, antara lain mengatakan, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Semua anak Adam bernasab kepada orang tua lelaki (ayah mereka), kecuali anak-anak Fatimah. Akulah ayah mereka dan akulah yang menurunkan mereka".
Dari Hadits tersebut jelaslah, bahawa putera-puteri Siti Fatimah r.a semuanya adalah anggota-anggota ahlulbait Rasulullah s.a.w. Hal itu lebih ditegaskan lagi oleh sebuah Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhariy dalam kitab 'Al-Ahkam', dan oleh Imam Muslim dalam kitab 'Al-Imarah'. Iaitu hadits-hadits yang menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. sambil menunjuk kepada dua orang cucunya, al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu 'anhuma, menyatakan:
"Dua orang puteraku ini adalah Imam-Imam, baik di saat mereka sedang duduk atau pun sedang berdiri".
Dengan keterangan-keterangan tersebut di atas semuanya, kiranya jelaslah sudah, bahawa yang dimaksud dengan istilah 'ahlulbait' dalam ayat 33 surah al-Ahzab ialah anggota-anggota keluarga Rasulullah s.a.w. Mereka itu adalah: Imam 'Ali bin Abi Thalib r.a, isteri beliau Siti Fatimah r.a puteri bongsu Rasulullah s.a.w., al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu 'anhuma. Penafsiran dan definisi (ta'rif) tersebut sepenuhnya didasarkan pada ucapan-ucapan Rasulullah s.a.w. sendiri, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Hadits-Hadits shahih. Dengan perkataan lain yang lebih tegas ialah: Rasulullah s.a.w. sendirilah yang menafsirkan ayat 33 Surah Al-Ahzab. Sedangkan beliau s.a.w. adalah seorang Nabi dan Rasul yang oleh Allah s.w.t. nyatakan dalam Al-Qur'anul-Karim:
"Sahabat kalian (yakni Muhammad Rasulullah s.a.w.) tidak sesat dan tidak keliru. Ia tidak mengucapkan sesuatu menurut hawa nafsunya. Apa yang diucapkan adalah wahyu yang diwahyukan Allah kepadanya" [An-Najm: 2-4]
Berbagai penafsiran para ulama mengenai ayat 33 Surah al-Ahzab
Imam Abu Ja'far bin Jarir At-Thabariy dalam kitab 'Tafsir'-nya mengatakan, bahawa firman Allah tersebut bermakna:
Sesungguhnya Allah bermaksud menghilangkan keburukan (as-suu) dan kemaksiatan (al-fahsya) dari kalian, hai ahlulbait Muhammad, dan hendak mensucikan kalian sesuci-sucinya dari noda dan kotoran yang dapat ditimbulkan oleh perbuatan maksiat terhadap Allah s.w.t.
At-Thabariy juga mengetengahkan sebuah keterangan yang diperoleh dari Abu Zaid, bahawa kata 'ar-rijsa' (noda atau kotoron) dalam ayat tersebut bermakna 'syaitan'.
Dengan isnad Sa'id bin Qatadah, At-Thabariy mengatakan juga bahawa kata 'ahlulbait' dalam ayat tersebut bererti 'ahlulbait yang oleh Allah s.w.t. telah disucikan dari setiap keburukan dan kepada mereka telah dilimpahkan rahmat khusus'.
Ibnu Athiyyah mengatakan bahawa 'ari-rijsa' adalah sebutan yang mengandungi pengertian 'dosa' atau 'seksa', dan semua barang najis serta semua bentuk kekurangan. Semuanya itulah yang telah dihapuskan Allah dari para Ahlul-bait.
Imam Nawawiy mengatakan, ada sementara ulama yang mengertikan kata 'ari-rijsa' dengan 'asy-syak' (keraguan); ada yang mengertikan dengan 'adzab' (seksa) dan ada pula yang mengertikannya dengan 'itsm' (dosa).
Sebaigamana telah kami katakan, para ahli tafsir berbeza pendapat, mengenai makna kata 'ahlulbait'. Sekelompok dari mereka, termasuk Abu Sa'id Al-Khudhariy dan sebahagian kaum Tabi'in (generasi ulama sesudah kaum Salaf) seperti Mujahid, Qatadah dan lain-lain, memberi penafsiran seperti yang dikutip oleh Imam Al-Baghawiy, Ibnul-Khazim dan para ulama tafsir yang lain. Menurut mereka, yang dimaksud 'ahlulbait' ialah 'ahlul-Aba' atau 'ahlul-kisa', iaitu terditi dari Imam 'Ali bin Abi Thalib, Siti Fatimah binti Muhammad Rasulullah s.a.w., al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu anhum.
Kelompok ulama yang lain, seperti 'Ikrimah dan lain-lain, menafsirkan kata 'ahlulbait' dalam ayat tersebut dengan 'para isteri Rasulullah s.a.w.'. Para ulama tafsir dari kelompok ini berpegang pada makna semua ayat dalam Surah Al-Ahzab yang berkenaan dengan para isteri Rasulullah s.a.w. iaitu mulai dari ayat 28 hingga akhir atay 34. Mereka mengatakan, bahawa semua ayat tersebut berkaitan dengan para isteri Nabi s.a.w., jadi bagaimana mungkin di tengah-tengahnya terselip persoalan ini? Akan tetapi penafsiran mereka itu disanggah oleh para ulama tafsir yang lain, iaitu yang mengertikan 'ahlulbait' dengan 'ahlul-aba', berdasarkan dalil-dalil naqliy.
Mengenai Hadits Al-Kisa, di samping riwayat yang berasal dari Ummu Salamah r.a sebagaimana telah kami kemukakan, terdapat versi lain yang juga dapat dipercayai kebenarannya, iaitu: Bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. datang bersama-sama 'Ali bin Abi Thalib, Siti Fatimah, Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu anhum. Beliau s.a.w. menggandeng dua orang cucunya (yakni Al-Hasan dan Al-Husein) hingga masuk ke dalam rumah. Imam 'Ali dan Siti Fatimah kemudian diminta duduk di hadapan beliau s.a.w., sedangkan Al-Hasan dan Al-Husein kedua-duanya dipangku oleh beliau. Setelah itu beliau merentang sehelai kisa (kain sejenis pakaian) di atas mereka sambil membaca ayat 33 surah al-Ahzab.
Sumber riwayat lain mengatakan, ketika itu Rasulullah s.a.w. tidak membaca ayat tersebut, melainkan berdoa:
"Ya Allah, mereka ini adalah ahlulbaitku. Kerana itu hilangkanlah noda kotoron (ar-rijsa) dari mereka dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya".
Dalam hubungannya dengan Hadits ini diriwayatkan pula bahawa saat itu Ummu Salamah r.a berusaha masuk ke bawah kain yang direntangkan Rasulullah s.a.w. itu, tetapi baru saja ia mengangkat sedikit kain itu segera ditarik oleh beliau s.a.w. dari tangannya. Ummu Salamah berkata: "Ya Rasulullah, aku bersama kalian". Beliau menyahut: "Engkau seorang isteri Nabi, berada dalam kebajikan".
Masih banyak lagi riwayat mengenai hal itu, semuanya dapat dipercaya kebenarannya dan dipandang sebagai Hadtih-Hadits hasan (baik) oleh para ulama Hadits.
Mengenai nas Hadits yang berasal dari Rasulullah s.a.w. sendiri, iaitu pernyataan beliau yang menegaskan bahawa ahlulbait terdiri dari lima orang – sebagaimana yang telah kami kemukakan – para ahli tafsir yang berpegang pada Hadits tersebut mengatakan: Kalau yang dimaksud 'ahlulbait' itu 'para isteri Nabi s.a.w.', tentu dalam ayat tersebut Allah s.w.t. tidak menggunakan dhamir (kata ganti-nama) 'kum' (kalian lelaki), melainkan menggunakan dhamir 'kunna' (kalian perempuan).
Para ahli tafsir yang mengertikan 'ahlul-bait' dengan 'para' isteri Nabi s.a.w.' menjawab: Digunakannya kata ganti nama (dhamir) 'kum' kerana menunjuk kepada kata 'ahlu'. Sebab, menurut tatabahasa Arab, kata 'ahlu' adalah mudzakkar (menunjukkan lelaki), bukan muannats (menunjukkan perempuan). Kerana Allah s.w.t. menyebut para ahlul-bait dengan kata ganti nama 'kum', bukan 'kunna'.
Akan tetapi jumhurul ulama (para alim ulama pada umumnya) berpendapat, bahawa yang dimaksud dengan kata 'ahlul-bait' dalam ayat 33 Surah Al-Ahzab ialah dua pihak sekaligus, yakni: Lima orang yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dan para isteri beliau s.a.w. Mereka mengatakan, bahawa pengertian 'ahlul-bait' yang mencakup kedua belah pihak itu lebih sesuai dengan semua dalil yang ada.
Mengenai hal itu Al-Muqriziy mengatakan, bahawa di antara dalil-dalil yang digunakan oleh jumhurul-ulama ialah dhamir 'kum'. Kalau yang dimaksudkan ayat itu hanya khusus perempuan pasti digunakan dhamir 'kunna'.
Sehubungan dengan itu Ibnu 'Athiyyah mengatakan, 'menurut pendapat saya, para isteri Nabi s.a.w. tidak berada di luar pengertian 'ahlul-bait' mesti beerti semua anggota keluarga, iaitu para isteri Rasulullah s.a.w., puteri beliau, anak-anak lelaki puteri beliau dan suami puteri beliau'.
An-Nasfiy mengatakan, bahawa firman Allah yang menggunakan kata ganti nama (dhamir) 'kum' mengandungi petunjuk bahawa dalam pengertian 'ahlul-bait' termasuk para isteri Rasulullah s.a.w. . Sebab, dhamir 'kum' berlaku bagi lelaki dan perempuan bersama-sama.
Demikian juga pendapat Zamakhsyariy, Al-Baidhawiy dan Abu As-Sa'ud. Imam Al-Baghawiy dalam kitabnya yang berjudul 'Ma'aalimut-Tanzil' sependapat dengan Zamakhsyariy, bahkan ia mengetengahkan sebuah riwayat Hadits yang olehnya disebut berasal dari Ummu Salamah r.a yang pada waktu terjadinya 'Haditssul-Kisa' ia bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasullullah, bukanlah aku dari mereka juga"? Beliau menjawap: "Ya, benar"!
Fakrur-Raziy mengenai persoalan itu mengatakan: bahawa Allah s.w.t. menggunakan dhamir 'kum' agar tercakup semua anggota keluarga Rasulullah s.a.w., baik yang lelaki mahupun yang perempuan'. Ia menambah: "Dikalangan para ahli tafsir memang terjadi perbezaan pendapat mengenai makna 'ahlulbait'. Kerana itu lebih baik dikatakan, bahawa mereka itu terdiri dari para isteri beliau s.a.w., puteri beliau bersama suaminya, dan dua orang cucu beliau, Al-Hasan dan Al-Husein. 'Ali bin Abi Thalib termasuk dalam pengertian 'ahlulbait' kerana ia menjadi suami puteri Rasulullah s.a.w. dan selalu bersama beliau". Demikian Fakrur-Raziy.
Ibnu Jarir dalam kitab Tafsirnya mengetengahkan 15 buah riwayat Hadits dengan isnad yang berbeza-beza. Iaitu riwayat-riwayat Hadits yang menerangkan bahawa yang dimaksud 'ahlul-bait' dalam ayat 3 Surah Al-Ahzab ialah Rasulullah s.a.w. 'Ali bin Abi Thalib r.a, Siti Fatimah r.a, Al-Hassan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma. Setelah mengemukakan 15 buah riwayat Hadits tersebut, barulah Ibnu Jarir mengetengahkan sebuah Hadits lain yang menerangkan, bahawa yang dimaksud 'ahlulu-bait' adalah para isteri Rasulullah s. a.w.
Dalam kitab tafsir 'Ad-Durr Al-Mantsur' dapat kita temukan huraian Imam Jalaluddin As-Sayuthiy mengenai soal pergertian 'ahlul-bait'. Ia mengetengahkan tiga buah riwayat Hadits yang semuanya menerangkan bahawa para isteri Rasulullah s.a.w. termasuk dalam pengertian 'ahlul-bait'. Di samping itu Imam As-Sayuthiy juga mengetengahkan dua puluh buah riwayat Hadits yang berasal dari berbagai sumber, dan semuanya menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w., puteri beliau (Siti Fatimah r.a), menantu beliau (Imam 'Ali bin Abi Thalib r.a) dan dua orang puteranya (Al-Hasan dan Al-Husein r.a), semuanya termasuk dalam pengertian 'ahlul-bait'. Di antara dua puluh riwayat Hadits itu terdapat yang dikemukakan oleh Ibnu Jarir, Ibnul-Mundzir, Ibnu Abi Hatim, Thabraniy dan Ibnu Mardawih, yang kesemuanya berasal dari Ummu Salamah r.a, termasuk Hadits Al-Kisa.
Al-Wahidiy dalam kitabnya, 'Asbabun-Nuzul' mengetengahkan dua buah riwayat Hadits yang berlainan. Akan tetapi dalam uraiannya ia menyebut sebuah Hadits yang dikatakannya berasal dari Athiyyah dan Abu Sa'id, iaitu yang menerangkan bahawa makna 'ahlulbait' dalam ayat 33 surah Al-Ahzab adalah lima orang: Rasulullah s.a.w., Imam 'Ali bin Abi Thalib r.a, Siti Fatimah Az-Zahra r.a, Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu 'anhuma. Lebih jauh Al-Wahidiy mengemukakan pernyataan Atha bin Abi Rabbah yang mengatakan: "Hadits tersebut disampaikan kepadaku oleh orang yang mendengar langsung dari Ummu Salamah". Al-wahidiy mengatakan juga bahawa Hadits yang dikemukakannya itu terdapat di dalam kitab 'Ad-Durr Al-Mantsur'. Setelah itu ia menyebut dua buah Hadits lainnya lagi yang menerangkan, bahawa ayat 33 surah Al-Ahzab tertuju kepada para ibu suci isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Berdasarkan riwayat-riwayat Hadits yang dihimpunnya itu Imam Al-Wahidiy akhirnya menyimpulkan dalam 'Tafsir'-nya, bahawa ayat 33 surah Al-Ahzab mencakup dua pihak. Iaitu 5 orang seperti tersebut di atas tadi, dan para ibu suci isteri-isteri Rasulullah s.a.w.
An-Nisaburiy dalam 'Tafsir'-nya menyatakan pendapat yang sama dengan pendapat Al-Wahidiy. Semua riwayat Hadits yang berkenaan dengan persoalan itu dikemukakan olehnya, termasuk Hadits Al-Kisa. Selanjutnya ia mengetengahkan pendapat Muqatil yang menegaskan sebagai berikut: "Para isteri Rasulullah s.a.w. termasuk dalam pengertian ayat 33 surah Al-Ahzab, sebab jika dhamir lelaki itulah disatukan dengan dhamir perempuan maka dhamir lelaki itulah yang mengalahkan dhamir perempuan. Kerana itu Allah s.w.t. dalam firman-Nya menggunakan dhamir 'kum', bukan 'kunna'.
Al-Muqriziy mengatakan sebagai berikut: "Menurut lahirnya, ayat tersebut berlaku umum bagi semua anggota ahlulbait yang terdiri dari para isteri Rasulullah s.a.w. dan orang-orang selain mereka". Setelah menjelaskan kedudukan dhamir 'kum' sebagaimana yang dikatakan oleh An-Nisaburiy, lebih lanjut ia berkata: "Dengan demikian jelaslah, bahawa ayat tersebut menetapkan para isteri Rasulullah s.a.w. termasuk dalam pengertian 'ahlulbait'. Hal itu sesuai dengan urutan dan rangkaian kalimat selengkapnya ayat 33 surah Al-Ahzab".
Ibnu Hajar dalam kitabnya, 'Ash-Shawa'iqul-Muhriqah', mengatakan: "Yang dimaksud dengan kata 'bait' (rumah atau keluarga) dalam ayat itu ialah rumah kediaman Rasulullah s.a.w. dan para penghuninya. Kerana itu ayat tersebut mencakup para isteri Rasulullah s.a.w.
Ats-Tsa'labiy mengatakan: "Ada yang berpendapat bahawa yang dimaksud 'ahlulbait' ialah orang-orang Bani Hasyim. Pengertian itu disasarkan pada ta'wil, bahawa yang dimaksud 'bait' (keluarga) ialah para orang tua silsilah Rasulullah s.a.w. Dengan demikian maka 'Abbas bin Abdul Mutthalib dan para paman Rasulullah s.a.w. lainnya beserta semua anak-anak mereka adalah anggota-anggota ahlulbait. Seperti itu jugalah yang diriwayatkan oleh Zaid bin Arqam, sebagaimana tercantum di dalam Tafsir Al-Khzin…"
Ada suatu penafsiran kata 'ahlulbait' yang lebih bersifat umum. Iaitu sebagaimana yang dikemukakan oleh Imam Al-Khathib. Dalam tafsirnya ia mengatakan: "Banyak perbezaan pendapat mengenai erti 'ahlulbait', dan yang terbaik ialah yang dikatakan oleh Al-Buqai'iy, iaitu: Setiap orang yang dekat dengan Rasulullah s.a.w. atau selau menyertai beliau, maka orang itu berhak dan patut disebut 'ahlulbait'. Demikian kata Al-Khathib.
Seorang arif dan tokoh sufi kenamaan, Syeikh Al-Akbar Sidi Muhyiddin bin Al-Arabiy, dalam bab ke-29 dari kitabnya yang berjudul 'Al-Futuhaatul-Makkiyyah' mengatakan antara lain sebagai berikut: "Kerana Rasulullah s.a.w. itu seorang hamba Allah s.w.t. telah disucikan sesuci-sucinya bersama para ahlulbaitnya, maka telah dihilangkan pula segala kotoran (rijsa) dari peribadi mereka. Yang dimaksud 'rijsa' (kotoron) ialah apa saja yang dapat membuat mereka buruk, sebagaimana yang lazim terdapat di dalam masyarakat Arab. Kerana itu, kepada 'ahlulbait' tidak dapat dimasukkan orang lain sebagai tambahan, kecuali yang benar-benar telah disucikan Allah. Sebab, hanya orang yang seperti mereka (ahlulbait) sajalah yang dapat dimasukkan ke dalam pengertian 'ahlulbait'. Mereka sendiri tidak memasukkan orang lain ke dalam lingkungannya selain orang yang oleh Rasulullah s.a.w. sendiri telah dipandang suci. Dalam hal itu Salman Al-Farisiy telah disebut oleh beliau s.a.w. ketika bersabda: "Salman adalah dari kami, ahlulbait"!
Tirmudziy berpendapat, bahawa yang dimaksud 'ahlulbait' dalam ayat 33 surah Al-Ahzab ialah para isteri Rasulullah s.a.w., tidak termasuk ahlul-'aba (ahlul-kisa). Tirmudziy mengatakan, bahawa dimasukkannya ahlul 'aba ke dalam pengertian 'ahlulbait' semata-mata atas dasar kehendak Rasulullah s.a.w. sendiri, setelah turun ayat 33 surah Al-Ahzab yang tertuju kepada para isteri Rasulullah s.a.w. Pendapat Tirmudziy yang demikian itu menimbulkan kesulitan lebih jauh lagi, kerana orang akan bertanya: "Bagaimana mungkin Rasulullah s.a.w. berkeinginan memasukkan sekelompok orang ke dalam pengertian ayat tersebut, sedangkan Allah s.w.t. tidak memasukkan mereka ke dalam firman-Nya"? Lepas dari pendapat Tirmudziy mengenai "keinginan Rasulullah s.a.w." itu, namun yang jelas ialah bahawa Imam Tirmudziy tidak menolak pengertian, bahawa yang dimaksud 'ahlulbait' ialah Rasulullah s.a.w., para isteri beliau, Siti Fatimah, Imam 'Ali bin Abi Thalib, Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu anhum.
Dari berbagai panafsiran para ulama yang kami utarakan di atas tadi, dapatlah kita simpulkan, bahawa mengenai makna kata 'ahlulbait' dalam ayat 33 surah Al-Ahzab terdapat lima penafsiran:
Pertama:
Pada umumnya para ulama ahli tafsir berpendapat, bahawa makna 'ahlulbait' mencakup dua pihak, iaitu para ahlul 'aba (Rasulullah s.a.w., Siti Fatimah, 'Ali bin Abi Thalib, Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu anhum) dan para isteri Rasulullah s.a.w. – radhiyallahu anhum. Itulah penafsiran yang mu'tamad dan dapat dijadikan pegangan.
Kedua:
Abu Sa'id Al-Khudhariy (seorang sahabat Nabi) dan sejumlah para ulama tafsir dari kaum Tabi'in, termasuk Mujahid dan Qatadah, berpendapat bahawa makna 'ahlulbait' terbatas pada para ahlul-'aba.
Ketiga:
Ibnu 'Abbas (seorang sahabat Nabi) dan Ikrimah (dari kaum Tabi'in) berpendapat, bahawa yang dimaksud 'ahlulbait' ialah para ummahaatul-Mu'minin, yakni para ibu suci isteri-isteri Rasulullah s.a.w.
Keempat:
Ibnu Hajar dan Tsa'labiy berpendapat, bahawa yang dimaksud 'ahlulbait' ialah orang-orang Bani Hasyim, kerana mereka mengertikan kata 'bait' dengan 'keluarga', yakni keluarga seketurunan. Dengan demikian maka 'Abbas bin Abdul Mutthalib (paman Nabi), saudara-saudaranya dan anak-anaknya; semuanya termasuk dalam pengertian 'ahlulbait'. Pengertian tersebut didasarkan pada riwayat yang berasal dari Zaid bin Arqam, dan tercantum di dalam 'Tafsir Al-Khazin'.
Kelima:
Al-Khathib Asy-Syaibaniy sependapat dengan Al-Buqai'iy, bahawa menurut mereka, penafsiran yang terbaik mengenai kata 'ahlulbait' ialah: Setiap orang yang hidup bersama Rasulullah s.a.w., baik lelaki, perempuan, isteri, kerabat mahupun hambasahaya. Mereka itulah yang sangat dekat dengan Nabi s.a.w., memperoleh perhatian khusus dari beliau dan selalu menyertai beliau; kerana itu mereka lebih berhak dan lebih patut disebut 'ahlulbait'.
abdkadiralhamid@2012
0 Response to "Siapa Ahlul Bait Itu?"
Post a Comment
Silahkan komentar yg positip